Surah 15: Al-Hijr (51 – 56)

Kisah Tetamu Nabi Ibrahim as yang Membawa Berita Gembira bahawa Baginda akan Mendapat Anak

Surah 15: Al-Hijr (51 – 56)


Ayat 51

وَنَبِّئْهُمْ عَن ضَيْفِ إِبْرَٰهِيمَ

Dan khabarkanlah kepada mereka tentang tetamu-tetamu Ibrahim.

Ayat 52

إِذْ دَخَلُوا۟ عَلَيْهِ فَقَالُوا۟ سَلَـٰمًا قَالَ إِنَّا مِنكُمْ وَجِلُونَ

Ketika mereka masuk ke tempatnya, lalu mereka mengucapkan, “Salaam (selamat sejahtera).” Ibrahim berkata, “Sesungguhnya kami berasa takut kepadamu.”

Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw menceritakan kepada kaumnya tentang kisah tetamu Nabi Ibrahim as. Mereka adalah sejumlah para malaikat yang diutuskan-Nya dengan tujuan untuk membinasakan kaum Nabi Lut as.

Ketika para malaikat itu menemui Nabi Ibrahim as, mereka mengucapkan salam. Setelah Baginda menjawab salam, Baginda menjamu para malaikat tetapi para malaikat itu tidak menyentuh hidangan tersebut. Ini menyebabkan Baginda berasa aneh dan meluahkan rasa takutnya kepada malaikat. Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Maka tatkala dilihatnya tangan mereka tidak menjamahnya, Ibrahim memandang aneh perbuatan mereka, dan berasa takut kepada mereka……………….”

Hud 11:70

Ayat 53

قَالُوا۟ لَا تَوْجَلْ إِنَّا نُبَشِّرُكَ بِغُلَـٰمٍ عَلِيمٍ

Mereka berkata, “Janganlah kamu berasa takut, sesungguhnya kami memberi khabar gembira kepadamu dengan (kelahiran seorang) anak lelaki (yang akan menjadi) orang yang berilmu.”

Kemudian malaikat mententeramkan hati Nabi Ibrahim as dengan mengatakan tujuan kedatangan mereka adalah untuk menyampaikan berita gembira iaitu Baginda akan dikurniakan seorang anak lelaki. Anak tersebut kelak akan membesar menjadi orang yang berilmu dan dikurniakan kenabian. Anak lelaki ini ialah Nabi Ishak as seperti dalam firman-Nya:

“Dan Kami beri dia khabar gembira dengan (kelahiran) Ishak seorang Nabi yang termasuk orang-orang yang soleh.”

As-Saffat 37:112

Ayat 54

قَالَ أَبَشَّرْتُمُونِى عَلَىٰٓ أَن مَّسَّنِىَ ٱلْكِبَرُ فَبِمَ تُبَشِّرُونَ

Ibrahim berkata, “Apakah kamu memberi khabar gembira kepadaku padahal usiaku telah lanjut, Maka dengan cara bagaimanakah (terlaksananya) berita gembira yang kamu sampaikan ini?”

Namun Nabi Ibrahim as menjawab dengan nada kehairanan terhadap berita gembira dengan kelahiran seorang anak yang telah lama Baginda impikan, padahal usianya telah lanjut dan kekuatannya pun sudah melemah, tidak mungkin lagi baginya untuk mendapatkan anak seperti yang dikatakan oleh malaikat tersebut.

Ayat 55

قَالُوا۟ بَشَّرْنَـٰكَ بِٱلْحَقِّ فَلَا تَكُن مِّنَ ٱلْقَـٰنِطِينَ

Mereka menjawab, “Kami menyampaikan khabar gembira kepadamu dengan benar, maka janganlah kamu termasuk orang-orang yang berputus asa.”

Para malaikat itu kemudian menegaskan bahawa berita gembira yang mereka sampaikan itu akan menjadi kenyataan. Ini kerana semuanya daripada Allah Ta’ala dan Dia tidak pernah memungkiri janji. Oleh itu, Nabi Ibrahim as diingatkan supaya tidak berputus asa dengan kekuasaan dan limpahan kurnia Allah Swt.

Ayat 56

قَالَ وَمَن يَقْنَطُ مِن رَّحْمَةِ رَبِّهِۦٓ إِلَّا ٱلضَّآلُّونَ

Ibrahim berkata, “Tidak ada orang yang berputus asa daripada rahmat Rabbnya, kecuali orang-orang yang sesat.”

Kemudian Nabi Ibrahim as menyatakan bahawa dirinya tidak pernah kecewa dan berputus asa daripada rahmat dan kekuasaan Allah Ta’ala. Ini kerana orang-orang yang suka berputus asa adalah orang-orang yang sesat dan keliru daripada jalan kebenaran, firman-Nya:

“………………Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.”

Yusuf 12:87