Surah 16: An-Nahl (75 – 76)

Perumpamaan antara Orang Beriman dengan Orang Kafir

Surah 16: An-Nahl (75 – 76)


Ayat 75

ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلًا عَبْدًا مَّمْلُوكًا لَّا يَقْدِرُ عَلَىٰ شَىْءٍ وَمَن رَّزَقْنَـٰهُ مِنَّا رِزْقًا حَسَنًا فَهُوَ يُنفِقُ مِنْهُ سِرًّا وَجَهْرًا ۖ هَلْ يَسْتَوُۥنَ ۚ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ۚ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Allah membuat perumpamaan dengan seorang hamba sahaya yang dimiliki (orang lain) yang tidak dapat bertindak terhadap sesuatu pun dan dengan seorang yang Kami beri rezeki yang baik daripada Kami, lalu dia menafkahkan sebahagian daripada rezeki itu secara sembunyi-sembunyi dan secara terang-terangan. Adakah mereka itu sama? Segala puji hanya bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Al-‘Aufi berkata daripada Ibnu ‘Abbas ra bahawa ayat ini merupakan perumpamaan yang diberikan oleh Allah Ta‘ala kepada orang kafir dan orang yang beriman.

Seorang hamba yang dimiliki oleh orang lain tidak bebas bertindak terhadap sesuatu pun, merupakan perumpamaan kepada orang kafir. Manakala seorang yang diberikan rezeki yang baik, lalu dia menafkahkan sebahagian daripadanya sama ada secara sembunyi-sembunyi ataupun terang-terangan ialah perumpamaan kepada orang yang beriman.

Ibnu Nujaih pula meriwayatkan daripada Mujahid, bahawa ayat di atas merupakan perumpamaan antara berhala (sembahan yang batil) dengan Allah Swt (yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya). Perbezaan antara kedua-duanya adalah sangat jelas dan hanya orang bodoh sahaja yang tidak mengetahuinya. Oleh itu Allah berfirman pada akhir ayat di atas, “Segala puji hanya bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.”

Ayat 76

وَضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلًا رَّجُلَيْنِ أَحَدُهُمَآ أَبْكَمُ لَا يَقْدِرُ عَلَىٰ شَىْءٍ وَهُوَ كَلٌّ عَلَىٰ مَوْلَىٰهُ أَيْنَمَا يُوَجِّههُّ لَا يَأْتِ بِخَيْرٍ ۖ هَلْ يَسْتَوِى هُوَ وَمَن يَأْمُرُ بِٱلْعَدْلِ ۙ وَهُوَ عَلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Dan Allah membuat (pula) perumpamaan dua orang lelaki yang seorang bisu tidak dapat berbuat sesuatu pun dan dia menjadi beban atas penjaganya, ke mana sahaja dia disuruh oleh penjaganya itu, dia tidak dapat mendatangkan suatu kebajikan pun. Samakah orang itu dengan orang yang menyuruh berbuat keadilan, dan dia berada pula di atas jalan yang lurus?

Mujahid mengatakan bahawa ayat ini merupakan perumpamaan antara berhala dan Allah Swt. Berhala disamakan dengan orang yang bisu kerana orang yang bisu itu tidak mampu melakukan sesuatu apa pun baik dengan ucapan mahupun dengan perbuatan, malah dia menjadi beban kepada orang yang menjaganya.

Oleh itu, tidak sama makhluk yang bersifat seperti itu dengan Allah Yang Maha Berkuasa ke atas segala makhluk ciptaan-Nya.

Manakala menurut Al-‘Aufi, daripada Ibnu ‘Abbas ra, ayat ini merupakan perumpamaan di antara orang kafir dan orang beriman sebagaimana dalam ayat sebelum ini.