Surah 16: An-Nahl (70)

Ilmu dan Kekuasaan Allah Swt

Surah 16: An-Nahl (70)


Ayat 70

وَٱللَّهُ خَلَقَكُمْ ثُمَّ يَتَوَفَّىٰكُمْ ۚ وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلَىٰٓ أَرْذَلِ ٱلْعُمُرِ لِكَىْ لَا يَعْلَمَ بَعْدَ عِلْمٍ شَيْـًٔا ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ قَدِيرٌ

Allah menciptakan kamu, kemudian mematikan kamu dan di antara kamu ada yang dikembalikan kepada umur yang paling lemah (nyanyuk), supaya dia tidak mengetahui sesuatu pun lagi yang pernah diketahuinya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.

Allah Swt menyebut tentang kekuasaan-Nya terhadap hamba-hamba-Nya, bahawa Dia-lah yang menciptakan mereka daripada tiada dan setelah itu Dia mematikan mereka. Ada sebahagian di antara mereka dimatikan ketika masih muda dan ada pula dibiarkan-Nya hidup sehingga lanjut usia dan lemah sebagaimana firman-Nya:

“Allah, Dia-lah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dia-lah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”

Ar-Rum 30:54

Ayat, “Dia tidak mengetahui sesuatu pun lagi yang pernah diketahuinya.” bermaksud dahulunya dia memiliki banyak pengetahuan tetapi ketika umur telah lanjut dia menjadi tidak mengetahui apa-apa kerana akal menjadi lemah. Oleh itu ketika mentafsirkan ayat ini, Imam Bukhari menyebut, daripada Anas bin Malik ra, bahawa Rasulullah saw pernah berdoa:

“Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat bakhil, malas, tua bangka, umur yang paling lemah (nyanyuk), azab kubur, fitnah dajjal serta fitnah kehidupan dan kematian.”

(HR. Al-Bukhari)

Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. Dia mengetahui hikmahnya dihidupkan dan dimatikan. Dia juga berkuasa mengembalikan semula keadaan daripada yang baik kepada keadaan yang paling buruk.