Surah 13: Ar-Ra’d (38)

Para Rasul terdiri daripada Kalangan Manusia dan hanya Allah Swt yang boleh Mendatangkan Mukjizat

Surah 13: Ar-Ra’d (38)


Ayat 38

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَٰجًا وَذُرِّيَّةً ۚ وَمَا كَانَ لِرَسُولٍ أَن يَأْتِىَ بِـَٔايَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ لِكُلِّ أَجَلٍ كِتَابٌ

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus beberapa orang Rasul sebelum kamu, dan Kami memberikan kepada mereka isteri-isteri dan keturunan. Dan tidak ada hak bagi seseorang Rasul pun untuk mendatangkan suatu ayat (mukjizat) melainkan dengan izin Allah. Bagi tiap-tiap masa ada kitab (yang tertentu).

Allah Swt mengutuskan Nabi Muhammad saw sebagai Rasul daripada kalangan manusia, sebagaimana Dia telah mengutuskan para Nabi sebelum Baginda. Mereka makan, minum dan berkeluarga sama seperti manusia lain. Rasulullah saw bersabda:

“Adapun aku, aku berpuasa dan aku berbuka, aku solat malam dan aku tidur, aku makan daging dan menikahi wanita. Sesiapa yang tidak menyukai sunnahku, maka dia bukan daripada umatku.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Ayat ini juga menerangkan bahawa para Rasul tidak dapat mengadakan sesuatu mukjizat kecuali dengan izin Allah Swt. Mukjizat ini akan diberikan apabila diperlukan dan bukan untuk dipermainkan. Urusan mukjizat adalah urusan Allah Swt, Dia berhak melakukan apa yang dikehendaki-Nya dan memutuskan apa yang diinginkan-Nya. Dia juga menurunkan kitab-kitab tertentu mengikut kesesuaian keadaan dan masa.