Zikrullah dapat Mententeramkan Hati
Surah 13: Ar-Ra’d (28 – 29)
Ayat 28
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ
(iaitu) orang-orang yang beriman hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.
Ayat ini bermaksud hati akan menjadi baik dan tenang ketika mengingati Allah Swt. Orang yang memiliki hati yang tenang akan sentiasa bersandar kepada Allah Swt dan redha Allah Swt sebagai Pelindung mereka. Hidup terasa lebih nikmat kerana mencintai-Nya, terasa dekat dengan-Nya dan mengenali-Nya. Semakin banyak mengingati-Nya semakin tinggi tahap kecintaan kepada-Nya.
Ada yang mentafsirkan “mengingati Allah” ialah mengingati janjinya dengan Allah Ta’ala. Ada pula yang mentafsirkan “mengingati Allah” dengan kitab-Nya yang diturunkan sebagai petunjuk bagi orang-orang mukmin.
Oleh itu, hati menjadi tenteram kerana mengingati Allah adalah ketika memahami isi kandungan Al-Quran dan hukum-hukumnya, kerana isi kandungannya menunjukkan kebenaran dan diperkuatkan lagi dengan dalil-dalil dan bukti yang jelas sehingga hati semakin tenteram. Ini kerana hati tidaklah tenteram kecuali dengan ilmu dan keyakinan, dan hal itu ada dalam kitab Allah Swt.
Ayat 29
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ طُوبَىٰ لَهُمْ وَحُسْنُ مَـَٔابٍ
Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka tuba (kebahagiaan) dan tempat kembali yang baik.
Orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan beroleh kehidupan yang tenang, penuh kenikmatan, kebaikan, pahala yang baik dan tempat kembali yang baik iaitu syurga.
Dalam Kitab Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan bahawa Ibnu Abi Talhah mengatakan maksud “Tuba” ialah kegembiraan dan sesuatu yang menggembirakan. Qatadah berkata, “Tuba” berasal daripada kalimah bahasa Arab yang sering diucapkan untuk ucapan selamat, seperti apabila seorang berkata, “Tuba laka” maksudnya ialah, kamu telah mendapat kebaikan. Qatadah juga mengatakan dalam riwayat yang lain maksud, “Tuba lahum” ialah syurga untuk mereka.
Menurut Ibnu ‘Abbas ra yang dinyatakan dalam kitab Tafsir Al-Munir, “Tuba” ialah syurga dan nama sebuah pohon di syurga. Al-Qurtubi menguatkan pendapat yang kedua iaitu nama sebuah pohon di syurga.
Daripada Sahl bin Sa’ad ra bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya di dalam syurga itu ada sebatang pohon yang (meskipun) seorang yang menunggang kuda berjalan di bawah naungannya selama seratus tahun belum juga dapat menyelesaikannya.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)