Surah 16: An-Nahl (3 – 8)

Allah Swt Maha Pencipta

Surah 16: An-Nahl (3 – 8)


Ayat 3

خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ بِٱلْحَقِّ ۚ تَعَـٰلَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Dia menciptakan langit dan bumi dengan hak (benar). Maha Tinggi Allah daripada apa yang mereka sekutukan.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa langit dan bumi berserta segala isinya diciptakan-Nya dengan hak iaitu penuh dengan hikmah dan tidak ada yang sia-sia. Kelak Dia akan memberikan balasan sebagaimana firman-Nya:

“Dan hanya kepunyaan Allah-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi supaya Dia memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat jahat terhadap apa yang telah mereka kerjakan dan memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik dengan pahala yang lebih baik (syurga).”

An-Najm 53:31

Maha Suci Allah daripada disekutukan dengan sembahan-sembahan lain. Ini kerana Dia tidak memerlukan bantuan sesiapa pun dalam menciptakan segala sesuatu. Oleh itu hanya Dia-lah sahaja yang layak disembah.

Ayat 4

خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ مِن نُّطْفَةٍ فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُّبِينٌ

Dia telah menciptakan manusia daripada air mani, tiba-tiba dia menjadi pembantah yang nyata.

Kemudian Allah Ta’ala mengingatkan tentang kejadian manusia berasal daripada air mani yang menjijikkan dan lemah. Namun apabila telah menjadi manusia, tiba-tiba dia membantah dan mendustakan Rabbnya serta memerangi Rasul-rasul-Nya. Sedangkan Allah Swt mencipta manusia supaya menjadi hamba-Nya yang patuh. Firman-Nya:

“Dan Dia-lah yang menciptakan manusia daripada air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan pertalian keluarga (persemendaan), dan sememangnya Rabbmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendaki-Nya). Dan mereka menyembah selain Allah apa yang tidak memberi manfaat kepada mereka dan tidak (pula) memberi mudharat kepada mereka. Adalah orang-orang kafir itu penolong (syaitan untuk berbuat derhaka) terhadap Rabb mereka.”

Al-Furqan 25:54-55

Daripada Busyr bin Jahhasy, bahawa Rasulullah saw meludah di tapak tangannya, lalu bersabda:

“Allah Ta’ala berfirman, ‘Wahai anak Adam (manusia), mengapa kamu menganggap-Ku lemah padahal Aku telah menciptakan kamu daripada benda seumpama ini. (Mengapa) setelah Aku sempurnakan kejadianmu dengan baik dan seimbang, dan kamu dapat berjalan dengan kedua-dua belah kakimu, (tiba-tiba) kamu berjalan atas muka bumi ini dengan sombong (tanpa memerhatikan asal usulmu dan keagungan Penciptamu). Kamu kumpulkan harta dan kamu kikir (tidak menafkahkannya), dan kamu menolak kebenaran sehingga ketika roh kamu telah sampai ke tenggorok barulah kamu berkata, ‘Aku akan bersedekah,’ bagaimana mungkin, ini bukan masanya bersedekah.’”

(HR. Ahmad dan Ibnu Majah)

Ayat 5

وَٱلْأَنْعَـٰمَ خَلَقَهَا ۗ لَكُمْ فِيهَا دِفْءٌ وَمَنَـٰفِعُ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ

Dan Dia telah menciptakan binatang ternak untuk kamu sekalian. Padanya ada (bulu) yang memanaskan tubuh dan pelbagai manfaat yang lain dan sebahagian daripadanya kamu makan.

Allah Swt menyebutkan nikmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya dengan diciptakan-Nya binatang ternak berupa unta, lembu dan kambing sebagaimana telah dihuraikan dalam ayat 143 dan 144 surah Al-An’am iaitu lapan jenis binatang yang berpasangan (empat pasang).

Seterusnya Allah Ta’ala menyatakan semua binatang ternakan itu diciptakan adalah bagi kemaslahatan dan dimanfaatkan oleh manusia. Bulunya dapat digunakan untuk membuat pakaian, susu untuk diminum dan dagingnya dapat dimakan.

Ayat 6

وَلَكُمْ فِيهَا جَمَالٌ حِينَ تُرِيحُونَ وَحِينَ تَسْرَحُونَ

Dan kamu memperoleh pandangan yang indah padanya, ketika kamu membawanya kembali ke kandang dan ketika kamu melepaskannya ke tempat penggembalaan.

Selain itu binatang-binatang ternak itu juga indah dipandang oleh sesiapa yang melihatnya. Hal ini terjadi ketika binatang itu kembali ke kandang masing-masing pada petang hari dan menuju ke tempat penggembalaan pada waktu pagi.

Allah Ta’ala menyebutkan dua waktu khusus ini kerana dua waktu ini mendapat perhatian para penggembala iaitu ketika mengiringi binatang ternak itu ke tempat merumput dan ketika mengiringi mereka pulang.

Allah Ta’ala mendahulukan waktu pulang kerana keadaan binatang ternak yang pulang dalam keadaan kenyang sehingga binatang ternak tersebut dapat menghasilkan susu yang banyak. Ini memberikan rasa bahagia dan gembira serta hati yang puas apabila memandangnya.

Ayat 7

وَتَحْمِلُ أَثْقَالَكُمْ إِلَىٰ بَلَدٍ لَّمْ تَكُونُوا۟ بَـٰلِغِيهِ إِلَّا بِشِقِّ ٱلْأَنفُسِ ۚ إِنَّ رَبَّكُمْ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Dan ia memikul beban-bebanmu ke suatu negeri yang kamu tidak sanggup sampai kepadanya, melainkan dengan kesukaran-kesukaran (yang menyusahkan) diri. Sesungguhnya Rabbmu benar-benar Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Allah Swt menyatakan bahawa binatang-binatang itu juga ada yang digunakan sebagai alat pengangkutan. Binatang-binatang ini digunakan untuk membawa barang-barang yang berat yang manusia tidak mampu mengangkat dan memindahkannya ke suatu tempat yang lain kecuali dengan melalui pelbagai kesukaran. Ini sebagaimana firman-Nya:

“Allah-lah yang menjadikan binatang ternak untuk kamu, sebahagiannya untuk kamu tunggangi dan sebahagian lagi untuk kamu makan. Dan kamu pula mendapat pelbagai faedah (lain) pada binatang ternak itu, dan supaya kamu dapat memenuhi sesuatu hajat yang ada dalam hati kamu dengan menggunakan binatang itu, dan kamu diangkut di atas binatang-binatang ternak itu, dan dengan menaiki bahtera.”

Al-Mu’min 40:79-80

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia-lah yang menyediakan dan menundukkan binatang-binatang ternak itu untuk manusia. Sesungguhnya Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya. Firman-Nya:

“Apakah mereka tidak melihat bahawa sesungguhnya Kami telah menciptakan binatang ternak untuk mereka iaitu sebahagian daripada apa yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami sendiri lalu mereka menguasainya dan Kami tundukkan binatang-binatang itu untuk mereka, sebahagiannya menjadi tunggangan mereka dan sebahagiannya mereka makan.”

Yasin 36:71-72

Ayat 8

وَٱلْخَيْلَ وَٱلْبِغَالَ وَٱلْحَمِيرَ لِتَرْكَبُوهَا وَزِينَةً ۚ وَيَخْلُقُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Dan (Dia telah menciptakan) kuda, baghal, dan keldai agar kamu menungganginya dan (menjadikannya) perhiasan. Dan Allah menciptakan apa yang kamu tidak ketahui.

Ayat ini masih lagi menceritakan tentang penciptaan Allah Swt sebagai kurniaan-Nya kepada hamba-hamba-Nya, iaitu kuda, baghal (kacukan kuda dengan keldai) dan juga keldai. Ada di antara binatang-binatang ini boleh dijadikan sumber makanan, alat pengangkutan dan perhiasan.

Daripada Jabir bin ’Abdillah ra, dia berkata:

“Rasulullah saw melarang (mengharamkan) daging keldai jinak dan membolehkan (menghalalkan untuk dimakan) daging kuda.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Asma’ binti Abu Bakar ra, dia berkata:

“Ketika di Madinah, kami pernah menyembelih seekor kuda pada masa Rasullullah saw, lalu kami memakannya.”

(HR. Muslim)