Pelajaran daripada Ciptaan Allah Swt
Surah 16: An-Nahl (65 – 67)
Ayat 65
وَٱللَّهُ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَحْيَا بِهِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَآ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةً لِّقَوْمٍ يَسْمَعُونَ
Dan Allah menurunkan dari langit air (hujan) dan dengan air itu dihidupkan-Nya bumi sesudah matinya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Rabb) bagi orang-orang yang mendengarkan (pelajaran).
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia menurunkan air hujan dari langit mengikut kadar yang ditentukan-Nya. Bumi pada awalnya kering kontang, setelah turunnya hujan menjadi subur dan dihidupkan-Nya tanah itu dengan tumbuhnya pelbagai jenis tanaman dan tumbuh-tumbuhan.
Sesungguhnya yang demikian itu, iaitu turunnya air dari langit berserta proses yang terjadi padanya dan akibat yang ditimbulkannya terhadap permukaan bumi, benar-benar terdapat tanda-tanda kebesaran, kekuasaan, dan keesaan Allah Swt.
Allah Swt juga menyatakan sebagaimana Dia menjadikan Al-Quran sebagai sumber yang dapat menghidupkan hati yang mati kerana kekufuran, maka seperti itulah juga Dia menurunkan hujan untuk menghidupkan bumi yang telah gersang.
Semua tanda-tanda kebesaran Allah Swt ini hanyalah berguna bagi orang-orang yang mahu mendengar dan merenungkan serta mengambil pengajaran.
Ayat 66
وَإِنَّ لَكُمْ فِى ٱلْأَنْعَـٰمِ لَعِبْرَةً ۖ نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِى بُطُونِهِۦ مِنۢ بَيْنِ فَرْثٍ وَدَمٍ لَّبَنًا خَالِصًا سَآئِغًا لِّلشَّـٰرِبِينَ
Dan sesungguhnya pada binatang ternakan itu benar-benar terdapat pelajaran bagi kamu. Kami memberi kamu minum daripada apa yang berada dalam perutnya (berupa) susu yang bersih antara tahi dan darah, yang mudah ditelan bagi orang-orang yang meminumnya.
Allah Ta’ala menyatakan pada penciptaan binatang-binatang ternakan itu terdapat tanda-tanda dan bukti tentang hikmah, kekuasaan serta kasih sayang-Nya.
Allah Ta’ala juga menyatakan bagaimana Dia menciptakan susu dalam perut binatang. Susu itu terhasil di antara kotoran tahi dan darah yang dipisahkan melalui proses pencernaan. Darah mengalir ke jantung dan seluruh tubuh melalui urat-urat nadi dan pembuluh darah agar binatang itu terus hidup. Tahi dikeluarkan daripada badan sebagai kotoran. Susu pula dialirkan dari kelenjar susu. Susu yang bersih keluar di antara kotoran tahi dan darah itu merupakan satu perkara yang ajaib kerana tidak kelihatan warna darah pada susu dan tiada pula berbau seperti tahi. Masing-masing tidak bercampur walaupun berasal daripada sumber yang sama. Hal ini menyebabkan susu itu mudah untuk diminum dan dinikmati oleh manusia.
Ayat 67
وَمِن ثَمَرَٰتِ ٱلنَّخِيلِ وَٱلْأَعْنَـٰبِ تَتَّخِذُونَ مِنْهُ سَكَرًا وَرِزْقًا حَسَنًا ۗ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةً لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
Dan daripada buah kurma dan anggur, kamu buat minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang mahu menggunakan akal (memikirkan).
Allah Ta’ala menyatakan bahawa buah-buahan ciptaan-Nya seperti kurma dan anggur, dijadikan oleh manusia sebagai makanan. Mereka juga memprosesnya lalu menghasilkan minuman yang memabukkan. Hal ini berlaku sebelum arak diharamkan.
Ibnu ’Abbas ra mentafsirkan ayat, “Minuman memabukkan dan rezeki yang baik,” ialah apa yang diolah daripada kedua-dua jenis buah tersebut adalah haram jika memabukkan. Sedangkan apa yang dihasilkan daripada kedua-dua jenis buah tersebut, selain yang memabukkan adalah halal untuk dimakan.
Olahan yang halal dimakan ialah buah yang kering daripada kedua-duanya baik daripada buah kurma mahupun anggur (kismis), manisan, cuka mahupun minuman perahan.
Allah Ta’ala menyebutkan perkataan “akal” dalam ayat ini sangatlah tepat kerana akal merupakan unsur yang paling mulia dan berharga kepada manusia. Dia mengharamkan segala bentuk makanan dan minuman yang memabukkan supaya akal manusia sentiasa sihat dan terpelihara.