Surah 13: Ar-Ra’d (36 – 37)

Kegembiraan Sebahagian Ahli Kitab yang Beriman dengan Al-Quran

Surah 13: Ar-Ra’d (36 – 37)


Ayat 36

وَٱلَّذِينَ ءَاتَيْنَـٰهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ يَفْرَحُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيْكَ ۖ وَمِنَ ٱلْأَحْزَابِ مَن يُنكِرُ بَعْضَهُۥ ۚ قُلْ إِنَّمَآ أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ ٱللَّهَ وَلَآ أُشْرِكَ بِهِۦٓ ۚ إِلَيْهِ أَدْعُوا۟ وَإِلَيْهِ مَـَٔابِ

Orang-orang yang telah Kami berikan kitab kepada mereka bergembira dengan kitab yang diturunkan kepadamu, dan di antara golongan-golongan (Yahudi dan Nasrani) yang bersekutu, ada yang mengingkari sebahagiannya. Katakanlah, “Sesungguhnya aku hanya diperintah untuk beribadah kepada Allah dan tidak menyekutukan sesuatu pun dengan-Nya. Hanya kepada-Nya aku menyeru (manusia) dan hanya kepada-Nya aku kembali.”

Allah Swt menyatakan orang-orang yang diberi kitab iaitu golongan Yahudi dan Nasrani terbahagi kepada dua golongan dalam menyikapi Al-Quran.

Pertama:

Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) yang beriman dengan kitab yang diturunkan sebelumnya seperti ‘Abdullah bin Salam dan lain-lain yang begitu gembira dengan Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah saw. Ini kerana mereka menemukan bukti-bukti yang benar dan berita gembira tentang kedatangan Baginda daripada kitab-kitab mereka.

Kedua:

Ahli kitab yang mengingkari sebahagian kebenaran yang datang daripada Al-Quran terutama apabila bertentangan dengan syariat, amalan dan keyakinan mereka yang salah.

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw memberitahu mereka yang ingkar bahawa Baginda diutuskan hanya untuk menyeru manusia agar beriman, mentaati-Nya dan tidak menyekutukan-Nya. Baginda menyerahkan segala urusannya hanya kepada Allah Swt.

Ayat 37

وَكَذَٰلِكَ أَنزَلْنَـٰهُ حُكْمًا عَرَبِيًّا ۚ وَلَئِنِ ٱتَّبَعْتَ أَهْوَآءَهُم بَعْدَ مَا جَآءَكَ مِنَ ٱلْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّۢ وَلَا وَاقٍ

Dan demikianlah, Kami telah menurunkan Al-Quran itu sebagai peraturan (yang benar) dalam Bahasa Arab. Dan demi seandainya kamu mengikuti hawa nafsu mereka setelah datang pengetahuan kepadamu, maka sekali-kali tidak ada pelindung dan pemelihara bagimu terhadap (seksaan) Allah.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa sebagaimana Dia telah mengutus para Rasul sebelum Rasulullah saw dan menurunkan kepada mereka kitab-kitab dari langit, Dia juga menurunkan kepada baginda Al-Quran sebagai peraturan yang benar (dalam keadaan yang sempurna dan jelas) dan berbahasa Arab. Dia memuliakan Baginda dengan Al-Quran dan dengannya (Al-Quran) yang jelas dan nyata itu pula Dia melebihkan Baginda mengatasi para Nabi dan Rasul yang lain.

Allah Ta’ala menyatakan sekiranya Rasulullah saw mengikuti pandangan sesat dan hawa nafsu orang-orang kafir, maka tidak ada seorang pun yang akan menolongnya daripada azab-Nya. Ayat ini juga merupakan ancaman kepada orang-orang yang berilmu agar tidak mengikuti jalan orang-orang yang sesat, setelah mereka mendapat bimbingan dan syariat Nabi Muhammad saw yang sangat jelas dan nyata.