Sifat Orang Berakal (Ulul-Albab)
Surah 13: Ar-Ra’d (19 – 24)
Ayat 19
أَفَمَن يَعْلَمُ أَنَّمَآ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ ٱلْحَقُّ كَمَنْ هُوَ أَعْمَىٰٓ ۚ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ
Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu daripada Rabbmu itu benar (hak), sama dengan orang yang buta? Hanya orang-orang yang berakal sahajalah yang dapat mengambil pelajaran.
Allah Swt menyatakan ada orang mengetahui bahawa apa yang diturunkan-Nya kepada Nabi Muhammad saw itu adalah kebenaran dan tidak mengandungi keraguan atau kekeliruan. Bahkan semua berita yang ada di dalamnya adalah membenarkan bahagian yang lain dan semua perintah dan larangannya wujud daripada keadilan, sebagaimana ditegaskan dalam firman-Nya:
“Dan telah sempurnalah kalimat Rabbmu (Al-Quran), sebagai kalimat yang benar dan adil…..”
Al-An’am 6:115
Ini bermaksud Al-Quran itu benar dalam pemberitaannya dan adil dalam tuntutannya (perintah dan larangannya). Oleh itu, orang yang telah mengetahui kebenaran daripada apa yang disampaikan oleh Rasulullah saw adalah tidak sama dengan orang yang buta yang tidak mendapat petunjuk atau memahaminya untuk kebaikan. Sekalipun jika dia memahaminya, dia tidak mahu tunduk kepadanya, tidak mahu membenarkannya dan tidak mahu mengikutinya.
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa hanya orang-orang yang memiliki akal yang sihat sahaja yang dapat menerima nasihat, mengambil pelajaran dan memikirkannya. Semoga Allah Swt menjadikan kita termasuk dalam golongan mereka. Allahumma aamiin!
Ayat 20
ٱلَّذِينَ يُوفُونَ بِعَهْدِ ٱللَّهِ وَلَا يَنقُضُونَ ٱلْمِيثَـٰقَ
(Iaitu) orang-orang yang memenuhi janji Allah dan tidak merosak perjanjian,
Ayat 21
وَٱلَّذِينَ يَصِلُونَ مَآ أَمَرَ ٱللَّهُ بِهِۦٓ أَن يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوٓءَ ٱلْحِسَابِ
Dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan, dan mereka takut kepada Rabb mereka dan takut kepada hisab yang buruk.
Ayat 22
وَٱلَّذِينَ صَبَرُوا۟ ٱبْتِغَآءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنفَقُوا۟ مِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِٱلْحَسَنَةِ ٱلسَّيِّئَةَ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ عُقْبَى ٱلدَّارِ
Dan orang-orang yang bersabar kerana mengharapkan keredhaan Rabb mereka, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka, sama ada secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan. Orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik).
Dalam ayat-ayat di atas, Allah Swt menyebutkan tujuh sifat terpuji orang-orang yang memiliki akal dan mengambil pelajaran serta nasihat (ulul albab). Mereka mendapat kesudahan yang baik dan kemenangan di dunia dan akhirat. Tujuh sifat tersebut adalah:
Pertama:
Orang-orang yang memenuhi janji Allah Swt dan tidak merosakkan perjanjian. Mereka tidak seperti orang-orang munafik yang apabila berjanji selalu ingkar, apabila bertikai selalu jahat, apabila berbicara selalu berdusta dan apabila dipercayai selalu khianat.
Kedua:
Orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah Swt perintahkan supaya dihubungkan. Ini termasuk mempererat tali persaudaraan (ikatan silaturrahim), berbuat baik kepada kaum kerabat dan menyantuni orang-orang fakir dan miskin serta orang-orang yang memerlukan bantuan.
Ketiga:
Mereka takut kepada Rabb mereka baik ketika melakukan ketaatan mahupun kemaksiatan. Mereka selalu berasa diawasi oleh Allah Swt (bermuraqabah) dan takut kepada perhitungan amal (hisab) yang buruk di akhirat nanti.
Keempat:
Orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Rabb mereka iaitu mereka sabar meninggalkan semua yang dilarang dan perbuatan berdosa, dengan menahan diri daripada melakukannya semata-mata kerana Allah Swt, serta mengharapkan keredhaan-Nya dan limpahan pahala yang besar daripada-Nya.
Kelima:
Mereka mendirikan solat dengan melaksanakan segala ketentuannya, pada waktunya, lengkap dengan ruku’, sujud dan khusyu’ serta sesuai dengan ketentuan syari’at yang diredhai Allah Swt.
Keenam:
Mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang diberikan oleh Allah Swt kepada mereka. Ini diberikan kepada orang-orang yang wajib mereka nafkahi yang menjadi tanggungan mereka, seperti isteri, kerabat dan orang lain seperti orang-orang fakir miskin, orang-orang yang memerlukan dan orang-orang yang susah. Mereka lakukan ini baik secara sembunyi mahupun secara terang-terangan.
Ketujuh:
Menolak kejahatan dengan kebaikan, iaitu apabila mereka disakiti, maka dibalas dengan perbuatan baik. Mereka dengan sabar menanggung perbuatan buruk orang tersebut serta berlapang dada dan memberikan maaf kepadanya, sebagaimana firman Allah Ta’ala:
“Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keuntungan yang besar.”
Fussilat 41:34-35
Seterusnya, Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang yang bahagia mempunyai sifat-sifat baik seperti yang disebutkan di atas, akan mendapat tempat kesudahan yang baik.
Ayat 23
جَنَّـٰتُ عَدْنٍۢ يَدْخُلُونَهَا وَمَن صَلَحَ مِنْ ءَابَآئِهِمْ وَأَزْوَٰجِهِمْ وَذُرِّيَّـٰتِهِمْ ۖ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِم مِّن كُلِّ بَابٍ
(iaitu) syurga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama orang-orang yang soleh daripada ibu bapa mereka dan pasangan-pasangan mereka serta anak-anak mereka, sedang para malaikat masuk ke tempat-tempat mereka daripada semua pintu (sambil mengucapkan),
Ayat 24
سَلَـٰمٌ عَلَيْكُم بِمَا صَبَرْتُمْ ۚ فَنِعْمَ عُقْبَى ٱلدَّارِ
“Selamat sejahteralah kamu, disebabkan kesabaran kamu.” Maka amatlah baiknya tempat kesudahan itu.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa tempat kesudahan yang baik bagi orang-orang yang memiliki tujuh sifat-sifat tersebut ialah syurga ‘Adn.
Allah Ta‘ala juga memberitahu bahawa mereka akan dikumpulkan bersama-sama orang-orang yang mereka cintai seperti ibu bapa, pasangan-pasangan serta anak cucu yang layak masuk ke syurga kerana mereka beriman dan beramal soleh. Ini dapat menghiburkan dan meninggikan darjat mereka disebabkan kebaikan-kebaikan yang mereka lakukan semasa di dunia. Hal ini sebagaimana dijelaskan dalam firman Allah Swt:
“Dan orang-orang yang beriman yang diikuti oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga), dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun daripada pahala amal-amal mereka, setiap orang terikat dengan amal yang dikerjakannya.”
At-Tur 52:21
Malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu untuk mengucapkan selamat sejahtera kepada mereka yang telah berjaya ke syurga. Ucapan tersebut adalah disebabkan kesabaran mereka ketika di dunia sehingga memperoleh kurniaan dan nikmat daripada Allah Swt. Sesungguhnya amat baik tempat kesudahan mereka. Ya Allah, jadikanlah kami sebahagian daripada mereka. Allahumma aamiin!