Perumpamaan tentang Kebenaran dan Kebatilan
Surah 13: Ar-Ra’d (17 – 18)
Ayat 17
أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَسَالَتْ أَوْدِيَةٌۢ بِقَدَرِهَا فَٱحْتَمَلَ ٱلسَّيْلُ زَبَدًا رَّابِيًا ۚ وَمِمَّا يُوقِدُونَ عَلَيْهِ فِى ٱلنَّارِ ٱبْتِغَآءَ حِلْيَةٍ أَوْ مَتَـٰعٍۢ زَبَدٌ مِّثْلُهُۥ ۚ كَذَٰلِكَ يَضْرِبُ ٱللَّهُ ٱلْحَقَّ وَٱلْبَـٰطِلَ ۚ فَأَمَّا ٱلزَّبَدُ فَيَذْهَبُ جُفَآءً ۖ وَأَمَّا مَا يَنفَعُ ٱلنَّاسَ فَيَمْكُثُ فِى ٱلْأَرْضِ ۚ كَذَٰلِكَ يَضْرِبُ ٱللَّهُ ٱلْأَمْثَالَ
Allah menurunkan air (hujan) dari langit, lalu mengalirlah air di lembah-lembah menurut ukurannya, maka arus itu membawa buih yang mengembang. Dan daripada apa (logam) yang mereka leburkan dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau peralatan, ada juga buihnya seperti buih arus itu. Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu akan hilang lenyap sebagai sesuatu yang tidak berguna, manakala yang memberi manfaat kepada manusia tetap ada di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan.
Dalam ayat ini terdapat dua perumpamaan iaitu air dan logam yang diibaratkan seperti kebenaran yang tetap utuh sementara buih pula seperti kebatilan yang mula-mula mengembang, kemudian mengecil dan akhirnya musnah.
Air hujan diumpamakan sebagai petunjuk manakala tanah diibaratkan sebagai hati. Hati manusia berbeza-beza. Hati yang sedia menerima petunjuk dan menampung ilmu yang banyak diibaratkan sebagai lembah yang besar yang menampung banyak air. Manakala hati yang menampung ilmu yang sedikit, diumpamakan sebagai lembah yang kecil yang menampung sedikit air.
Perumpamaan yang kedua ialah tentang buih dan logam. Apabila kebenaran dan kebatilan bertembung, kebatilan tidak akan dapat bertahan sebagaimana buih yang terapung-apung tidak dapat bertahan bersama air dan logam seperti emas dan sebagainya. Ini kerana jika logam seperti emas, perak, besi, tembaga dibakar atas api tentulah ada yang lebur dan cair menjadi buih. Emas, perak dan sebagainya tetap boleh dimanfaatkan sedangkan buih tidak berguna.
Daripada Abu Musa Al-Asy’ari ra, bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Perumpamaan ilmu dan petunjuk yang dengannya Allah mengutus aku adalah seperti hujan lebat yang menimpa bumi. Pertama, ada sebahagian dari tanah itu subur yang menerima air, lalu menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput yang banyak. Ada pula tanah yang tandus dan keras, yang hanya dapat menampung air sehingga dengan air tersebut Allah memberikan manfaat kepada manusia, mereka pun meminumnya, menggembalakan ternak mereka, memberinya minum dan bercucuk tanam. Kedua, hujan itu juga menimpa sebahagian tanah lain lagi, tetapi tanah itu datar, tidak dapat menahan air, dan tidak dapat pula menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Perumpamaan pertama ialah bagi orang yang memahami agama Allah, dan Allah memberikan manfaat kepadanya daripada tujuan yang aku diutus untuk menyampaikannya. Maka dia pun memanfaatkannya, memahami dan mengajarkannya (kepada orang lain), dan perumpamaan yang kedua ialah perumpamaan kepada orang yang sombong daripada ilmu Allah, dan tidak mahu mempelajarinya serta tidak mahu menerima petunjuk Allah yang aku diutus untuk menyampaikannya.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 18
لِلَّذِينَ ٱسْتَجَابُوا۟ لِرَبِّهِمُ ٱلْحُسْنَىٰ ۚ وَٱلَّذِينَ لَمْ يَسْتَجِيبُوا۟ لَهُۥ لَوْ أَنَّ لَهُم مَّا فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًا وَمِثْلَهُۥ مَعَهُۥ لَٱفْتَدَوْا۟ بِهِۦٓ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ سُوٓءُ ٱلْحِسَابِ وَمَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَبِئْسَ ٱلْمِهَادُ
Bagi orang-orang yang memenuhi seruan Rabbnya, (disediakan) pembalasan yang baik. Dan orang-orang yang tidak memenuhi seruan-Nya, sekiranya mereka mempunyai semua (kekayaan) yang ada di bumi dan (ditambah) sebanyak isi bumi itu lagi bersertanya, nescaya mereka akan menebus dirinya dengan kekayaan itu. Orang-orang itu, disediakan baginya hisab yang buruk dan tempat kediaman mereka ialah Jahannam dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman.
Setelah Allah Ta’ala menerangkan perbandingan antara yang hak dan yang batil, Allah Swt menerangkan pula bahawa manusia terbahagi kepada dua golongan. Golongan yang pertama ialah golongan yang taat kepada Allah Swt dan Rasul-Nya, mengikuti segala perintah-Nya dan membenarkan segala berita-berita yang disampaikan oleh Allah Swt baik yang telah berlalu ataupun yang akan datang.
Orang-orang yang taat kepada Allah Swt dan Rasul-Nya akan mendapat pembalasan yang baik seperti dalam firman-Nya:
“Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga)……”
Yunus 10:26
Golongan kedua pula ialah golongan orang-orang yang menentang perintah Allah Swt dan Rasul-Nya. Allah Ta’ala memberitahu tentang sikap mereka yang tidak taat ini di akhirat nanti, iaitu sekiranya mereka dapat menebus seksa Allah Swt dengan emas sepenuh bumi dan ditambah sebanyak itu lagi, pasti mereka akan melakukannya. Namun tebusan itu tidak akan diterima.
Orang-orang kafir ini disediakan hisab yang buruk. Mereka akan ditanya tentang hal-hal yang kecil dan remeh temeh serta hal yang penting yang berkaitan dengan hak Allah Swt ataupun hak hamba-Nya dan akan diberikan hukuman tanpa diampuni. Mereka akan berkata:
“……………“Aduhai celakanya kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan mencatat semuanya.” Dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan tertulis (di dalamnya). Dan (ingatlah) Rabbmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.”
Al-Kahfi 18:49