Hari Kebangkitan adalah Benar
Surah 16: An-Nahl (38 – 40)
Ayat 38
وَأَقْسَمُوا۟ بِٱللَّهِ جَهْدَ أَيْمَـٰنِهِمْ ۙ لَا يَبْعَثُ ٱللَّهُ مَن يَمُوتُ ۚ بَلَىٰ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Mereka bersumpah dengan nama Allah dengan sumpahnya yang bersungguh-sungguh, “Allah tidak akan membangkitkan orang yang mati.” (Tidak demikian), bahkan (pasti Allah akan membangkitkannya), sebagai suatu janji yang benar daripada Allah, akan tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui.
Orang-orang musyrik bersungguh-sungguh bersumpah dengan nama Allah Swt bahawa Dia tidak akan membangkitkan orang-orang yang telah mati. Mereka menganggap hal tersebut adalah sesuatu yang mustahil dan mereka mendustakan para rasul yang menyampaikan berita itu.
Namun Allah Ta’ala membantah keyakinan mereka. Dia pasti akan membangkitkan orang-orang yang telah mati kerana janji-Nya adalah benar. Mereka menganggap perkara itu adalah mustahil kerana kejahilan mereka dan disebabkan kejahilan itu mereka mendustakan para rasul yang menyampaikan berita tersebut. Mereka tidak memahami bagaimana perkara itu boleh dilakukan, sedangkan Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan Dia akan menghidupkan semua manusia pada Hari Akhirat. Sesiapa yang meyakininya pasti akan takut menyalahi ajaran para rasul.
Ayat 39
لِيُبَيِّنَ لَهُمُ ٱلَّذِى يَخْتَلِفُونَ فِيهِ وَلِيَعْلَمَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَنَّهُمْ كَانُوا۟ كَـٰذِبِينَ
Agar Allah menjelaskan kepada mereka apa yang mereka perselisihkan itu, dan agar orang-orang kafir itu mengetahui bahawasanya mereka adalah orang-orang yang berdusta.
Allah Swt menyebutkan hikmah-Nya di sebalik Hari Kebangkitan ialah untuk Dia memberikan balasan sebagaimana firman-Nya:
“…………supaya Dia memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat jahat terhadap apa yang mereka lakukan dan memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik dengan pahala yang lebih baik (syurga).”
An-Najm 53:31
Selain itu, tujuannya ialah untuk menjelaskan kepada mereka tentang perkara-perkara yang mereka perselisihkan iaitu tentang sumpah mereka bahawa Allah Swt tidak akan membangkitkan orang mati. Orang-orang kafir ini akan menyedari bahawa merekalah yang berdusta kerana mengingkari tuntutan Allah Ta’ala yang disampaikan oleh para rasul.
Oleh sebab itu pada Hari Akhirat, mereka dimasukkan ke Neraka Jahannam dan dikatakan kepada mereka seperti dalam firman Allah Swt:
“(Dikatakan kepada mereka), “Inilah neraka yang dahulu kamu selalu mendustakannya.” Maka apakah ini sihir? Ataukah kamu tidak melihat? Masuklah kamu ke dalamnya (rasakanlah panas apinya), maka baik kamu bersabar atau tidak, sama sahaja bagimu, kamu diberi balasan terhadap apa yang telah kamu kerjakan.”
At-Tur 42:14-16
Ayat 40
إِنَّمَا قَوْلُنَا لِشَىْءٍ إِذَآ أَرَدْنَـٰهُ أَن نَّقُولَ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ
Sesungguhnya perkataan Kami terhadap sesuatu apabila Kami menghendakinya, Kami hanya mengatakan kepadanya, “Kun (jadilah),” maka jadilah ia.
Kemudian Allah Swt menjelaskan tentang kekuasaan-Nya atas segala apa yang dikehendaki-Nya termasuklah membangkitkan manusia pada Hari Kiamat. Hal ini adalah mudah bagi-Nya. Apabila Dia menghendaki sesuatu itu terjadi, maka cukuplah dengan sekali perintah sahaja seperti firman-Nya:
“Dan perintah Kami hanyalah satu perkataan (sahaja) seperti sekelip mata.”
Al-Qamar 54:50