Ancaman bagi Orang Kafir yang Menangguhkan Keimanan
Surah 16: An-Nahl (33 – 34)
Ayat 33
هَلْ يَنظُرُونَ إِلَّآ أَن تَأْتِيَهُمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ أَوْ يَأْتِىَ أَمْرُ رَبِّكَ ۚ كَذَٰلِكَ فَعَلَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۚ وَمَا ظَلَمَهُمُ ٱللَّهُ وَلَـٰكِن كَانُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ
Tidak ada yang ditunggu-tunggu oleh orang-orang kafir selain datangnya para malaikat kepada mereka atau datangnya perintah Rabbmu. Demikian jugalah yang telah dilakukan oleh orang-orang (kafir) sebelum mereka. Dan Allah tidak menzalimi mereka, tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri.
Allah Swt memberi ancaman kepada orang-orang musyrik Mekah kerana mereka masih bertahan dalam kebatilan dan terpedaya dengan kemewahan dunia.
Dalam ayat ini juga, Allah Ta’ala memberitahu bahawa mereka ini tetap tidak mahu beriman dengan ajaran Rasulullah saw sehinggalah mereka didatangi dua perkara iaitu kedatangan para malaikat mengambil nyawa atau pun kedatangan seksaan seperti yang telah menimpa umat-umat terdahulu.
Ayat 34
فَأَصَابَهُمْ سَيِّـَٔاتُ مَا عَمِلُوا۟ وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُوا۟ بِهِۦ يَسْتَهْزِءُونَ
Maka mereka ditimpa oleh (akibat) kejahatan perbuatan mereka dan mereka diliputi oleh azab yang selalu mereka perolok-olokkan.
Oleh sebab orang-orang musyrik ini menzalimi diri mereka dengan memilih untuk berada dalam kemusyrikan, akhirnya mereka ditimpa seksa dengan terjerumusnya mereka ke dalam azab dan balasan Allah Swt yang selalu mereka memperolok-olokkan. Pada Hari Kiamat dikatakan kepada mereka:
“Inilah neraka yang dahulu kamu selalu mendustakannya.”
At-Tur 52:14