Dorongan kepada Rasulullah saw agar Bersabar dan Perintah untuk Bertasbih dan Beribadah sehingga Akhir Hayat
Surah 15: Al-Hijr (97 – 99)
Ayat 97
وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدْرُكَ بِمَا يَقُولُونَ
Dan Kami benar-benar mengetahui, bahawa dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan,
Ayat 98
فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَكُن مِّنَ ٱلسَّـٰجِدِينَ
Maka bertasbihlah dengan memuji Rabbmu dan jadilah kamu antara orang-orang yang bersujud (solat),
Sesungguhnya Allah Ta‘ala mengetahui bahawa segala ejekan dan gangguan daripada orang-orang musyrik amat menyakitkan hati Rasulullah saw. Oleh itu, Baginda diberikan dorongan supaya memperbanyakkan zikir mengingati-Nya, memuji-Nya, dan bertasbih kepada-Nya serta menyembah-Nya iaitu dengan mengerjakan solat.
Tasbih, tahmid dan solat adalah ubat untuk menangani pelbagai kesedihan dan jalan keluar daripada keadaan krisis, kesedihan dan kesempitan. Hampirnya seseorang hamba kepada Allah Ta’ala adalah ketika sujud sebagaimana dalam sabda Rasulullah saw:
“Keadaan seorang hamba paling dekat kepada Allah Ta’ala adalah ketika dia sedang bersujud. Oleh itu perbanyaklah berdoa (ketika sujud).”
(HR. Muslim, Abu Daud dan An-Nasa’i)
Ayat 99
وَٱعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ ٱلْيَقِينُ
Dan beribadahlah kepada Rabbmu hingga datang kepadamu yang diyakini (kematian/ajal).
Ayat ini bermaksud bahawa ibadah seperti solat dan lain-lain adalah diwajibkan kepada manusia selagi akal masih sihat. Seseorang itu wajib solat semampu yang dapat dilaksanakan iaitu sesuai dengan keadaan dirinya. Daripada ’Imran bin Husain ra, Rasulullah saw bersabda:
“Solatlah sambil berdiri dan jika kamu tidak mampu (berdiri), maka (solatlah) dengan duduk. Dan jika kamu tidak mampu (duduk), maka (solatlah) dengan berbaring (mengereng ke sebelah rusuk).”
(HR. Al-Bukhari)
Ini menunjukkan bahawa ibadah solat dan lain-lain amalan yang baik hendaklah dilakukan hingga ke akhir hayat. Ini adalah dalil yang membantah doktrin sesat yang mengatakan (ٱلْيَقِينُ) bermaksud ‘ilmu makrifat’. Doktrin tersebut mengatakan bahawa seseorang yang mencapai ilmu makrifat maka terangkatlah darinya beban-beban agama (tidak perlu lagi solat, puasa dan sebagainya).
Sesungguhnya doktrin ini adalah suatu yang kufur, sesat dan bodoh. Ini kerana sesungguhnya para Nabi dan sahabat-sahabat lebih mengenali Allah Swt dan lebih tahu cara pengagungan yang selayaknya terhadap-Nya dan mereka adalah orang-orang yang paling banyak dan rajin beribadah sampailah mereka menemui ajal (kematian).
Kematian disebut (ٱلْيَقِينُ) kerana ia adalah sesuatu yang pasti terjadi. Firman Allah Ta’ala:
“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasai mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.”
Al-‘Ankabut 29:57