Surah 16: An-Nahl (41 – 42)

Ganjaran bagi Orang yang Berhijrah

Surah 16: An-Nahl (41 – 42)


Ayat 41

وَٱلَّذِينَ هَاجَرُوا۟ فِى ٱللَّهِ مِنۢ بَعْدِ مَا ظُلِمُوا۟ لَنُبَوِّئَنَّهُمْ فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةً ۖ وَلَأَجْرُ ٱلْـَٔاخِرَةِ أَكْبَرُ ۚ لَوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ

Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti Kami akan memberikan tempat yang baik kepada mereka di dunia. Dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui.

Allah Ta’ala menjelaskan ketentuan hijrah dan pahala yang dijanjikan kepada orang-orang yang berhijrah dengan meninggalkan kaum kerabat dan kampung halaman kerana mengikut perintah-Nya setelah mereka dizalimi, pasti akan diberikan tempat, suasana dan ganjaran yang baik kepada mereka di dunia. Namun pahala yang diberikan kepada mereka di akhirat malah lebih baik dan besar.

Dalam Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan kemungkinan sebab turunnya ayat ini adalah penghijrahan beberapa orang sahabat seperti ‘Uthman bin ‘Affan berserta isterinya Ruqayyah binti Rasulullah saw dan Jaafar bin Abi Talib ram dan lain-lain. Mereka ini disakiti secara kejam oleh kaumnya di Mekah, sehingga mereka keluar berhijrah menuju negeri Habsyah, agar mereka dapat melaksanakan ibadah kepada Allah Swt.

Ayat 42

ٱلَّذِينَ صَبَرُوا۟ وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

(Iaitu) orang-orang yang sabar dan hanya kepada Rabb sahaja mereka bertawakkal.

Pahala yang besar dan baik itu hanya diperoleh oleh orang-orang yang bersabar dalam melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan Allah Ta’ala dan menghadapi pelbagai ujian. Mereka juga bertawakkal hanya kepada-Nya.