Kebinasaan Penduduk Negeri Al-Hijr (Kaum Thamud) iaitu Kaum Nabi Saleh as
Surah 15: Al-Hijr (80 – 84)
Ayat 80
وَلَقَدْ كَذَّبَ أَصْحَـٰبُ ٱلْحِجْرِ ٱلْمُرْسَلِينَ
Dan sesungguhnya penduduk-penduduk negeri Al-Hijr telah mendustakan para rasul,
Ayat 81
وَءَاتَيْنَـٰهُمْ ءَايَـٰتِنَا فَكَانُوا۟ عَنْهَا مُعْرِضِينَ
Dan Kami telah mendatangkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami, tetapi mereka selalu berpaling daripadanya,
Penduduk negeri Al-Hijr adalah kaum Thamud yang telah mendustakan nabi mereka iaitu Nabi Saleh as. Dalam ayat 80 disebutkan mereka mendustakan para rasul, sedangkan hanya Nabi Saleh as seorang sahaja yang mereka dustakan. Ini kerana sesiapa yang mendustakan seorang rasul, bererti dia telah mendustakan semua rasul Allah Ta’ala.
Meskipun mereka telah diberikan keterangan-keterangan dan bukti-bukti kerasulan Nabi Saleh as berupa seekor unta betina yang keluar dari sebuah batu dan lain-lain mukjizat, mereka masih juga berpaling daripada kebenaran. Mukjizat tentang unta ini disebut dalam firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-A’raf 7:73.
Unta ini dibiarkan bebas berkeliaran di dalam negeri mereka, bahkan diberikan giliran tersendiri untuk mendapatkan air. Kaum Thamud ini juga diberikan giliran untuk mendapatkan air pada hari-hari tertentu. Namun mereka telah berlaku zalim dengan menyembelih unta tersebut. Mereka lebih memilih kesesatan sebagaimana firman Allah Ta’ala:
“Dan adapun kaum Thamud, maka mereka telah Kami beri petunjuk tetapi mereka lebih menyukai buta (kesesatan) daripada petunjuk, maka mereka disambar petir azab yang menghinakan disebabkan apa yang telah mereka kerjakan.”
Fussilat 41:17
Ayat 82
وَكَانُوا۟ يَنْحِتُونَ مِنَ ٱلْجِبَالِ بُيُوتًا ءَامِنِينَ
Dan mereka memahat rumah-rumah daripada gunung-gunung batu (yang didiami) dengan aman.
Mereka melakukan hal ini bukanlah disebabkan keselamatan ataupun kerana keperluan tetapi hanya kerana ingin bermegah-megah, sombong dan membuat perkara yang sia-sia. Rasulullah saw pernah melalui negeri Hijr dalam perjalanan menuju perang Tabuk. Pada saat itu Baginda menundukkan kepalanya dan mempercepatkan perjalanannya dan berkata kepada para sahabat:
“Janganlah kamu memasuki rumah-rumah (tempat) kaum yang diazab, kecuali dalam keadaan menangis. Jika kamu tidak menangis, maka berusahalah untuk menangis supaya tidak mengalami azab yang serupa dengan mereka.”
(HR. Ahmad, Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 83
فَأَخَذَتْهُمُ ٱلصَّيْحَةُ مُصْبِحِينَ
Maka mereka dibinasakan oleh satu pekikan suara yang keras pada waktu pagi.
Azab itu menimpa mereka pada hari keempat setelah Nabi Saleh as mengancam mereka. Ini boleh dirujuk dalam Surah Hud ayat 65, iaitu selepas mereka menyembelih unta, mereka diberikan tempoh selama tiga hari sebelum dibinasakan.
Mereka dibinasakan dengan satu pekikan suara yang kuat. Hal ini juga diterangkan oleh Allah Ta’ala dalam Surah Hud 11:67-68.
Ayat 84
فَمَآ أَغْنَىٰ عَنْهُم مَّا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ
Maka tidak dapat menolong mereka apa yang telah mereka usahakan.
Ayat ini bermaksud bahawa hasil yang mereka peroleh daripada tanam-tanaman dan buah-buahan yang diairi dengan air yang mereka rampas daripada bahagian unta sebelum mereka menyembelihnya, semuanya tidak dapat memberi manfaat apabila telah datang azab Allah Swt.