Surah 16: An-Nahl (22 – 25)

Tiada Ilah kecuali Allah Swt tetapi Orang Kafir Mengingkarinya

Surah 16: An-Nahl (22 – 25)


Ayat 22

إِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَٰحِدٌ ۚ فَٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱلْـَٔاخِرَةِ قُلُوبُهُم مُّنكِرَةٌ وَهُم مُّسْتَكْبِرُونَ

Ilah kamu adalah Ilah Yang Maha Esa. Maka orang-orang yang tidak beriman kepada Hari Akhirat, hati mereka mengingkari (keesaan Allah), sedangkan mereka sendiri adalah orang-orang yang sombong.

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa tidak ada Ilah yang berhak disembah selain Dia Yang Maha Esa. Namun orang-orang kafir mengingkari keesaan-Nya sebagaimana Allah Swt memberitahu bahawa mereka hairan sekiranya Ilah itu hanya satu seperti dalam firman-Nya:

“Mengapa dia (Muhammad) menjadikan ilah-ilah itu Ilah Yang Satu sahaja? Sesungguhnya ini benar-benar hal yang sangat menghairankan.”

Sad 38:5

Kemudian Allah Ta’ala menyebutkan sebab kemusyrikan mereka dan sikap mereka yang mengingkari tauhid adalah kerana sikap sombong mereka.

Ayat 23

لَا جَرَمَ أَنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ وَمَا يُعْلِنُونَ ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلْمُسْتَكْبِرِينَ

Tidak diragukan lagi bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka zahirkan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong.

Sesungguhnya Allah Ta’ala mengetahui segala ucapan dan perbuatan yang mereka sembunyikan dan yang mereka zahirkan. Dia pasti akan membalas segala perbuatan mereka.

Allah Ta’ala juga menyatakan bahawa Dia tidak menyukai orang-orang yang sombong. Dia tidak akan memberi ganjaran dan tidak akan memuji mereka.

Ayat 24

وَإِذَا قِيلَ لَهُم مَّاذَآ أَنزَلَ رَبُّكُمْ ۙ قَالُوٓا۟ أَسَـٰطِيرُ ٱلْأَوَّلِينَ

Dan apabila dikatakan terhadap mereka, “Apakah yang telah diturunkan Rabbmu?” Mereka menjawab, “Dongengan-dongengan orang-orang dahulu.”

Orang-orang yang mengingkari Allah Swt dan Rasul-Nya, apabila ditanya tentang Al-Quran, mereka mengatakan bahawa Al-Quran itu hanyalah sebuah kitab yang mengandungi cerita-cerita dongeng dan bohong daripada orang-orang terdahulu. Ini ditegaskan lagi dalam firman-firman-Nya:

“Dan mereka berkata, ‘Dongengan-dongengan orang-orang dahulu, dimintanya (oleh Muhammad) supaya dituliskan, maka dibacakanlah dongengan itu kepadanya setiap pagi dan petang.’”

Al-Furqan 25:5

“Lalu dia berkata, ‘(Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dipelajari (daripada orang-orang dahulu), ini tidak lain hanyalah perkataan manusia.’”

Al-Muddaththir 74:24-25

Ayat 25

لِيَحْمِلُوٓا۟ أَوْزَارَهُمْ كَامِلَةً يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۙ وَمِنْ أَوْزَارِ ٱلَّذِينَ يُضِلُّونَهُم بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ أَلَا سَآءَ مَا يَزِرُونَ

(Ucapan mereka) menyebabkan mereka memikul dosa-dosanya dengan sepenuh-penuhnya pada Hari Kiamat, dan sebahagian dosa-dosa orang yang mereka sesatkan yang tidak mengetahui sedikit pun (bahawa mereka disesatkan). Ingatlah, amat buruklah dosa yang mereka pikul itu.

Ucapan mereka ini telah memalingkan sebahagian manusia daripada menerima agama Islam dan menghalang mereka daripada jalan Allah Swt.

Sesungguhnya mereka akan menanggung dosa-dosa mereka sendiri dan juga dosa-dosa orang yang mereka sesatkan. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam firman-Nya:

“Dan sesungguhnya mereka akan memikul beban (dosa) mereka, dan beban-beban (dosa yang lain) di samping beban-beban mereka sendiri dan sesungguhnya mereka akan ditanya pada Hari Kiamat tentang apa yang selalu mereka ada-adakan.”

Al-‘Ankabut 29:13

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:

“Barangsiapa yang menyeru kepada kebaikan maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengikutinya, tidak akan berkurang pahala daripada mereka sedikit pun, dan barangsiapa yang menyeru kepada kesesatan maka atasnya dosa seperti orang yang mengikutinya, tidak akan berkurang daripada dosa-dosa mereka sedikit pun.”

(HR. Muslim)