Surah 14: Ibrahim (35 – 41)

Doa Nabi Ibrahim as

Surah 14: Ibrahim (35 – 41)


Ayat 35

وَإِذْ قَالَ إِبْرَٰهِيمُ رَبِّ ٱجْعَلْ هَـٰذَا ٱلْبَلَدَ ءَامِنًا وَٱجْنُبْنِى وَبَنِىَّ أَن نَّعْبُدَ ٱلْأَصْنَامَ

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berkata, “Wahai Rabbku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman dan jauhkanlah aku berserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala.

Allah Ta’ala mengingatkan orang-orang musyrik Arab bahawa tanah haram (Mekah) hanya diperuntukkan sebagai tempat ibadah kepada-Nya semata-mata tanpa menyekutukan-Nya.

Allah Ta’ala juga menegaskan bahawa Nabi Ibrahim as adalah orang yang pertama menjadikan Mekah ini berpenghuni. Baginda juga berlepas diri daripada orang-orang yang menyembah selain-Nya dan Baginda berdoa agar Mekah menjadi kota yang aman dalam naungan tauhid. Allah Swt mengabulkan doa Nabi Ibrahim as dengan menjadikan Mekah sebagai negeri yang haram ditumpahkan darah manusia, tidak ada seorang pun yang boleh dizalimi, tidak dibolehkan memburu binatang buruan dan tidak boleh mencabut rumput. Allah Swt juga menjadikannya sebagai tempat yang dihormati sebagaimana firman-Nya:

“Dan tidakkah mereka melihat dan memperhatikan bahawa Kami telah menjadikan (Mekah) tanah suci yang dihormati lagi aman sedangkan manusia di sekitarnya saling merompak……….”

Al-‘Ankabut 29:67

Baginda juga mendoakan agar dirinya dan anak cucu keturunannya dijauhkan daripada menyembah berhala dan menjadikan ibadah mereka ikhlas hanya untuk Allah Ta’ala berlandaskan manhaj tauhid.

Ayat ini menunjukkan bahawa sepatutnya setiap orang mendoakan kebaikan untuk dirinya, kedua ibu bapanya dan anak keturunannya.

Ayat 36

رَبِّ إِنَّهُنَّ أَضْلَلْنَ كَثِيرًا مِّنَ ٱلنَّاسِ ۖ فَمَن تَبِعَنِى فَإِنَّهُۥ مِنِّى ۖ وَمَنْ عَصَانِى فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Wahai Rabbku, sesungguhnya berhala-berhala itu telah menyesatkan kebanyakan daripada manusia, maka sesiapa yang mengikutiku, maka sesungguhnya orang itu termasuk golonganku dan sesiapa yang menderhakaiku, maka sesungguhnya Engkau, Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Nabi Ibrahim as menyebutkan, betapa ramai manusia yang sesat akibat berhala-berhala, namun Baginda berlepas diri daripada mereka dan menyerahkan urusan mereka kepada kehendak Allah Swt. Jika Dia kehendaki Dia akan menyeksa atau mengampuni mereka. Ayat ini sama seperti yang diucapkan oleh Nabi Isa as seperti dalam firman-Nya:

“Jika Engkau mengazab mereka, sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba-Mu. Dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkau Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Al-Ma‘idah 5:118

Ini juga bermaksud bahawa segala sesuatu itu bergantung kepada kehendak Allah Ta’ala, bukan bererti membolehkan hal (penyembahan berhala) itu terjadi.

Ayat 37

رَّبَّنَآ إِنِّىٓ أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِى بِوَادٍ غَيْرِ ذِى زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ ٱلْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱجْعَلْ أَفْـِٔدَةً مِّنَ ٱلنَّاسِ تَهْوِىٓ إِلَيْهِمْ وَٱرْزُقْهُم مِّنَ ٱلثَّمَرَٰتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

Wahai Rabb kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman dekat dengan rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, Wahai Rabb kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah rezeki kepada mereka daripada buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.

Nabi Ibrahim as menyatakan dalam doanya bahawa Baginda telah meninggalkan isteri dan anaknya Nabi Ismail as yang masih lagi bayi di Mekah. Pada masa itu tanah di kawasan itu adalah tanah rendah, di sekelilingnya tanah berbukit-bukit dan tidak ada pula tanam-tanaman. Di situ juga terdapat Baitullah (Rumah Suci Allah). Kawasan sekitarnya juga menjadi tanah suci atau “Tanah Haram” yang bermaksud diharamkan melakukan kekacauan dan pencerobohan di tempat itu, malahan wajib menghormatinya.

Baginda juga mendoakan supaya Allah Swt menjadikan mereka orang-orang yang mentauhidkan-Nya dan mendirikan solat. Ini kerana solat adalah ibadah yang paling utama, sesiapa yang mendirikannya bermakna dia mendirikan agamanya. 

Dalam Kitab Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan bahawa Ibnu Jarir mengatakan tentang doa ini ialah supaya orang-orang Mekah dapat beribadat di Baitullah dengan tenang. Ibnu ‘Abbas ra dan Mujahid mengatakan tentang doa, “jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka” ialah supaya manusia yang beragama Islam akan datang beramai-ramai ke Mekah mengerjakan ibadah.

Allah Swt mengabulkan doa Baginda dengan diutuskan daripada keturunannya sendiri iaitu Nabi Muhammad saw, yang mengajak keturunan Nabi Ibrahim as kepada agama Islam iaitu agama bapa mereka, mereka pun memenuhinya dan menjadi orang-orang yang mendirikan solat.

Allah Swt juga mengabulkan doa Baginda supaya dikurniakan rezeki. Kita dapat melihat berbagai-bagai jenis buah-buahan di Mekah pada setiap waktu, yang datang daripada berbagai-bagai penjuru dunia.

“……………Dan apakah Kami tidak meneguhkan kedudukan mereka dalam daerah haram (tanah suci) yang aman, yang didatangkan ke tempat itu buah-buahan daripada segala jenis (tumbuh-tumbuhan) untuk menjadi rezeki (bagimu) dari sisi Kami? Tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.”

Al-Qasas 28:57

Ayat 38

رَبَّنَآ إِنَّكَ تَعْلَمُ مَا نُخْفِى وَمَا نُعْلِنُ ۗ وَمَا يَخْفَىٰ عَلَى ٱللَّهِ مِن شَىْءٍ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا فِى ٱلسَّمَآءِ

Wahai Rabb kami, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan, dan tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi bagi Allah, baik yang ada di bumi mahupun yang ada di langit.

Nabi Ibrahim as mengatakan bahawa hanya Allah Swt sahaja yang mengetahui keadaan sebenar diri Baginda ketika meninggalkan anak dan isterinya di tempat yang tidak ada tumbuh-tumbuhan.

Ayat 39

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى وَهَبَ لِى عَلَى ٱلْكِبَرِ إِسْمَـٰعِيلَ وَإِسْحَـٰقَ ۚ إِنَّ رَبِّى لَسَمِيعُ ٱلدُّعَآءِ

Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku semasa tua(ku) Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Rabbku benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa.

Baginda memuji Allah Swt kerana telah mengabulkan doa dengan mengurniakan anak ketika Baginda telah lanjut usia. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan memperkenankan doa orang yang berdoa kepada-Nya.

Ayat 40

رَبِّ ٱجْعَلْنِى مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِى ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَآءِ

Wahai Rabbku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikian juga zuriat keturunanku. Wahai Rabb kami, perkenankanlah doaku.

Nabi Ibrahim as berdoa memohon agar Baginda dan keturunannya tetap menjadi orang yang melaksanakan solat serta mendoakan agar permohonan Baginda dimakbulkan.

Ayat 41

رَبَّنَا ٱغْفِرْ لِى وَلِوَٰلِدَىَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ ٱلْحِسَابُ

Wahai Rabb kami, berilah keampunan kepadaku dan kedua ibu bapaku serta orang-orang yang beriman, pada hari berlakunya hitungan amal dan pembalasan.

Nabi Ibrahim as juga berdoa agar Allah Swt mengampuninya, kedua ibu-bapanya dan orang-orang mukmin pada hari perhitungan amal.

Permohonan keampunan untuk kedua ibu bapa Baginda adalah sebelum jelas permusuhan ayahnya kepada Allah Swt. Apabila sudah jelas bahawa ayah Baginda tidak mahu beriman kepada Allah Swt, Baginda berlepas diri daripadanya. Ini sebagaimana firman-Nya:

“Dan bukanlah permohonan keampunan Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya, dan apabila ternyata kepada Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, dia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar.”

At-Taubah 9:114