Surah 14: Ibrahim (31)

Perintah supaya Mendirikan Solat dan Menginfakkan Harta

Surah 14: Ibrahim (31)


Ayat 31

قُل لِّعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ يُقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُنفِقُوا۟ مِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِىَ يَوْمٌ لَّا بَيْعٌ فِيهِ وَلَا خِلَـٰلٌ

Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang telah beriman, “Hendaklah mereka mendirikan solat, menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka secara sembunyi-sembunyi ataupun terang-terangan sebelum datang hari (kiamat) yang pada hari itu tidak ada jual beli dan persahabatan.”

Allah Swt memerintahkan hamba-hamba-Nya yang beriman supaya taat kepada-Nya iaitu melaksanakan hak-Nya dengan mendirikan solat termasuk menjaga waktu, rukun-rukun dan kekhusyukannya.

Allah Swt juga memerintahkan mereka menginfakkan sebahagian daripada rezeki yang dikurniakan-Nya kepada mereka. Infak ini termasuk yang wajib iaitu zakat dan nafkah kepada orang-orang yang di bawah tanggungan dan juga infak yang sunat iaitu sedekah atau pemberian nafkah kepada kaum kerabat dan sebagainya. Ini perlu dilakukan dengan segera sebelum berlaku kiamat.

Pada Hari Kiamat nanti, tidak ada sesiapa pun yang boleh menebus dirinya dan tiada juga pertolongan daripada sahabat. Ini sebagaimana firman-Firman Allah Swt:

“Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi syafaat. Dan orang-orang kafir itulah orang-orang yang zalim.”

Al-Baqarah 2:254

“Maka pada hari ini tidak diterima tebusan daripada kamu dan tidak pula daripada orang-orang kafir. Tempat kamu ialah neraka…………”

Al-Hadid 57:15

Pada hari itu, tidak akan berlaku lagi jual beli, pemberian daripada kawan-kawan dan sebagainya. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Oleh sebab itu, seseorang hamba hendaklah memperhatikan apa yang telah disiapkan untuk menghadapi Hari Kiamat sebagaimana Firman Allah Swt:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah (mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memperhatikan apa yang dia telah sediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (Hari Kiamat)……”

Al-Hasyr 59:18