Surah 16: An-Nahl (56 – 62)

Pelbagai Keburukan Sikap Orang Musyrik

Surah 16: An-Nahl (56 – 62)


Ayat 56

وَيَجْعَلُونَ لِمَا لَا يَعْلَمُونَ نَصِيبًا مِّمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ ۗ تَٱللَّهِ لَتُسْـَٔلُنَّ عَمَّا كُنتُمْ تَفْتَرُونَ

Dan mereka sediakan untuk berhala-berhala yang mereka tidak mengetahui (kekuasaannya), satu bahagian daripada rezeki yang telah Kami berikan kepada mereka. Demi Allah, sesungguhnya kamu akan ditanya tentang apa yang telah kamu ada-adakan.

Allah Swt menceritakan keburukan-keburukan orang-orang musyrik yang menyembah berhala-berhala, patung-patung dan sekutu-sekutu yang lain di samping menyembah-Nya tanpa mengetahui kekuasaan benda-benda tersebut.

Mereka mempersembahkan kepada berhala-berhala sebahagian daripada rezeki yang dikurniakan kepada mereka dan sebahagian yang lain untuk Allah Swt. Mereka berkata mengikut anggapan mereka sebagaimana yang dinyatakan dalam firman-Nya:

“Dan mereka memperuntukkan bagi Allah satu bahagian dari tanaman dan ternak yang telah diciptakan Allah, lalu mereka berkata sesuai dengan persangkaan mereka, ‘Ini untuk Allah dan ini untuk berhala-berhala kami.’ Maka sajian-sajian yang diperuntukkan bagi berhala-berhala mereka tidak sampai kepada Allah, dan sajian-sajian yang diperuntukkan bagi Allah, maka sajian itu sampai kepada berhala-berhala mereka. Amat buruklah ketetapan mereka itu.’”

Al-An’am 6:136

Oleh itu, Allah Swt bersumpah dengan menyebut diri-Nya yang Maha Mulia bahawa Dia akan menyoal tentang apa yang mereka ada-adakan itu. Allah benar-benar akan membalas mereka dengan balasan yang setimpal di Neraka Jahannam.

Ayat 57

وَيَجْعَلُونَ لِلَّهِ ٱلْبَنَـٰتِ سُبْحَـٰنَهُۥ ۙ وَلَهُم مَّا يَشْتَهُونَ

Dan mereka menetapkan bagi Allah anak-anak perempuan. Maha Suci Allah, sedang untuk mereka sendiri (mereka tetapkan) apa yang mereka sukai (iaitu anak-anak lelaki).

Allah Swt memberitahu sikap orang-orang musyrik yang mengatakan bahawa Allah Swt mempunyai anak padahal Allah Swt tidak beranak. Kemudian mereka menisbahkan pula kepada-Nya anak-anak perempuan, sedangkan mereka tidak suka jika mereka dikurniakan anak-anak perempuan, sebagaimana firman-Nya:

“Apakah (patut) untuk kamu (anak) lelaki dan untuk Allah (anak) perempuan? Yang demikian itu tentulah suatu pembahagian yang tidak adil.”

An-Najm 53:21-22

Maha Suci Allah daripada apa yang mereka katakan itu. Firman-Nya:

“Ketahuilah bahawa sesungguhnya mereka dengan kebohongannya benar-benar mengatakan, “Allah beranak.” Dan sesungguhnya mereka benar-benar orang yang berdusta. Apakah Dia memilih (mengutamakan) anak-anak perempuan daripada anak-anak lelaki? Ada apa dengan kamu? Bagaimana kamu menetapkan (yang demikian itu)?”

As-Saffat 37:151-154

Ayat 58

وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِٱلْأُنثَىٰ ظَلَّ وَجْهُهُۥ مُسْوَدًّا وَهُوَ كَظِيمٌ

Dan apabila seseorang daripada mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia sangat marah.

Ayat ini menyatakan orang-orang musyrik sangat berdukacita dan marah apabila menerima berita bahawa mereka mendapat anak perempuan.

Ayat 59

يَتَوَٰرَىٰ مِنَ ٱلْقَوْمِ مِن سُوٓءِ مَا بُشِّرَ بِهِۦٓ ۚ أَيُمْسِكُهُۥ عَلَىٰ هُونٍ أَمْ يَدُسُّهُۥ فِى ٱلتُّرَابِ ۗ أَلَا سَآءَ مَا يَحْكُمُونَ

Dia menyembunyikan dirinya daripada orang ramai, disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)? Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu.

Mereka menyembunyikan diri kerana tidak mahu dilihat oleh orang lain disebabkan berita buruk mendapat anak perempuan. Jika mereka membiarkan anak perempuan itu hidup, bermakna mereka membiarkan hidup anak mereka itu terhina, tidak diberikan hak mewarisi harta dan tidak juga dipelihara kebajikan mereka. Ini kerana mereka lebih mengutamakan anak lelaki daripada anak perempuan. Oleh itu, mereka menanam hidup-hidup anak-anak perempuan mereka.

Keputusan yang mereka ambil dengan menguburkan anak-anak perempuan mereka hidup-hidup dan menetapkan Allah Ta’ala mempunyai anak perempuan itu sangatlah buruk dan keji.

Ayat 60

لِلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱلْـَٔاخِرَةِ مَثَلُ ٱلسَّوْءِ ۖ وَلِلَّهِ ٱلْمَثَلُ ٱلْأَعْلَىٰ ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

Orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat mempunyai sifat yang buruk dan Allah mempunyai sifat yang Maha Tinggi, dan Dia-lah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Segala sifat kekurangan hanya layak dinisbahkan kepada orang-orang yang tidak beriman. Manakala segala sifat kesempurnaan yang mutlak dari segala segi hanya layak dinisbahkan kepada Allah Swt.

Ayat 61

وَلَوْ يُؤَاخِذُ ٱللَّهُ ٱلنَّاسَ بِظُلْمِهِم مَّا تَرَكَ عَلَيْهَا مِن دَآبَّةٍ وَلَـٰكِن يُؤَخِّرُهُمْ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَـْٔخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Dan jikalau Allah menghukum manusia kerana kezaliman mereka, nescaya tidak akan ditinggalkan-Nya (di bumi) sesuatu pun daripada makhluk yang melata, tetapi Allah menangguhkan mereka hingga waktu (yang ditentukan) bagi mereka, tidaklah mereka dapat mengundurkannya walau sesaat pun dan tidak (pula) mempercepatkannya.

Allah Ta’ala menyebutkan sifat kelembutan-Nya dalam menghadapi makhluk-makhluk-Nya yang banyak melakukan kezaliman. Oleh sebab Allah Maha Penyantun dan Penyabar, Dia menangguhkan azab sehingga tiba waktu yang telah ditentukan. Sekiranya Dia segera menghukum mereka, tentulah tidak ada lagi makhluk di bumi kerana semua dibinasakan-Nya.

Ayat 62

وَيَجْعَلُونَ لِلَّهِ مَا يَكْرَهُونَ وَتَصِفُ أَلْسِنَتُهُمُ ٱلْكَذِبَ أَنَّ لَهُمُ ٱلْحُسْنَىٰ ۖ لَا جَرَمَ أَنَّ لَهُمُ ٱلنَّارَ وَأَنَّهُم مُّفْرَطُونَ

Dan mereka menetapkan bagi Allah apa yang mereka sendiri membencinya, dan lidah mereka mengucapkan kedustaan, iaitu bahawa sesungguhnya merekalah yang akan mendapat kebaikan. Tidaklah diragukan bahawa nerakalah bagi mereka, dan sesungguhnya mereka segera dimasukkan (ke dalamnya).

Orang-orang musyrik mengatakan bahawa Allah Swt mempunyai anak perempuan padahal mereka benci kepada anak-anak perempuan. Mereka juga mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah Swt sedangkan mereka sendiri benci jika mereka mempunyai sekutu dalam harta milik masing-masing.

Orang-orang kafir mengatakan bahawa jika mereka beroleh kebaikan di dunia, mereka pasti akan beroleh kebaikan juga pada Hari Akhirat sekiranya benar ada Hari Akhirat.

Allah Ta’ala menafikan sangkaan mereka itu kerana yang sebenarnya ialah mereka pasti akan dimasukkan ke neraka.