Tiada Sesiapa Dapat Menolak Azab Allah Swt
Surah 16: An-Nahl (45 – 47)
Ayat 45
أَفَأَمِنَ ٱلَّذِينَ مَكَرُوا۟ ٱلسَّيِّـَٔاتِ أَن يَخْسِفَ ٱللَّهُ بِهِمُ ٱلْأَرْضَ أَوْ يَأْتِيَهُمُ ٱلْعَذَابُ مِنْ حَيْثُ لَا يَشْعُرُونَ
Maka apakah orang-orang yang membuat rancangan jahat itu berasa aman (daripada bencana) ditenggelamkannya bumi oleh Allah bersama mereka atau datangnya azab kepada mereka dari tempat yang tidak mereka sedari.
Ayat 46
أَوْ يَأْخُذَهُمْ فِى تَقَلُّبِهِمْ فَمَا هُم بِمُعْجِزِينَ
Atau Allah mengazab mereka pada waktu mereka dalam perjalanan, maka sekali-kali mereka tidak dapat menolak (azab itu).
Ayat 47
أَوْ يَأْخُذَهُمْ عَلَىٰ تَخَوُّفٍ فَإِنَّ رَبَّكُمْ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Atau Allah mengazab mereka dengan beransur-ansur (sehingga binasa). Maka sesungguhnya Rabbmu adalah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Dalam ayat 45-47, Allah Ta’ala bertanya dalam bentuk ancaman iaitu apakah kaum kafir Mekah yang melakukan pelbagai rancangan jahat terhadap Rasulullah saw dan sedaya upaya menghalang manusia daripada beriman kepada dakwah Baginda, adakah mereka berasa aman daripada salah satu daripada empat perkara berikut:
▪️ Allah Ta’ala menenggelamkan mereka ke dalam perut bumi seperti mana yang Dia lakukan terhadap Qarun.
▪️ Azab mendatangi mereka secara tiba-tiba dari arah yang mereka tidak sangka sebagaimana azab yang menimpa kaum Nabi Lut as.
▪️ Allah Ta’ala menimpakan azab kepada mereka ketika mereka melakukan aktiviti pada malam atau siang hari seperti dalam perjalanan, perniagaan atau semasa mereka sibuk dengan hal keduniaan. Mereka tidak akan mampu mengelak atau menghindari diri daripada seksaan Allah Ta’ala. Ini sebagaimana seperti firman-Nya:
“Maka apakah penduduk negeri-negeri itu berasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka pada malam hari ketika mereka sedang tidur? Atau apakah penduduk negeri-negeri itu berasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka pada waktu siang ketika mereka sedang bermain?”
Al-A’raf 7:97-98
▪️ Allah Ta’ala menimpakan azab kepada mereka pada saat mereka dalam keadaan takut. Ini kerana azab yang ditimpakan pada saat ketakutan akan terasa amat dahsyat dan berat.
Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak tergesa-gesa mengazab mereka dengan tidak menyegerakan hukuman mereka kerana Dia Maha Pengasih kepada para hamba-hamba-Nya. Oleh itu, Dia memberi kesempatan agar mereka membaiki diri daripada kesalahan dan meninggalkan kesesatan. Rasulullah saw bersabda:
“Tidak ada seorang pun yang lebih sabar atas seksaan yang dia dengar daripada Allah, sesungguhnya mereka mengadakan anak bagi Allah, padahal Allah memberi rezeki dan kesejahteraan kepada mereka.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Rasulullah saw juga bersabda:
“Sesungguhnya Allah memberi penangguhan (azab) kepada orang-orang zalim sehingga jika Allah menyeksa mereka, Allah tidak akan melepaskannya.” Kemudian Rasulullah saw membaca ayat, “Dan begitulah azab Rabbmu apabila Dia mengazab penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim, sesungguhnya azab-Nya itu adalah sangat pedih lagi keras.” (Surah Hud ayat 102)