Surah 15: Al-Hijr (16 – 20)

Antara Ciptaan-ciptaan Allah Swt di Langit dan di Bumi

Surah 15: Al-Hijr (16 – 20)


Ayat 16

وَلَقَدْ جَعَلْنَا فِى ٱلسَّمَآءِ بُرُوجًا وَزَيَّنَّـٰهَا لِلنَّـٰظِرِينَ

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan gugusan bintang-bintang (di langit) dan Kami telah menghiasi langit itu bagi orang-orang yang memandang(nya),

Allah Swt menyebutkan bagaimana Dia telah menciptakan langit yang tinggi dan dihiaskannya dengan bintang-bintang, ada yang tetap dan ada yang beredar. Langit akan kelihatan indah dan menakjubkan pada waktu malam dan boleh dijadikan pedoman apabila berjalan dalam kegelapan sebagaimana firman-Nya:

“Dan Dia-lah yang menjadikan bintang-bintang bagimu, agar kamu menjadikannya petunjuk dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) kepada orang-orang yang mengetahui.”

Al-An’am 6:97

Pada ciptaan gugusan bintang-bintang (Al-Buruj) ini membolehkan manusia memerhati, merenung dan memikirkan berulang kali tentang keajaiban dan tanda-tanda kekuasaan Allah Swt. Firman-Nya:

“Maha Suci Allah yang menjadikan di langit gugusan-gugusan bintang.”

Al-Furqan 25:61

Ayat 17

وَحَفِظْنَـٰهَا مِن كُلِّ شَيْطَـٰنٍۢ رَّجِيمٍ

Dan Kami menjaganya daripada tiap-tiap syaitan yang terkutuk,

Ayat 18

إِلَّا مَنِ ٱسْتَرَقَ ٱلسَّمْعَ فَأَتْبَعَهُۥ شِهَابٌ مُّبِينٌ

Kecuali syaitan yang mencuri-curi (berita) yang dapat didengar (daripada malaikat) lalu dia dikejar oleh semburan api yang terang.

Dalam Kitab Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan bahawa ada di antara ulama mengatakan Al-Buruj adalah tempat-tempat peredaran matahari dan bulan. Ada juga yang mengatakan Al-Buruj ini adalah menara-menara penjaga. Allah Swt menjadikan batu-batu meteor sebagai penjaga menara-menara itu agar syaitan tidak dapat mendengar pembicaraan penduduk langit. Apabila syaitan berusaha mencuri dengar berita di langit, ia akan dilempar dengan meteor berupa semburan api yang terang dan membinasakannya. Namun kadang-kadang, sebelum terkena semburan api itu, syaitan yang berjaya mendengar pembicaraan di langit telah sempat menyampaikan berita tersebut kepada syaitan yang berada di bawahnya. Syaitan di bawah inilah yang akan menyampaikan berita itu kepada dukun atau tukang sihir. Lalu dukun atau tukang sihir tersebut mencampuradukkan berita itu dengan seratus kali kebohongan. Kemudian perkataannya diyakini, sehingga sesetengah manusia mempercayai perkataan mereka dan syirik kepada Allah Swt.

Ayat 19

وَٱلْأَرْضَ مَدَدْنَـٰهَا وَأَلْقَيْنَا فِيهَا رَوَٰسِىَ وَأَنۢبَتْنَا فِيهَا مِن كُلِّ شَىْءٍ مَّوْزُونٍ

Dan Kami telah menghamparkan bumi dan menjadikan padanya gunung-gunung dan Kami tumbuhkan padanya segala sesuatu menurut ukuran.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia menciptakan bumi terhampar dalam bentuk yang sesuai sebagai tempat kehidupan manusia. Bumi distabilkan dengan gunung-ganang yang kukuh sebagai pasak agar tidak bergoyang atau bergoncang dan terdapat pelbagai tumbuh-tumbuhan yang diciptakan dengan kadar ukuran tertentu sesuai dengan hikmah dan kemaslahatan.

Ayat 20

وَجَعَلْنَا لَكُمْ فِيهَا مَعَـٰيِشَ وَمَن لَّسْتُمْ لَهُۥ بِرَٰزِقِينَ

Dan Kami jadikan untuk kamu pada bumi ini segala keperluan hidup dan (Kami juga menciptakan) makhluk-makhluk yang kamu sekali-kali bukan pemberi rezeki kepadanya.

Allah Ta’ala menjadikan pelbagai kemudahan di muka bumi ini untuk keperluan hidup manusia. Semua ciptaan-Nya itu adalah untuk memberi manfaat kepada mereka. Dia mencipta pelbagai jenis haiwan, ada yang hidup di daratan dan ada di lautan, ada yang boleh dijadikan bahan makanan dan ada pula sebagai kenderaan dan kegunaan yang lain. Allah Swt menegaskan bahawa Dia-lah yang memberi rezeki kepada semua makhluk-Nya.