Surah 16: An-Nahl (1)

Hari Kiamat Pasti Akan Berlaku

Surah 16: An-Nahl (1)


Ayat 1

أَتَىٰٓ أَمْرُ ٱللَّهِ فَلَا تَسْتَعْجِلُوهُ ۚ سُبْحَـٰنَهُۥ وَتَعَـٰلَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Telah pasti datangnya ketetapan Allah, maka janganlah kamu meminta agar disegerakan (datang)nya. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi daripada apa yang mereka persekutukan.

Maksud ketetapan Allah dalam ayat ini ialah Hari Kiamat. Orang-orang musyrik Mekah sering meminta agar didatangkan azab kepada mereka. Ini kerana Rasulullah saw sentiasa mengingatkan mereka tentang seksaan akhirat. Namun seksaan tersebut belum juga terjadi. Permintaan mereka ini adalah semata-mata untuk memperolok-olokkan Baginda dan juga kerana mereka tidak mempercayai adanya seksaan akhirat.

Oleh itu, Allah Swt menegaskan bahawa Hari Kiamat itu pasti akan terjadi dan waktunya sangat dekat. Mereka tidak perlu meminta-minta disegerakan kerana apabila ada perintah daripada-Nya, hukuman berupa azab kepada mereka pasti terjadi. Terdapat banyak ayat lain di dalam Al-Quran yang menjelaskan hampirnya hari itu, antaranya ialah firman Allah Swt:

“Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedangkan mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya).”

Al-Anbiya’ 21:1

Kemudian Allah Ta’ala mensucikan diri-Nya daripada kemusyrikan yang dilakukan oleh orang-orang yang mendustakan Hari Kiamat.