Kebinasaan Kaum Nabi Lut as
Surah 15: Al-Hijr (57 – 77)
Ayat 57
قَالَ فَمَا خَطْبُكُمْ أَيُّهَا ٱلْمُرْسَلُونَ
Berkata (pula) Ibrahim, “Apakah urusanmu yang penting (selain itu), wahai para utusan?”
Setelah hilang perasaan takut dan diganti dengan berita gembira akan dikurniakan anak, Nabi Ibrahim as bertanya kepada para utusan itu tentang tujuan mereka datang menemuinya.
Ayat 58
قَالُوٓا۟ إِنَّآ أُرْسِلْنَآ إِلَىٰ قَوْمٍ مُّجْرِمِينَ
Mereka menjawab, “Kami sesungguhnya diutus kepada kaum yang berdosa,
Ayat 59
إِلَّآ ءَالَ لُوطٍ إِنَّا لَمُنَجُّوهُمْ أَجْمَعِينَ
Kecuali Lut berserta pengikut-pengikutnya. Sesungguhnya Kami akan menyelamatkan mereka semuanya,
Ayat 60
إِلَّا ٱمْرَأَتَهُۥ قَدَّرْنَآ ۙ إِنَّهَا لَمِنَ ٱلْغَـٰبِرِينَ
Kecuali isterinya. Kami telah menentukan, bahawa sesungguhnya dia itu termasuk orang-orang yang tertinggal (bersama dengan orang-orang kafir lainnya).”
Malaikat menyatakan tujuan kedatangan mereka ialah untuk membinasakan kaum Nabi Lut as yang suka melakukan perbuatan mungkar. Kaum lelaki mereka mendatangi kaum sejenis seperti mereka kerana mereka tidak bernafsu kepada kaum perempuan.
Malaikat juga mengatakan bahawa mereka akan menyelamatkan Nabi Lut as, keluarganya dan juga pengikut-pengikutnya kecuali isterinya yang akan dibinasakan bersama kaumnya yang kufur.
Ayat 61
فَلَمَّا جَآءَ ءَالَ لُوطٍ ٱلْمُرْسَلُونَ
Maka tatkala para utusan itu datang kepada kaum Lut, berserta pengikut-pengikutnya,
Ayat 62
قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌ مُّنكَرُونَ
Dia berkata, “Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang tidak dikenali.”
Ayat 63
قَالُوا۟ بَلْ جِئْنَـٰكَ بِمَا كَانُوا۟ فِيهِ يَمْتَرُونَ
Para utusan menjawab, “Sebenarnya kami ini datang kepadamu dengan membawa azab yang selalu mereka dustakan.
Setelah malaikat selesai berurusan dengan Nabi Ibrahim as, mereka pergi menemui Nabi Lut as dalam rupa pemuda-pemuda yang tampan. Ketika itu, Baginda dan kaumnya tidak mengetahui sebenarnya mereka adalah malaikat. Oleh itu, Baginda menyatakan bahawa para malaikat adalah orang asing yang tidak dikenali.
“Dan tatkala datang utusan-utusan Kami (para malaikat) itu kepada Lut, dia berasa susah dan berasa sempit dadanya kerana kedatangan mereka, dan dia berkata, ‘Ini adalah hari yang amat sulit.’”
Hud 11:77
Lalu malaikat itu menyatakan bahawa kedatangan mereka adalah untuk menghancurkan dan membinasakan kaumnya yang sebelum ini sangsi terhadap azab yang akan menimpa mereka. Mereka menganggap Nabi Lut as mendustakan perkara yang berkaitan dengan kedatangan azab.
Ayat 64
وَأَتَيْنَـٰكَ بِٱلْحَقِّ وَإِنَّا لَصَـٰدِقُونَ
Dan Kami datang kepadamu membawa kebenaran dan sesungguhnya kami betul-betul orang-orang yang benar.”
Maka para malaikat itu menegaskan lagi apa yang mereka sampaikan iaitu mereka datang dengan perkara yang yakin dan benar tanpa keraguan sedikitpun iaitu mereka akan menimpakan azab kepada kaum Baginda yang ingkar. Firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Kami tidak menurunkan malaikat melainkan dengan benar (untuk membawa azab)……………”
Al-Hijr 15:8
Ayat 65
فَأَسْرِ بِأَهْلِكَ بِقِطْعٍ مِّنَ ٱلَّيْلِ وَٱتَّبِعْ أَدْبَـٰرَهُمْ وَلَا يَلْتَفِتْ مِنكُمْ أَحَدٌ وَٱمْضُوا۟ حَيْثُ تُؤْمَرُونَ
Maka pergilah kamu pada akhir malam dengan membawa keluargamu, dan ikutlah mereka dari belakang dan janganlah seorang pun di antara kamu menoleh ke belakang dan teruskanlah perjalanan ke tempat yang diperintahkan kepadamu.
Kemudian tibalah saat malaikat memberikan penjelasan tentang rancangan dan langkah menyelamatkan Nabi Lut as dan pengikut-pengikutnya yang beriman. Baginda diperintahkan agar membawa keluarganya setelah sebahagian malam berlalu dan berjalan di belakang mereka untuk lebih memberikan perlindungan.
Begitu jugalah keadaan Rasulullah saw, ketika berjalan mengiringi tentera-tentera Islam semasa menuju ke medan peperangan. Baginda mengikuti pasukan dari belakang supaya dapat membantu orang-orang yang lemah.
Malaikat mengingatkan supaya tidak ada seorang pun di kalangan mereka menoleh ke belakang apabila mendengar teriakan. Sebaliknya mereka hendaklah meneruskan perjalanan dan membiarkan sahaja orang-orang yang berdosa itu ditimpa azab sebagai balasan terhadap perbuatan buruk mereka.
Ayat 66
وَقَضَيْنَآ إِلَيْهِ ذَٰلِكَ ٱلْأَمْرَ أَنَّ دَابِرَ هَـٰٓؤُلَآءِ مَقْطُوعٌ مُّصْبِحِينَ
Dan telah Kami wahyukan kepadanya (Lut) perkara itu, iaitu bahawa mereka akan dibinasakan semuanya pada waktu subuh.
Allah Ta‘ala menyatakan bahawa Dia telahpun memberitahu Nabi Lut as terlebih dahulu bahawa mereka akan dibinasakan pada waktu pagi. Ini juga dinyatakan dalam ayat lain melalui Firman-Nya:
“…………….kerana sesungguhnya saat jatuhnya azab kepada mereka adalah pada waktu subuh, bukankah waktu subuh itu sudah dekat?”
Hud 11:81
Ayat 67
وَجَآءَ أَهْلُ ٱلْمَدِينَةِ يَسْتَبْشِرُونَ
Dan datanglah penduduk kota itu (ke rumah Lut) dengan gembira (kerana) kedatangan tetamu-tetamu itu.
Allah Swt menceritakan bahawa kaum Nabi Lut as sangat teruja dengan kehadiran tetamu-tetamu lelaki yang berwajah tampan ke rumah Baginda. Mereka ingin melakukan perbuatan yang terkutuk terhadap para malaikat yang menyerupai lelaki itu.
Ayat 68
قَالَ إِنَّ هَـٰٓؤُلَآءِ ضَيْفِى فَلَا تَفْضَحُونِ
Lut berkata, “Sesungguhnya mereka adalah tetamuku. Maka janganlah kamu memberi malu (kepadaku),
Nabi Lut as berkata demikian sebelum Baginda mengetahui bahawa tetamu itu adalah para malaikat.
Ayat 69
وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلَا تُخْزُونِ
Dan bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu membuat aku terhina.”
Ayat 70
قَالُوٓا۟ أَوَلَمْ نَنْهَكَ عَنِ ٱلْعَـٰلَمِينَ
Mereka berkata, “Dan bukankah kami telah melarangmu daripada (melindungi) manusia?”
Nabi Lut as memberi peringatan agar kaumnya tidak melakukan perbuatan keji terhadap tetamu-tetamu Baginda. Namun kaumnya mendesak Baginda agar menyerahkan tetamu-tetamunya kepada mereka.
Ayat 71
قَالَ هَـٰٓؤُلَآءِ بَنَاتِىٓ إِن كُنتُمْ فَـٰعِلِينَ
Lut berkata, “Inilah puteri-puteriku (kahwinilah mereka), jika kamu hendak berbuat (secara yang halal).”
Nabi Lut as menyuruh kaumnya mengahwini perempuan yang halal dan tidak mendatangi sesama lelaki.
Ayat 72
لَعَمْرُكَ إِنَّهُمْ لَفِى سَكْرَتِهِمْ يَعْمَهُونَ
(Allah berfirman), “Demi umurmu (Muhammad), sesungguhnya mereka terumbang-ambing dalam kemabukan (kesesatan).”
Ayat ini merupakan kata-kata selingan antara kisah Nabi Lut as dengan kaumnya dan ditujukan kepada Rasulullah saw bahawa Allah Swt bersumpah dengan kehidupan Baginda sebagai tanda memuliakan Baginda.
Tujuan Allah Ta’ala bersumpah ialah untuk menguatkan kenyataan bahawa kaum Nabi Lut as yang gila syahwat itu benar-benar seperti orang mabuk. Mereka tidak lagi dapat membezakan kebenaran dan kebatilan serta mereka tidak sedar bahawa bencana yang akan menimpa mereka terlalu hampir.
Ayat 73
فَأَخَذَتْهُمُ ٱلصَّيْحَةُ مُشْرِقِينَ
Maka mereka dibinasakan oleh suara keras yang bergema ketika matahari akan terbit.
Ayat 74
فَجَعَلْنَا عَـٰلِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِمْ حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ
Maka Kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang keras.
Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bentuk azab yang menimpa mereka iaitu:
▪️ Suara pekikan yang bergemuruh sungguh dahsyat pada saat matahari mulai terbit.
▪️ Negeri itu diangkat setinggi-tingginya kemudian diterbalikkannya sehingga bahagian atas terbalik ke bawah. Kemudian negeri itu dihempaskan ke bawah.
▪️ Menghujani mereka dengan batu-batu daripada sijjin (tanah keras yang membatu dan dibakar dengan api).
Penjelasan ayat 73 dan 74 juga dinyatakan dalam firman Allah Swt:
“Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu yang di atas ke bawah (Kami terbalikkan), dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah-tanah yang terbakar secara bertubi-tubi.”
Hud 11:82
Ayat 75
إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّلْمُتَوَسِّمِينَ
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang memperhatikan tanda-tanda.
Ayat 76
وَإِنَّهَا لَبِسَبِيلٍ مُّقِيمٍ
Dan sesungguhnya kota itu benar-benar terletak di jalan yang masih tetap (dilalui manusia).
Ayat 77
إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةً لِّلْمُؤْمِنِينَ
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.
Sesungguhnya pada peristiwa-peristiwa yang digambarkan dalam kisah-kisah Nabi Ibrahim as dan Nabi Lut as bersama dengan kaum mereka, benar-benar terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah Swt bagi orang-orang yang beriman.
Dalam Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan bahawa kota tersebut adalah Kota Sodom yang diterbalikkan dan sekarang merupakan Laut Mati, yang terletak di tepi jalan besar dan luas yang sehingga kini masih dilalui orang sebagaimana firman Allah Swt:
“Dan sesungguhnya kamu (wahai penduduk Mekah) benar-benar akan melalui (bekas-bekas) mereka pada waktu pagi dan pada waktu malam. Maka apakah kamu tidak memikirkan?”
As-Saffat 37:137-138