Allah Swt adalah Pemilik Segala Sesuatu yang Semuanya Berada di bawah Kekuasaan-Nya
Surah 15: Al-Hijr (21 – 25)
Ayat 21
وَإِن مِّن شَىْءٍ إِلَّا عِندَنَا خَزَآئِنُهُۥ وَمَا نُنَزِّلُهُۥٓ إِلَّا بِقَدَرٍ مَّعْلُومٍ
Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami-lah perbendaharaannya dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan ukuran yang tertentu.
Allah Ta’ala memberitahu bahawa Dia-lah pemilik kepada segala yang ada di alam semesta. Dia Maha Berkuasa dan sangat mudah baginya menyediakan segala keperluan makhluk-makhluk-Nya. Dia akan memberikan apabila Dia menghendaki dan menangguhkannya apabila Dia kehendaki. Hal ini mempunyai hikmah dan rahmat kepada hamba-hamba-Nya sebagaimana firman-Nya:
“Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hamba-Nya lagi Maha Melihat.”
Asy-Syura 42:27
Ayat 22
وَأَرْسَلْنَا ٱلرِّيَـٰحَ لَوَٰقِحَ فَأَنزَلْنَا مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَسْقَيْنَـٰكُمُوهُ وَمَآ أَنتُمْ لَهُۥ بِخَـٰزِنِينَ
Dan Kami telah meniupkan angin untuk mengahwinkan (tumbuh-tumbuhan) dan Kami turunkan air (hujan) dari langit, lalu Kami beri kamu minum dengan air itu dan sekali-kali bukanlah kamu yang menyimpannya.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia-lah meniupkan angin bagi membiakkan tumbuh-tumbuhan.
Allah Swt juga menurunkan hujan kerana air merupakan keperluan hidup yang terpenting bagi manusia. Dia menerangkan bagaimana hujan terjadi sebagai sumber air yang memberikan manfaat kepada semua makhluk sebagaimana firman-firman-Nya:
“Dia-lah yang meniupkan angin sebagai pembawa khabar gembira, mendahului kedatangan rahmat-Nya (hujan), sehingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halau ke suatu daerah yang tandus, lalu Kami turunkan hujan di daerah itu. Kemudian Kami tumbuhkan dengan hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan………………..”
Al-A’raf 7:57
“Allah, Dia-lah yang mengirim angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikehendaki-Nya, dan menjadikannya bergumpal-gumpal, lalu kamu lihat hujan keluar dari celah-celahnya, maka apabila hujan itu turun mengenai hamba-hamba-Nya yang dikehendaki-Nya, tiba-tiba mereka menjadi gembira.”
Ar-Rum 30:48
Maksud “Kami beri kamu minum dengan air itu” ialah Allah Swt menurunkan hujan berupa air tawar yang dapat diminum. Jika Dia kehendaki Dia boleh turunkan air masin sebagaimana firman-Nya:
“Selain itu, tidakkah kamu melihat air yang kamu minum? Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya? Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikannya masin, mengapakah kamu tidak bersyukur?”
Al-Waqi’ah 56:68-80
Maksud “sekali-kali bukanlah kamu yang menyimpannya” ialah Allah-lah yang menurunkan hujan dan menyimpannya sebagai sumber seperti mata air, sungai, tasik dan sebagainya. Dia juga yang menjaganya supaya air tetap ada sepanjang masa untuk diminum dan kegunaan yang lain.
Ayat 23
وَإِنَّا لَنَحْنُ نُحْىِۦ وَنُمِيتُ وَنَحْنُ ٱلْوَٰرِثُونَ
Dan sesungguhnya Kami-lah yang benar-benar menghidupkan dan yang mematikan dan Kami (jugalah) yang mewarisi.
Ayat ini menerangkan kekuasaan Allah Swt mencipta segala sesuatu tanpa didahului contoh. Dia menghidupkan makhluk daripada tiada, lalu mematikannya dan kemudian membangkitkan semula dan berkumpul di Mahsyar. Dia juga mewarisi bumi dengan segala isinya dan kepada-Nya-lah semuanya akan dikembalikan.
Ayat 24
وَلَقَدْ عَلِمْنَا ٱلْمُسْتَقْدِمِينَ مِنكُمْ وَلَقَدْ عَلِمْنَا ٱلْمُسْتَـْٔخِرِينَ
Dan sesungguhnya Kami telah mengetahui orang-orang yang terdahulu daripada kamu dan sesungguhnya Kami juga mengetahui orang-orang yang terkemudian (daripadamu).
Allah Ta’ala memberitahu tentang kesempurnaan pengetahuan-Nya terhadap hamba-hamba-Nya dari yang mula-mula dicipta hingga yang terakhir. Ibnu ’Abbas ra menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan “orang-orang yang terdahulu daripada kamu” ialah orang-orang yang telah mati sejak Nabi Adam as. Manakala maksud “orang-orang yang terkemudian daripada kamu” ialah orang-orang masih hidup dan yang akan lahir hingga tiba Hari Kiamat.
Ayat 25
وَإِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَحْشُرُهُمْ ۚ إِنَّهُۥ حَكِيمٌ عَلِيمٌ
Dan sesungguhnya Rabbmu, Dia-lah yang akan menghimpunkan mereka. Sesungguhnya Dia Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.
Semua makhluk-Nya akan kembali kepada-Nya pada Hari Kiamat kelak.