Akibat Penderitaan Orang Kafir
Surah 14: Ibrahim (16 – 17)
Ayat 16
مِّن وَرَآئِهِۦ جَهَنَّمُ وَيُسْقَىٰ مِن مَّآءٍۢ صَدِيدٍ
Di hadapannya ada Jahannam dan dia akan diberi minuman dengan air nanah.
Neraka Jahannam adalah tempat tinggal yang kekal bagi orang-orang yang kufur dan mensyirikkan Allah Swt. Dalam neraka tidak ada minuman melainkan air yang tersangat panas, atau tersangat sejuk dan berbau busuk, sebagaimana Firman Allah Swt:
“Inilah (azab neraka), biarlah mereka merasakannya, (minuman mereka) air yang sangat panas dan air yang sangat dingin.”
Sad 38:57
Dalam Kitab Tafsir Ibnu Kathir, Mujahid dan ‘Ikrimah mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan “صَدِيد” dalam ayat di atas adalah darah bercampur nanah.
Ayat 17
يَتَجَرَّعُهُۥ وَلَا يَكَادُ يُسِيغُهُۥ وَيَأْتِيهِ ٱلْمَوْتُ مِن كُلِّ مَكَانٍ وَمَا هُوَ بِمَيِّتٍ ۖ وَمِن وَرَآئِهِۦ عَذَابٌ غَلِيظٌ
Diminumnya air nanah itu dan hampir dia tidak dapat menelannya dan datanglah (bahaya) maut kepadanya dari segenap penjuru, tetapi dia tidak juga mati dan di hadapannya masih ada azab yang berat.
Mereka minum air nanah ini dalam keadaan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat menelannya kerana rasa, warna dan baunya yang tersangat busuk dan menjijikkan. Seluruh anggota badan mereka merasai seksaan yang tidak terperi sakitnya.
Di dalam neraka terdapat berbagai-bagai bentuk seksaan. Setiap seksaan yang menimpa manusia pasti akan menyebabkan kematian, namun di akhirat kelak tiada lagi kematian. Hal ini supaya seksaan tersebut selama-lamanya akan dirasakan oleh mereka yang ingkar dan sombong terhadap peringatan Allah Swt.