Surah 14: Ibrahim (9)

Pendustaan Kaum Terdahulu terhadap Para Rasul

Surah 14: Ibrahim (9)


Ayat 9

أَلَمْ يَأْتِكُمْ نَبَؤُا۟ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ قَوْمِ نُوحٍ وَعَادٍ وَثَمُودَ ۛ وَٱلَّذِينَ مِنۢ بَعْدِهِمْ ۛ لَا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا ٱللَّهُ ۚ جَآءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِٱلْبَيِّنَـٰتِ فَرَدُّوٓا۟ أَيْدِيَهُمْ فِىٓ أَفْوَٰهِهِمْ وَقَالُوٓا۟ إِنَّا كَفَرْنَا بِمَآ أُرْسِلْتُم بِهِۦ وَإِنَّا لَفِى شَكٍّ مِّمَّا تَدْعُونَنَآ إِلَيْهِ مُرِيبٍ

Belumkah sampai kepada kamu berita orang-orang sebelum kamu (iaitu) kaum Nuh, ‘Aad, Thamud, dan orang-orang sesudah mereka. Tidak ada yang mengetahui mereka selain Allah. Telah datang para Rasul kepada mereka (membawa) bukti-bukti yang nyata lalu mereka menutupkan tangan mereka ke mulut mereka (disebabkan kebencian) dan berkata, “Sesungguhnya kami mengingkari apa yang kamu diperintahkan (untuk) menyampaikannya (kepada kami), dan sesungguhnya kami benar-benar dalam keragu-raguan yang menggelisahkan terhadap apa yang kamu ajak kami kepadanya.”

Allah Ta’ala menyatakan bahawa bukankah telah datang kepada mereka berita kaum sebelum mereka kaum Nabi Nuh as, kaum ’Aad, kaum Thamud dan umat-umat lain yang mendustakan para Rasul. Jumlah mereka tidak ada yang mengetahuinya melainkan Allah Ta’ala.

Para Rasul telah datang kepada umat-umat tersebut membawa pelbagai mukjizat, hujjah dan bukti yang jelas lagi nyata. Ini semua membuktikan kebenaran pengakuan mereka sebagai Rasul pembawa risalah daripada Allah Swt. Mereka bertugas mengajak kaum mereka keluar daripada kegelapan kekafiran dan kejahilan kepada cahaya keimanan dan hidayah. Namun umat-umat ini marah kepada para Rasul, memusuhi, mengolok-olok dan bersikap buruk terhadap mereka sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang Arab terhadap Nabi Muhammad saw. Firman-Nya:

“Beginilah kamu, kamu menyukai mereka, padahal mereka tidak menyukai kamu, dan kamu beriman kepada kitab-kitab semuanya. Apabila mereka menjumpai kamu, mereka berkata “Kami beriman,” dan apabila mereka menyendiri, mereka menggigit hujung jari kerana marah bercampur benci terhadap kamu. Katakanlah (kepada mereka), “Matilah kamu kerana kemarahanmu itu.” Sesungguhnya Allah mengetahui segala isi hati.”

Ali ‘Imran 3:119

Umat-umat ini juga benar-benar meragui seruan agar beriman kepada Allah Ta’ala dan meninggalkan sembahan mereka.

Dalam Kitab Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan beberapa pendapat tentang maksud, “lalu mereka menutupkan tangan mereka ke mulut mereka.” Pendapat-pendapat tersebut adalah seperti berikut:

▪️    Mereka memberikan isyarat kepada mulut para Rasul agar berhenti daripada menyeru ke jalan Allah Swt.

▪️    Mereka meletakkan tangan ke mulut mereka sebagai tanda bahawa mereka tidak percaya kepada para Rasul.

▪️    Isyarat dengan tangan ke mulut mereka merupakan mereka mendiamkan diri sebagai bantahan atas seruan kebenaran yang dibawa.

▪️    Mereka menggigit jari kerana menahan marah terhadap para Rasul.

▪️    Mereka mendustakan dan menolak seruan para Rasul dengan mulut mereka.