Semua Makhluk Sujud kepada Allah Swt
Surah 16: An-Nahl (48 – 50)
Ayat 48
أَوَلَمْ يَرَوْا۟ إِلَىٰ مَا خَلَقَ ٱللَّهُ مِن شَىْءٍ يَتَفَيَّؤُا۟ ظِلَـٰلُهُۥ عَنِ ٱلْيَمِينِ وَٱلشَّمَآئِلِ سُجَّدًا لِّلَّهِ وَهُمْ دَٰخِرُونَ
Dan apakah mereka tidak memperhatikan segala sesuatu yang telah diciptakan oleh Allah yang bayang-bayangnya berbolak-balik (bergerak) ke kanan dan ke kiri dalam keadaan sujud kepada Allah, sedangkan mereka merendahkan diri?
Allah Ta’ala memberitahu bahawa semua makhluk sama ada benda hidup ataupun benda mati, yang berakal ataupun tidak termasuk para malaikat semuanya sujud kepada-Nya.
Dia juga memberitahu bahawa bayang-bayang yang berbolak-balik ke kanan dan ke kiri itu hakikatnya dalam keadaan tunduk sujud. Dalam Tafsir Ibnu Kathir, Mujahid, Qatadah, Ad-Dhahhak dan lain-lain mengatakan apabila matahari terbenam, maka sujudlah segala sesuatu kepada Allah Ta’ala.
Ayat 49
وَلِلَّهِ يَسْجُدُ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ مِن دَآبَّةٍ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ
Dan kepada Allah sahajalah tunduk sujud segala apa yang ada di langit dan semua makhluk yang melata di bumi dan (juga) para malaikat, sedangkan mereka (malaikat) tidak menyombongkan diri.
Ayat 50
۩ يَخَافُونَ رَبَّهُم مِّن فَوْقِهِمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Mereka takut kepada Rabb mereka yang di atas mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan (kepada mereka).
Kemudian Allah Ta’ala menyatakan semua makhluk sama ada yang ada di langit mahupun yang hidup melata di bumi sujud kepada-Nya. Ini termasuklah haiwan, baik yang berakal ataupun tidak, juga benda-benda yang tidak bernyawa seperti bayang-bayang dan lain-lain, semuanya sujud kepada-Nya sama ada secara sukarela atau terpaksa. Firman-Nya:
“Dan hanya kepada Allah sujud (patuh) segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan kemahuan sendiri (sukarela) ataupun terpaksa (dan sujud pula) bayang-bayangnya pada waktu pagi dan petang hari.”
Ar-Ra’d 13:15
Demikian juga para malaikat yang tidak bersikap sombong dan angkuh untuk menyembah-Nya. Mereka sangat taat untuk melaksanakan apa yang dikehendaki-Nya daripada mereka kerana mereka hanya mematuhi Allah Swt. Mereka bersujud dengan rasa takut dan malu kepada Rabb Yang Maha Agung lagi Maha Besar.