Surah 14: Ibrahim (49 – 51)

Keadaan Orang Berdosa di Akhirat Kelak

Surah 14: Ibrahim (49 – 51)


Ayat 49

وَتَرَى ٱلْمُجْرِمِينَ يَوْمَئِذٍ مُّقَرَّنِينَ فِى ٱلْأَصْفَادِ

Dan kamu akan melihat orang-orang yang berdosa pada hari itu diikat dengan belenggu.

Ayat ini menjelaskan kehinaan para pendosa yang diazab oleh Allah Swt pada Hari Kiamat. Tangan, kaki dan leher mereka dibelenggu. Tubuh dan roh mereka diazab bersama-sama para pendosa yang lain.

Ayat 50

سَرَابِيلُهُم مِّن قَطِرَانٍ وَتَغْشَىٰ وُجُوهَهُمُ ٱلنَّارُ

Pakaian mereka daripada pelangkin (minyak tar) dan muka mereka ditutup oleh api neraka.

Penghuni neraka diberikan pakaian khusus yang dibuat daripada sejenis minyak (tar) yang mudah terbakar sehingga tubuh mereka semakin cepat diliputi api.

Dalam Kitab Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan maksud “pelangkin” adalah sejenis minyak, yang biasa digunakan untuk membuat tanda pada unta. Qatadah pula mengatakan bahawa “pelangkin” tersebut sangat mudah terbakar. Manakala Ibnu ‘Abbas ra berkata yang dimaksudkan dengan “pelangkin” ialah tembaga panas yang telah dicairkan dengan suhu yang paling tinggi.

Muka merupakan anggota badan yang paling mulia. Sekiranya muka sudah dibakar dengan api, jadi bagaimana dengan anggota badan yang lain, wal‘iyazu billahi min zalik. Ini bukanlah kerana Allah Ta’ala berlaku zalim kepada mereka, tetapi merekalah yang menzalimi diri sendiri. Hal ini diterangkan dalam ayat selanjutnya.

Ayat 51

لِيَجْزِىَ ٱللَّهُ كُلَّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ

Agar Allah memberi pembalasan kepada tiap-tiap orang terhadap apa yang dia usahakan. Sesungguhnya Allah Maha Cepat Hisab-Nya.

Sesungguhnya Allah Maha Cepat Hisab-Nya ketika Dia menghitung amalan hamba-hamba-Nya. Ini kerana Dia Maha Mengetahui segala sesuatu dan tiada sesuatu pun yang tersembunyi daripada pengetahuan-Nya. Seluruh makhluk sekiranya dibandingkan dengan kekuasaan-Nya adalah sama seperti satu ciptaan sahaja. Oleh itu, mencipta semua makhluk samalah seperti mencipta satu ciptaan sahaja, seperti firman-Nya:

“Tidaklah Allah menciptakan dan membangkitkan kamu (dari dalam kubur) itu melainkan hanyalah seperti (menciptakan dan membangkitkan) satu jiwa sahaja………….”

Luqman 31:28