Kisah Nabi Musa as – Pengutusan Nabi Musa as dan Peringatan kepada Bani Israil tentang Nikmat-nikmat Allah Swt
Surah 14: Ibrahim (5 – 8)
Ayat 5
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ بِـَٔايَـٰتِنَآ أَنْ أَخْرِجْ قَوْمَكَ مِنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ وَذَكِّرْهُم بِأَيَّىٰمِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Musa dengan membawa ayat-ayat (tanda-tanda kekuasaan) Kami dan Kami perintahkan kepadanya, “Keluarkanlah kaummu daripada kegelapan kepada cahaya dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah.” Sesungguhnya yang demikian itu, terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang yang bersabar dan banyak bersyukur.
Allah Ta‘ala menyatakan bahawa sebagaimana Dia mengutus Rasulullah saw, begitu jugalah Dia mengutus Nabi Musa as supaya mengajak kaumnya keluar daripada kegelapan kekufuran kepada cahaya kebenaran.
“Hari-hari Allah” bermaksud hari-hari berlakunya peristiwa Allah Swt memberikan pertolongan dan nikmat kepada Bani Israil (kaum Nabi Musa as). Kaum Baginda diingatkan supaya mengenang peristiwa-peristiwa tersebut agar sentiasa sedar tentang kesempurnaan, kekuasaan, keluasan ihsan, keadilan dan hikmah-Nya.
Antara nikmat-nikmat dan pertolongan kepada Bani Israil ialah menyelamatkan mereka daripada belenggu kezaliman dan kekejaman Firaun laknatullah dengan terbelahnya laut, melindungi mereka dengan awan mendung, menurunkan manna dan salwa sebagai makanan dan lain-lain lagi.
Semua peristiwa itu menjadi pengajaran kepada setiap orang yang bersabar dalam menghadapi ujian yang menimpa dan bersyukur tatkala mendapat nikmat-nikmat. Sebaik-baik hamba ialah seseorang yang bersabar apabila ditimpa musibah dan bersyukur apabila mendapat nikmat. Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya semua yang berlaku terhadap orang beriman itu sangat mengagumkan, setiap keputusan Allah selalu mendatangkan kebaikan untuknya. Jika ditimpa musibah dia bersabar, maka itu baik baginya. Dan apabila mendapat nikmat dia bersyukur, itu juga baik untuknya.”
(HR. Muslim)
Ayat 6
وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ أَنجَىٰكُم مِّنْ ءَالِ فِرْعَوْنَ يَسُومُونَكُمْ سُوٓءَ ٱلْعَذَابِ وَيُذَبِّحُونَ أَبْنَآءَكُمْ وَيَسْتَحْيُونَ نِسَآءَكُمْ ۚ وَفِى ذَٰلِكُم بَلَآءٌ مِّن رَّبِّكُمْ عَظِيمٌ
Dan (ingatlah), ketika Musa berkata kepada kaumnya, “Ingatlah nikmat Allah atasmu ketika Allah menyelamatkanmu daripada (Firaun dan) pengikut-pengikutnya, mereka menyeksa kamu dengan seksaan yang pedih, mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu, membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu dan pada yang demikian itu ada ujian yang besar daripada Rabbmu.”
Allah Ta’ala menceritakan bahawa Nabi Musa as mengingatkan kaumnya tentang nikmat-nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada mereka. Dia menyelamatkan mereka daripada seksaan serta penghinaan Firaun dan pengikut-pengikutnya, yang membunuh anak-anak lelaki dan membiarkan anak-anak perempuan mereka hidup.
Ada dua pendapat tentang kalimah “bala” (بَلَآءٌ). Dalam ayat ini dikatakan maksudnya adalah suatu kenikmatan yang sangat besar daripada Allah Ta’ala kepada mereka.
Pendapat yang lain pula mengatakan kalimah “bala” (بَلَآءٌ) bermaksud ujian, sama ada keburukan atau kenikmatan sebagaimana firman-Nya:
“……………….Dan Kami uji mereka dengan nikmat (yang baik-baik) dan bencana (yang buruk-buruk) agar mereka kembali (kepada kebenaran).”
Al-A’raf 7:168
Ayat 7
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ
Dan (ingatlah juga), tatkala Rabbmu mengingatkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”
Allah Ta’ala memberitahu tentang janji-Nya kepada mereka sebagai dorongan untuk mensyukuri nikmat-Nya dengan menyembah dan taat kepada perintah-Nya. Ini kerana kebanyakan manusia tidak bersyukur seperti dalam firman-Nya:
“………………………..Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaan-Nya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.”
Al-Baqarah 2:243
Dia akan mengambil kembali nikmat itu daripada mereka dan menyeksa mereka atas keingkaran mereka terhadap nikmat tersebut. Firman-Nya:
“Dan (ingatlah), ketika Rabbmu memberitahukan, bahawa sesungguhnya Dia akan mengirim kepada mereka (orang-orang Yahudi) sampai Hari Kiamat orang-orang yang akan menimpakan kepada mereka azab yang seburuk-buruknya. Sesungguhnya Rabbmu amat cepat seksaan-Nya, dan sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Al-A‘raf 7:167
Ayat 8
وَقَالَ مُوسَىٰٓ إِن تَكْفُرُوٓا۟ أَنتُمْ وَمَن فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًا فَإِنَّ ٱللَّهَ لَغَنِىٌّ حَمِيدٌ
Dan Musa berkata, “Jika kamu dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya mengingkari (nikmat Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”
Nabi Musa as menerangkan prinsip asas dalam agama iaitu mensyukuri nikmat Allah Swt bukanlah untuk kepentingan-Nya. Sekiranya manusia yang ada di bumi ini semuanya mengingkari nikmat-Nya, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya sehingga keingkaran mereka tidak akan sedikitpun mengurangi kekayaan-Nya dan Dia Maha Terpuji atas segala hal yang terjadi di alam semesta. Firman-Nya:
“Jika kamu kafir maka sesungguhnya Allah tidak memerlukan (iman)mu dan Dia tidak meredhai kekafiran bagi hamba-Nya, dan jika kamu bersyukur, nescaya Dia meredhai bagimu kesyukuranmu itu………………….”
Az-Zumar 39:7
Daripada Abu Dzarr ra, Rasulullah saw bersabda (dalam sebuah hadis qudsi):
“Sesungguhnya Allah berfirman, ’Wahai hamba-Ku, jika orang pertama sehingga orang yang terakhir daripada kalian, jin dan manusia, semuanya menjadi orang yang paling bertakwa, maka sedikitpun tidak menambah kerajaan-Ku. Wahai hamba-Ku, jika orang pertama sehingga orang yang terakhir daripada kalian, jin dan manusia, semuanya menjadi orang yang paling berdosa, maka sedikit pun tidak mengurangi kerajaan-Ku. Wahai hamba-Ku, jika orang pertama sehingga orang yang terakhir daripada kalian, jin dan manusia semuanya berkumpul di suatu tempat, lalu semuanya meminta kepada-Ku, dan Aku pun memberikan apa yang mereka minta, maka semua itu sedikitpun tidak mengurangi kerajaan-Ku, kecuali seperti air yang melekat di hujung jarum yang dimasukkan ke dalam air (lalu diangkat kembali).’”
(HR. Muslim)