Hanya Allah Ta’ala yang Berhak Diibadahi dan Hanya Dia yang Layak Memberikan Pertolongan
Surah 16: An-Nahl (51 – 55)
Ayat 51
وَقَالَ ٱللَّهُ لَا تَتَّخِذُوٓا۟ إِلَـٰهَيْنِ ٱثْنَيْنِ ۖ إِنَّمَا هُوَ إِلَـٰهٌ وَٰحِدٌ ۖ فَإِيَّـٰىَ فَٱرْهَبُونِ
Allah berfirman, “Janganlah kamu menyembah dua ilah, sesungguhnya Dia-lah Rabb Yang Maha Esa, maka hendaklah kepada-Ku sahaja kamu takut.”
Ayat 52
وَلَهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَلَهُ ٱلدِّينُ وَاصِبًا ۚ أَفَغَيْرَ ٱللَّهِ تَتَّقُونَ
Dan kepunyaan-Nya-lah segala apa yang ada di langit dan di bumi, dan untuk-Nya-lah ketaatan itu selama-lamanya. Maka mengapa kamu bertakwa kepada selain Allah?
Allah Swt menyebutkan bahawa tidak ada Ilah selain Dia dan bahawa segala ibadah itu hanyalah semata-mata ditujukan kepada-Nya yang tiada sekutu bagi-Nya. Ini kerana Dia-lah yang memiliki segala sesuatu dan Dia-lah yang menciptakan semuanya. Dia-lah juga Rabb yang memelihara semua makhluk ciptaan-Nya. Firman-Nya:
“Maka apakah mereka mencari agama selain agama Allah, padahal kepada-Nya-lah berserah diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan sukarela atau pun terpaksa dan hanya kepada-Nya-lah mereka dikembalikan.”
Ali ’Imran 3:83
Oleh itu, manusia diperintahkan agar takut dan taat kepada Allah Swt serta wajib membersihkan diri daripada mensyirikkan-Nya. Pengertian ini sama dengan yang disebutkan di dalam ayat lain melalui firman-Nya:
“Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (daripada syirik)…….”
Az-Zumar 39:3
Ayat 53
وَمَا بِكُم مِّن نِّعْمَةٍ فَمِنَ ٱللَّهِ ۖ ثُمَّ إِذَا مَسَّكُمُ ٱلضُّرُّ فَإِلَيْهِ تَجْـَٔرُونَ
Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka daripada Allah-lah (datangnya), dan bila kamu ditimpa oleh kemudaratan, maka hanya kepada-Nya-lah kamu meminta pertolongan.
Allah Swt memberitahu bahawa Dia-lah sahaja yang dapat memberikan manfaat dan mudarat. Segala sesuatu yang ada pada hamba-hamba-Nya berupa rezeki, nikmat, kesihatan dan pertolongan hanyalah semata-mata kurniaan-Nya kepada mereka. Apabila hamba-hamba-Nya ditimpa kemudaratan, tiada siapa yang dapat menghilangkannya kecuali Dia.
Ayat 54
ثُمَّ إِذَا كَشَفَ ٱلضُّرَّ عَنكُمْ إِذَا فَرِيقٌ مِّنكُم بِرَبِّهِمْ يُشْرِكُونَ
Kemudian apabila Dia telah menghilangkan kemudaratan itu daripada kamu, tiba-tiba sebahagian daripada kamu menyekutukan Rabbnya (dengan yang lain).
Apabila kemudaratan tersebut telah dilenyapkan oleh Allah Ta’ala, manusia kembali menyekutukan-Nya. Maksud ayat ini sama dengan yang disebutkan di dalam ayat lain melalui firman-Nya:
“Dan apabila kamu ditimpa bahaya di lautan, nescaya hilanglah siapa yang kamu seru kecuali Dia. Maka tatkala Dia menyelamatkan kamu ke daratan, kamu berpaling. Dan manusia adalah selalu tidak berterima kasih.”
Al-Isra’ 17:67
Ayat 55
لِيَكْفُرُوا۟ بِمَآ ءَاتَيْنَـٰهُمْ ۚ فَتَمَتَّعُوا۟ ۖ فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ
Biarlah mereka mengingkari nikmat yang telah Kami berikan kepada mereka, maka bersenang-senanglah kamu. Kelak kamu akan mengetahui (akibatnya).
Allah Ta’ala mengancam orang-orang yang mengingkari nikmat-Nya dengan menyatakan mereka boleh berbuat sesuka hati dan bersenang-senang dengan kehidupan yang sementara. Kelak mereka akan mengetahui akibat daripada tindakan mereka yang mengingkari perintah-Nya.