Surah 16: An-Nahl (68 – 69)

Anugerah Allah Swt yang Dihasilkan daripada Lebah

Surah 16: An-Nahl (68 – 69)


Ayat 68

وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى ٱلنَّحْلِ أَنِ ٱتَّخِذِى مِنَ ٱلْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ ٱلشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ

Dan Rabbmu mewahyukan kepada lebah, “Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu dan di tempat-tempat yang dibina manusia.

Ini adalah antara kekuasaan dan keagungan Allah Ta’ala yang mengilhamkan kepada lebah melakukan hal yang menakjubkan. Dia mengilhamkan lebah agar menjadikan bukit-bukit, pohon-pohon dan tempat-tempat yang dibina oleh manusia sebagai tempat kediaman mereka.

Ayat 69

ثُمَّ كُلِى مِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٰتِ فَٱسْلُكِى سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلًا ۚ يَخْرُجُ مِنۢ بُطُونِهَا شَرَابٌ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَٰنُهُۥ فِيهِ شِفَآءٌ لِّلنَّاسِ ۗ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةً لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Kemudian makanlah daripada tiap-tiap (jenis) buah-buahan dan tempuhlah jalan Rabbmu yang telah dimudahkan (bagimu).” Daripada perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang memikirkan.

Allah Ta’ala mengizinkan lebah-lebah tersebut secara qadariyyah (sunnatullah) supaya makan daripada pelbagai jenis buah-buahan dan sari bunga-bungaan. Dia juga memudahkan lebah-lebah ini menempuh pelbagai jalan di lembah-lembah mahu pun di pergunungan dan boleh terbang dalam jarak yang jauh. Lebah-lebah tersebut akan kembali ke sarang masing-masing untuk menyimpan telur dan madu tanpa mengalami kesulitan atau tersesat.

Sarang-sarang lebah dibuat dengan penuh ketekunan dan teliti. Lebah-lebah itu menyusunnya seperti sel-sel yang berbentuk segi enam dan semuanya sama tanpa ada kesilapan pada bentuknya.

Madu yang keluar daripada perut lebah ini mempunyai rasa yang lazat dan pelbagai warna. Ini bergantung kepada kawasan yang didiami oleh lebah tersebut atau tempat yang diternak.

Dalam tafsir Ibnu Kathir, mengatakan madu merupakan ubat untuk menyembuhkan penyakit yang disebabkan oleh turunnya suhu badan. Hal ini kerana madu itu bersifat panas sedangkan ubat bagi sesuatu penyakit adalah sesuatu yang berlawanan dengannya.

Daripada Abu Sa’id al-Khudri, bahawa ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw, lalu orang itu berkata:

“Sesungguhnya saudaraku sakit perut.” Maka Baginda bersabda, “Berilah dia minum madu.” Kemudian orang itu pergi dan memberinya minum madu. Setelah itu orang tersebut datang dan berkata, “Wahai Rasulullah, aku telah memberinya minum madu dan tiada tindakbalas kecuali bertambah teruk keadaannya.” Maka Baginda berkata: “Pulanglah dan beri dia minum madu lagi.” Kemudian orang itu pun pergi dan memberinya minum madu. Setelah itu orang tersebut datang lagi dan berkata, “Wahai Rasulullah, dia semakin bertambah parah.” Maka Rasulullah bersabda, “Apa yang dikatakan oleh Allah itu benar, sedangkan perut saudaramu yang berdusta. Pergilah dan berilah dia minum madu.” Kemudian dia pun pergi dan memberinya minum madu hingga akhirnya saudaranya itu sembuh.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Daripada ‘Aisyah ra, dia berkata:

“Rasulullah saw juga menggemari yang manis-manis dan madu.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Ibnu ’Abbas ra, dia mengatakan bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Kesembuhan itu ada pada tiga perkara, iaitu berbekam, minum madu atau kayy (pengubatan dengan menggunakan besi yang dibakar). Namun aku melarang umatku melakukan kayy.”

(HR. Al-Bukhari)

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyebutkan bahawa penciptaan lebah dan madu ini merupakan tanda-tanda kebesaran-Nya bagi orang-orang yang mahu memikirkanya. Hanya Dia-lah yang dapat melakukan dan mengatur semuanya dan Dia-lah Rabb yang Maha Berkuasa, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih.