Keadaan Penduduk Syurga
Surah 15: Al-Hijr (45 – 50)
Ayat 45
إِنَّ ٱلْمُتَّقِينَ فِى جَنَّـٰتٍ وَعُيُونٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu berada dalam syurga (taman-taman) dan (dekat dengan) mata air-mata air (yang mengalir).
Allah Swt menyebutkan keadaan orang-orang yang bertakwa semasa berada di dunia. Mereka ini adalah orang-orang yang takut menderhakai Allah Swt dan takut kepada seksaan-Nya. Mereka patuh kepada perintah dan larangan-Nya. Oleh itu di akhirat kelak, mereka berada dalam taman-taman syurga yang terdapat mata air-mata air yang mengalir.
Ayat 46
ٱدْخُلُوهَا بِسَلَـٰمٍ ءَامِنِينَ
(Dikatakan kepada mereka), “Masuklah ke dalamnya dengan sejahtera lagi aman.”
Kelak akan dikatakan kepada mereka sebagaimana dalam ayat di atas. Mereka selamat daripada sebarang ketakutan dan kekhuatiran dikeluarkan dari syurga.
Ayat 47
وَنَزَعْنَا مَا فِى صُدُورِهِم مِّنْ غِلٍّ إِخْوَٰنًا عَلَىٰ سُرُرٍ مُّتَقَـٰبِلِينَ
Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang ada dalam hati mereka, sehingga mereka berasa bersaudara duduk berhadap-hadapan di atas pelamin-pelamin.
Allah Ta’ala melenyapkan segala perasaan dengki, permusuhan dan kemarahan dalam hati mereka. Mereka berada dalam suasana saling mengasihi dan menyayangi sesama mereka. Mereka benar-benar berada dalam kemuliaan dan kehormatan. Keadaan penduduk-penduduk syurga ini juga dinyatakan dalam firman Allah Swt:
“Mereka (di dalam syurga) berada di atas pelamin yang bertatahkan emas dan permata, seraya bertelekan di atasnya berhadap-hadapan.”
Al-Waqi’ah 56:15-16
Ayat 48
لَا يَمَسُّهُمْ فِيهَا نَصَبٌ وَمَا هُم مِّنْهَا بِمُخْرَجِينَ
Mereka tidak berasa lelah di dalamnya (syurga) dan mereka sekali-kali tidak akan dikeluarkan darinya.
Ayat ini menyatakan bahawa mereka akan tinggal menetap dalam syurga buat selama-lamanya dan tidak akan dikeluarkan darinya. Firman Allah Swt:
“Mereka berada di dalamnya (syurga), tidak ingin berpindah dari sana.”
Al-Kahfi 18:108
Rasulullah saw bersabda:
“Maka dikatakan, ‘Wahai penduduk syurga, kalian berhak menjadi sihat dan tidak akan sakit selama-lamanya. Kalian berhak untuk hidup dan tidak akan mati selama-lamanya, kalian berhak untuk muda terus dan kalian tidak akan menjadi tua selama-lamanya, kalian berhak untuk tetap tinggal dan tidak akan meninggalkan (syurga) ini selama-lamanya.’”
(HR. Muslim)
Ayat 49
نَبِّئْ عِبَادِىٓ أَنِّىٓ أَنَا ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ
Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku, bahawa sesungguhnya Aku-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,
Ayat 50
وَأَنَّ عَذَابِى هُوَ ٱلْعَذَابُ ٱلْأَلِيمُ
Dan bahawa sesungguhnya azab-Ku adalah azab yang sangat pedih.
Allah Swt memberitahu bahawa di sisi-Nya ada berita gembira dan juga ancaman, harapan dan hukuman. Ini bertujuan agar dalam hati manusia sentiasa ada perasaan berharap (raja’) dan takut (khauf).
Allah Ta’ala memiliki sifat Pengampun kerana dengan rahmat (kasih sayang)-Nya, pada Hari Kiamat kelak Dia akan menutupi dosa-dosa orang-orang yang mahu bertaubat kepada-Nya.
Manakala kepada orang-orang yang tidak mahu bertaubat dan terus memilih untuk berada dalam kekufuran serta terus melakukan kemaksiatan, azab yang akan diterima amatlah pedih.