Salah Satu Bentuk Kufur Nikmat daripada Orang Musyrik
Surah 16: An-Nahl (71 – 74)
Ayat 71
وَٱللَّهُ فَضَّلَ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ فِى ٱلرِّزْقِ ۚ فَمَا ٱلَّذِينَ فُضِّلُوا۟ بِرَآدِّى رِزْقِهِمْ عَلَىٰ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُهُمْ فَهُمْ فِيهِ سَوَآءٌ ۚ أَفَبِنِعْمَةِ ٱللَّهِ يَجْحَدُونَ
Dan Allah melebihkan sebahagian kamu dari sebahagian yang lain dalam hal rezeki, tetapi orang-orang yang dilebihkan (rezekinya itu) tidak mahu memberikan rezeki mereka kepada hamba sahaya yang mereka miliki, agar mereka sama (merasakan) rezeki itu. Maka mengapa mereka mengingkari nikmat Allah?
Allah Ta’ala menjelaskan kepada orang-orang musyrik tentang kebodohan dan kekufuran mereka. Mereka menganggap Allah mempunyai sekutu-sekutu, padahal mereka mengakui bahawa sekutu-sekutu itu adalah hamba-Nya juga, sebagaimana yang mereka ucapkan dalam talbiyah pada saat mereka melakukan ibadah haji, “Kami memenuhi seruan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu kecuali sekutu yang Engkau kuasai sedangkan sekutu itu tidak memiliki sesuatu apa pun.”
Kemudian Allah Ta’ala membantah anggapan mereka dengan mengatakan bahawa mereka tidak suka berbahagi dengan hamba sahaya mereka dalam hal kepemilikan rezeki yang Dia telah berikan. Maka Dia pun tidak rela disamakan dengan hamba-Nya dalam hal Ilahiyyah dan keagungan-Nya. Ini sebagaimana firman-Nya:
“Dia membuat perumpamaan untukmu daripada dirimu sendiri. Apakah ada di antara hamba sahaya yang dimiliki oleh tangan kananmu, sekutu bagimu dalam (memiliki) rezeki yang telah Kami berikan kepadamu, maka kamu sama dengan mereka dalam (hak menggunakan) rezeki itu, kamu takut kepada mereka sebagaimana kamu takut kepada dirimu sendiri? Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat bagi kaum yang berakal.”
Ar-Rum 30:28
Ayat 72
وَٱللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًا وَجَعَلَ لَكُم مِّنْ أَزْوَٰجِكُم بَنِينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَـٰتِ ۚ أَفَبِٱلْبَـٰطِلِ يُؤْمِنُونَ وَبِنِعْمَتِ ٱللَّهِ هُمْ يَكْفُرُونَ
Dan Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri dan menjadikan bagi kamu daripada isteri-isteri kamu itu anak-anak dan cucu-cucu, dan memberi kamu rezeki daripada yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang batil dan mengingkari nikmat Allah?”
Allah Swt menyebutkan nikmat-nikmat-Nya yang telah diberikan kepada hamba-hamba-Nya. Antaranya ialah menjadikan isteri-isteri daripada jenis dan bentuk mereka sendiri. Sekiranya Allah Swt menjadikan isteri-isteri mereka daripada jenis lain, tentulah tidak akan wujud suasana harmoni dan kasih sayang di antara mereka.
Allah Ta’ala juga menyebutkan bahawa hasil daripada perkahwinan itu, Dia menjadikan anak-anak dan cucu-cucu bagi mereka. Selain itu, Dia juga memberikan rezeki berupa makanan dan minuman yang baik-baik kepada mereka.
Pertanyaan Allah “Maka mengapakah mereka beriman kepada yang batil dan mengingkari nikmat Allah?” adalah merupakan celaan terhadap sikap orang-orang musyrik. Ini kerana tidak patut mereka menjadikan berhala-berhala sebagai sekutu-sekutu-Nya dan mengkufuri nikmat-Nya.
Ayat 73
وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَمْلِكُ لَهُمْ رِزْقًا مِّنَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ شَيْـًٔا وَلَا يَسْتَطِيعُونَ
Dan mereka beribadah kepada selain Allah, sesuatu yang tidak dapat memberikan rezeki kepada mereka sedikit pun dari langit dan bumi, dan tidak (pula) berkuasa (sedikit pun).
Allah Swt memberitahu bahawa orang-orang musyrik menyembah berhala-berhala dan sekutu-sekutu yang lain bersama dengan-Nya. Padahal Dia adalah satu-satunya Pencipta dan Pemberi rezeki, tidak ada sesuatu pun yang menyertai-Nya dalam segala perbuatan-Nya. Apa yang mereka jadikan sekutu-Nya tidak dapat memberi rezeki sedikit pun kepada mereka.
Berhala-berhala dan apa yang mereka sembah itu tidak dapat menurunkan hujan dan juga menumbuhkan tanam-tanaman bahkan tidak berkuasa sedikit pun untuk mendatangkan manfaat kepada diri mereka sendiri.
Ayat 74
فَلَا تَضْرِبُوا۟ لِلَّهِ ٱلْأَمْثَالَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maka janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah. Sesungguhnya Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.
Allah Ta‘ala melarang orang-orang musyrik menyamakan-Nya dengan berhala-berhala yang mereka sembah. Ini kerana tidak ada sesuatu pun yang setara dengan-Nya. Allah Swt mengetahui akibat buruk bagi mereka yang melakukannya, sedangkan mereka tidak mengetahui.
Ayat ini juga merupakan ancaman kepada mereka kerana menyamakan Allah Ta’ala dengan sesuatu yang lain.