Nabi Muhammad saw Diutus untuk Menyampaikan Wahyu Allah Swt
Surah 13: Ar-Ra’d (30 – 31)
Ayat 30
كَذَٰلِكَ أَرْسَلْنَـٰكَ فِىٓ أُمَّةٍ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهَآ أُمَمٌ لِّتَتْلُوَا۟ عَلَيْهِمُ ٱلَّذِىٓ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ وَهُمْ يَكْفُرُونَ بِٱلرَّحْمَـٰنِ ۚ قُلْ هُوَ رَبِّى لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ مَتَابِ
Demikianlah, Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad) kepada satu umat yang sungguh telah berlalu beberapa umat sebelumnya, supaya kamu membacakan kepada mereka (Al-Quran) yang Kami wahyukan kepadamu, padahal mereka kafir terhadap Rabb Yang Maha Pemurah. Katakanlah, “Dia-lah Rabbku, tidak ada Ilah (yang berhak diibadahi) selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal, dan hanya kepada-Nya aku bertaubat.”
Allah Swt menyatakan bahawa tujuan Nabi Muhammad saw diutuskan kepada umatnya sama seperti tujuan para Rasul terdahulu diutuskan kepada umat masing-masing.
Umat-umat terdahulu kufur kepada Allah Ta’ala dan mendustakan para Rasul, begitu jugalah keadaannya umat Baginda pada masa Baginda diutuskan untuk menyampaikan wahyu (Al-Quran) kepada mereka.
Maksud ayat, “padahal mereka kafir terhadap Rabb Yang Maha Pemurah,” ialah semasa Nabi Muhammad saw diutuskan, kaum musyrik Mekah tidak beriman kepada Rabb Yang Maha Pemurah yang rahmat-Nya meliputi segala sesuatu, tidak mengakui-Nya dan tidak mensyukuri nikmat dan kurniaan-Nya. Bahkan mereka mengatakan Dia memiliki sekutu. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka ucapkan itu.
Seterusnya Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw mengatakan bahawa Baginda beriman kepada Rabb yang mereka ingkari. Dia-lah Rabb yang berhak disembah, tidak ada Rabb selain-Nya. Hanya kepada-Nya diserahkan segala urusan dan hanya kepada-Nya semua akan kembali.
Ayat 31
وَلَوْ أَنَّ قُرْءَانًا سُيِّرَتْ بِهِ ٱلْجِبَالُ أَوْ قُطِّعَتْ بِهِ ٱلْأَرْضُ أَوْ كُلِّمَ بِهِ ٱلْمَوْتَىٰ ۗ بَل لِّلَّهِ ٱلْأَمْرُ جَمِيعًا ۗ أَفَلَمْ يَا۟يْـَٔسِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَن لَّوْ يَشَآءُ ٱللَّهُ لَهَدَى ٱلنَّاسَ جَمِيعًا ۗ وَلَا يَزَالُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ تُصِيبُهُم بِمَا صَنَعُوا۟ قَارِعَةٌ أَوْ تَحُلُّ قَرِيبًا مِّن دَارِهِمْ حَتَّىٰ يَأْتِىَ وَعْدُ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُخْلِفُ ٱلْمِيعَادَ
Dan sekiranya ada suatu bacaan (kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digoncangkan atau bumi jadi terbelah atau oleh kerananya orang yang sudah mati dapat berbicara, (tentu itulah Al-Quran). Sebenarnya segala urusan itu adalah kepunyaan Allah. Maka apakah orang-orang yang beriman itu tidak mengetahui bahawa seandainya Allah menghendaki (semua manusia beriman), tentu Allah memberi petunjuk kepada manusia semuanya. Dan orang-orang yang kafir sentiasa ditimpa bencana disebabkan perbuatan mereka sendiri atau bencana itu terjadi dekat dengan tempat kediaman mereka, sehingga datanglah janji Allah. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji.
Allah Swt memuji Al-Quran yang diwahyukan-Nya kepada Nabi Muhammad saw. Dia juga mengunggulkannya mengatasi kitab-kitab lain yang diturunkan sebelumnya.
Allah Ta’ala juga menyatakan sekiranya ada bacaan-bacaan yang dapat menggoncangkan gunung-ganang, menyebabkan bumi terbelah dan orang-orang telah mati dapat bercakap semula, itulah Al-Quran. Bahkan yang lebih utama daripada itu, kemukjizatan Al-Quran yang lainnya ialah manusia dan jin sekali-kali tidak akan mampu membuat yang serupa Al-Quran walaupun satu surah. Namun orang-orang musyrik tetap tidak juga beriman.
Segala urusan kembali kepada Allah Swt. Apa yang dikehendaki-Nya pasti terjadi dan apa yang tidak dikehendaki-Nya, pasti tidak akan terjadi. Sesiapa yang disesatkan-Nya, tidak ada yang dapat memberinya petunjuk dan sesiapa yang dapat petunjuk-Nya, tiada sesiapa pun yang dapat menyesatkannya. Allah Ta’ala menyatakan bahawa bencana selalu menimpa orang-orang kafir di dunia atau menimpa orang-orang di sekeliling mereka adalah disebabkan pendustaan mereka terhadap Rabb Yang Maha Penyayang. Ini supaya mereka dapat mengambil pelajaran dan bertaubat kepada-Nya. Firman-Nya:
“Dan demi sesungguhnya! Kami telah binasakan negeri-negeri yang ada di sekeliling (negeri) kamu (wahai kaum musyrik Mekah), dan Kami telah mendatangkan tanda-tanda (kekuasaan Kami) berulang-ulang, supaya mereka kembali (bertaubat).”
Al-Ahqaf 46:27
Allah Ta’ala juga mengatakan bahawa Dia tidak akan membatalkan janji-Nya untuk memberikan pertolongan dan kemenangan di dunia kepada para Rasul serta pengikut-pengikut mereka, sebagaimana firman-Nya:
“Oleh itu janganlah sekali-kali kamu mengira Allah akan menyalahi janji-Nya kepada Rasul-rasul-Nya, sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi mempunyai pembalasan.”
Ibrahim 14:47