Perumpamaan Syurga yang Dijanjikan kepada Orang Bertakwa
Surah 13: Ar-Ra’d (35)
Ayat 35
مَّثَلُ ٱلْجَنَّةِ ٱلَّتِى وُعِدَ ٱلْمُتَّقُونَ ۖ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ ۖ أُكُلُهَا دَآئِمٌ وَظِلُّهَا ۚ تِلْكَ عُقْبَى ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوا۟ ۖ وَّعُقْبَى ٱلْكَـٰفِرِينَ ٱلنَّارُ
Perumpamaan Syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa ialah (seperti taman), mengalir sungai-sungai di dalamnya, buahnya tidak henti-henti sedang naungannya (demikian juga). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang yang kafir ialah Neraka.
Allah Swt menyatakan bahawa apa yang diceritakan kepada Rasulullah saw adalah gambaran Syurga yang begitu mengagumkan. Syurga inilah yang dijanjikan oleh-Nya kepada orang-orang yang bertakwa, memiliki sungai-sungai yang mengalir dari segala penjuru dan tepinya. Airnya mengalir sesuai dengan keinginan penghuni syurga. Firman-Nya:
“(Apakah) perumpamaan (penghuni) Syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa yang di dalamnya ada sungai-sungai daripada air yang tidak berubah rasa dan baunya, sungai-sungai daripada air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai daripada khamar yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai daripada madu yang disaring, dan mereka memperoleh di dalamnya pelbagai jenis buah-buahan dan keampunan daripada Rabb mereka, sama dengan orang yang kekal dalam Jahannam dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memotong ususnya?”
Muhammad 47:15
Dalam Syurga terdapat buah-buahan, makanan dan minuman yang banyak, tidak pernah putus dan tidak pernah habis. Begitu juga dengan naungannya yang tidak pernah terhapus atau hilang. Firman-Nya:
“Di dalamnya mereka duduk bertelekan di atas pelamin-pelamin, mereka tidak merasakan di dalamnya (teriknya) matahari dan tidak pula dingin yang bersangatan. Dan naungan (pohon-pohon syurga itu) dekat di atas mereka dan buahnya dimudahkan memetiknya semudah-mudahnya.”
Al-Insan 76:13-14
Diriwayatkan juga daripada Jabir bin ‘Abdullah, Rasulullah saw bersabda:
“Penghuni Syurga makan dan minum, mereka tidak berhingus, tidak buang air besar dan tidak buang air kecil. Makanan mereka akan berubah menjadi sendawa yang aromanya seperti wangi kasturi. Mereka terus menerus memuji dan mensucikan Allah sebagaimana mereka mendapat menghirup udara.”
(HR. Muslim)
Allah Ta’ala sering menggandingkan kenikmatan Syurga dengan kepedihan seksaan Neraka, agar sesiapa yang membacanya memilih untuk mendapatkan Syurga dan menghindarkan diri daripada neraka. Firman-Nya:
“Tidak sama penduduk neraka dengan penduduk Syurga, penduduk Syurga itulah orang-orang yang beruntung.”
Al-Hasyr 59:20