Surah 13: Ar-Ra’d (25)

Sifat Orang Celaka

Surah 13: Ar-Ra’d (25)


Ayat 25

وَٱلَّذِينَ يَنقُضُونَ عَهْدَ ٱللَّهِ مِنۢ بَعْدِ مِيثَـٰقِهِۦ وَيَقْطَعُونَ مَآ أَمَرَ ٱللَّهُ بِهِۦٓ أَن يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِى ٱلْأَرْضِ ۙ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمُ ٱللَّعْنَةُ وَلَهُمْ سُوٓءُ ٱلدَّارِ

Orang-orang yang merosakkan perjanjian Allah setelah diikrarkan dengan teguh dan memutuskan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan dan mengadakan kerosakan di bumi, orang-orang itulah yang memperoleh laknat dan bagi mereka tempat kediaman yang buruk (Jahannam).

Setelah Allah Swt menyebutkan keadaan orang-orang yang berbahagia dengan balasan kemuliaan yang disediakan untuk mereka di syurga, dalam ayat ini Dia menyebutkan pula keadaan orang-orang yang celaka dengan balasan seksaan-Nya di neraka. Mereka mempunyai tiga sifat seperti berikut:

▪️    Melanggar dan merosakkan janji Allah Swt iaitu mereka tidak mahu menerima atau tunduk serta menjalankan kewajipan kepada Allah Swt meskipun telah terbukti kekuasaan dan keesaan-Nya. Mereka juga merosakkan perjanjian dengan sesama manusia.

▪️    Mereka memutuskan hubungan keimanan kepada Allah Ta’ala dan memutuskan silaturrahim, memerangi orang-orang mukmin dan tidak memberikan bantuan kepada mereka.

▪️    Mereka mengadakan kerosakan di bumi dengan mengambil hak orang lain secara batil dan menghalang mereka dari jalan Allah Swt.

Orang-orang seperti ini akan dihukum oleh Allah Swt. Mereka dilaknat oleh Allah Swt, malaikat-Nya dan hamba-hamba-Nya yang beriman serta dijauhkan daripada rahmat Allah Swt. Tempat kesudahan mereka ialah neraka Jahannam.