Allah Swt Berhak atas Takdir dan Menetapkan Hukum serta Tiada yang boleh Menolak Ketetapan-Nya
Surah 13: Ar-Ra’d (39 – 43)
Ayat 39
يَمْحُوا۟ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ وَيُثْبِتُ ۖ وَعِندَهُۥٓ أُمُّ ٱلْكِتَـٰبِ
Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki), dan di sisi-Nya-lah terdapat Ummul-Kitab (Lauh Mahfuz)
Sesungguhnya Allah Ta’ala berkuasa penuh untuk menghapuskan sebahagian takdir dan menetapkan sebahagian yang lainnya sesuai dengan apa yang Dia kehendaki.
Diriwayatkan oleh At-Tabari, Al-‘Aufi mengatakan daripada Ibnu ‘Abbas ra maksud ayat ini ialah ada seseorang yang cukup lama melakukan ketaatan kepada Allah Ta‘ala, kemudian dia kembali melakukan maksiat dan mati dalam keadaan bermaksiat, maka orang inilah yang dihapuskan oleh-Nya ketentuannya. Begitulah juga sebaliknya.
Ayat 40
وَإِن مَّا نُرِيَنَّكَ بَعْضَ ٱلَّذِى نَعِدُهُمْ أَوْ نَتَوَفَّيَنَّكَ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ ٱلْبَلَـٰغُ وَعَلَيْنَا ٱلْحِسَابُ
Dan jika Kami perlihatkan kepadamu (wahai Muhammad) sebahagian daripada (azab) yang Kami ancamkan kepada mereka (yang ingkar) atau Kami wafatkanmu sebelum melihatnya (itu tidak penting bagimu) kerana tugasmu hanyalah menyampaikan sahaja, sedangkan Kami-lah menghitung dan membalas amalan mereka.
Allah Swt menyatakan kepada Nabi Muhammad saw, sama ada Baginda berkesempatan untuk melihat datangnya azab kepada kaum kafir seperti yang telah dijanjikan-Nya atau pun tidak, bukanlah urusan Baginda melainkan kekuasaan Allah Swt semata-mata. Tugas Baginda hanyalah menyampaikan ajaran agama Islam kepada manusia. Mereka menerima atau menolak ajaran Baginda itu adalah urusan-Nya.
Allah Ta’ala yang akan memberikan pahala kepada orang-orang beriman dan beramal soleh. Dia juga yang akan menimpakan azab kepada mereka yang kafir dan berbuat kezaliman.
Ayat 41
أَوَلَمْ يَرَوْا۟ أَنَّا نَأْتِى ٱلْأَرْضَ نَنقُصُهَا مِنْ أَطْرَافِهَا ۚ وَٱللَّهُ يَحْكُمُ لَا مُعَقِّبَ لِحُكْمِهِۦ ۚ وَهُوَ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ
Dan apakah mereka tidak melihat bahawa sesungguhnya Kami mendatangi daerah-daerah (orang-orang kafir), lalu Kami kurangi daerah-daerah itu (sedikit demi sedikit) dari tepi-tepinya? Dan Allah menetapkan hukum (menurut kehendak-Nya), tidak ada yang dapat menolak ketetapan-Nya, dan Dia-lah Yang Maha Cepat hisab-Nya.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa adakah orang-orang musyrik lupa atau meragukan bahawa Dia telah membuka (menakluki) daerah-daerah orang-orang kafir satu demi satu untuk Rasulullah saw. Baginda meraih kemenangan ke atas mereka sehingga kawasan Islam menjadi semakin luas dan kawasan kafir menjadi semakin sempit dan ramai orang berbondong-bondong masuk Islam.
Dalam ayat ini juga, Allah Swt menegaskan bahawa Dia-lah Yang Maha Cepat hisab-Nya. Ini bermaksud bahawa Allah Swt cepat sekali mengadakan perhitungan terhadap perbuatan hamba-hamba-Nya, sehingga orang-orang yang beriman dan berbuat kebajikan akan memperoleh ganjaran kebaikan, sebaliknya orang-orang yang ingkar kepada-Nya dan berbuat kezaliman pasti mendapat seksaan dan kemurkaan-Nya. Allah Swt sama sekali tidak lupa terhadap segala perbuatan hamba-hamba-Nya.
Ayat 42
وَقَدْ مَكَرَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَلِلَّهِ ٱلْمَكْرُ جَمِيعًا ۖ يَعْلَمُ مَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ ۗ وَسَيَعْلَمُ ٱلْكُفَّـٰرُ لِمَنْ عُقْبَى ٱلدَّارِ
Dan sungguh orang-orang kafir yang sebelum mereka (kafir Mekah) telah mengadakan tipu daya, tetapi semua tipu daya itu adalah dalam kekuasaan Allah. Dia mengetahui apa yang diusahakan oleh setiap diri, dan orang-orang kafir akan mengetahui untuk siapa tempat kesudahan (yang baik) itu.
Allah Ta‘ala menjelaskan kekuasaan-Nya, dalam menghadapi tipu daya yang dilakukan oleh kaum kafir Mekah terhadap Rasulullah saw dan kaum muslimin. Orang-orang kafir sebelum mereka juga telah mengadakan tipu daya terhadap Rasul-rasul-Nya terdahulu.
Namun semua tipu daya mereka itu adalah dalam kekuasaan Allah Swt sehingga tidak akan dapat membinasakan agama-Nya dan Rasul-Nya. Allah Swt mengetahui apa sahaja yang dilakukan oleh setiap makhluk-Nya.
Allah Swt juga menegaskan bahawa orang-orang kafir pasti akan mengetahui kelak, bahawa yang berhak untuk memperoleh tempat tinggal terakhir dan abadi yang penuh kenikmatan itu hanyalah orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Ayat 43
وَيَقُولُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَسْتَ مُرْسَلًا ۚ قُلْ كَفَىٰ بِٱللَّهِ شَهِيدًۢا بَيْنِى وَبَيْنَكُمْ وَمَنْ عِندَهُۥ عِلْمُ ٱلْكِتَـٰبِ
Berkatalah orang-orang kafir, “Kamu bukan seorang yang dijadikan Rasul.” Katakanlah, “Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dan kamu, dan antara orang yang mempunyai ilmu Al-Kitab.”
Allah Ta‘ala menyatakan bahawa orang-orang kafir Mekah mengingkari kerasulan Nabi Muhammad saw. Allah Swt memerintahkan Baginda mengatakan bahawa cukuplah Allah Swt menjadi saksi terhadap penentangan yang terjadi antara Baginda dan orang-orang kafir tersebut.
Begitu juga orang-orang yang mempunyai ilmu tentang Al-Kitab daripada kalangan orang-orang yang telah masuk Islam dapat pula menjadi saksi tentang kebenaran kerasulan Baginda. Baginda tidak perlu gelisah dalam menghadapi sikap ingkar kaum kafir tersebut. Hal tersebut diserahkan kepada Allah Ta‘ala kerana Dia-lah yang mengutusnya menjadi Rasul-Nya.
Ulama-ulama ahli kitab seperti ‘Abdullah bin Salam dan lain-lainnya masuk Islam, kerana mereka telah mengetahui bahawa dalam kitab Injil dan Taurat yang diwahyukan Allah Swt kepada Nabi Isa as dan Nabi Musa as telah ada keterangan yang jelas tentang kedatangan Nabi dan Rasul terakhir, iaitu Nabi Muhammad saw. Oleh itu, mereka sama sekali tidak mengingkari kerasulan Baginda.