Surah 13: Ar-Ra’d (14 – 16)

Perumpamaan Orang yang Beribadah kepada Ilah selain Allah Swt dan Penetapan-Nya bahawa Tiada Ilah Selain-Nya

Surah 13: Ar-Ra’d (14 – 16)


Ayat 14

لَهُۥ دَعْوَةُ ٱلْحَقِّ ۖ وَٱلَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِهِۦ لَا يَسْتَجِيبُونَ لَهُم بِشَىْءٍ إِلَّا كَبَـٰسِطِ كَفَّيْهِ إِلَى ٱلْمَآءِ لِيَبْلُغَ فَاهُ وَمَا هُوَ بِبَـٰلِغِهِۦ ۚ وَمَا دُعَآءُ ٱلْكَـٰفِرِينَ إِلَّا فِى ضَلَـٰلٍ

Hanya bagi Allah-lah (hak mengabulkan) doa yang benar. Dan berhala-berhala yang mereka ibadahi selain Allah tidak dapat memperkenankan sesuatu pun bagi mereka, melainkan seperti orang yang membukakan kedua tapak tangannya ke dalam air supaya sampai air ke mulutnya, padahal air itu tidak dapat sampai ke mulutnya. Dan doa (ibadah) orang-orang kafir itu, hanyalah sia-sia belaka.

Allah Swt menyatakan bahawa hanya penyembahan dan doa kepada-Nya-lah sahaja yang hak (benar). Ini merupakan sanggahan terhadap orang-orang kafir yang menetapkan ilah-ilah lain untuk diibadahi disamping-Nya. Sesungguhnya berhala dan sembahan-sembahan mereka adalah batil kerana tidak boleh memperkenankan doa dan permohonan, juga tidak dapat memberi manfaat atau menghalang daripada ditimpa mudarat.

Dalam Kitab Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan bahawa orang yang menyembah selain Allah Swt diumpamakan seperti orang yang mengambil air dari tepi telaga dengan kedua tapak tangannya yang terbuka. Ini sudah tentu selama-lamanya air tidak akan sampai ke mulutnya.

Ada juga yang berpendapat, bahawa mereka ini diibaratkan sebagai memanggil air dengan lidah, dan sudah tentu dengan cara ini air tidak akan sampai ke mulut mereka.

Kesimpulannya ialah sebagaimana orang-orang itu tidak dapat minum kerana air tidak sampai ke mulut, begitulah juga keadaan orang-orang musyrik yang menyembah Allah Swt bersama-sama dengan sembahan-sembahan mereka yang lain, sudah pasti sama sekali tidak mendapat keuntungan sama ada di dunia ataupun di akhirat. Oleh itu, Allah Swt menyatakan bahawa ibadah orang-orang kafir itu sia-sia sahaja.

Ayat 15

وَلِلَّهِ يَسْجُدُ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَظِلَـٰلُهُم بِٱلْغُدُوِّ وَٱلْـَٔاصَالِ

Hanya kepada Allah-lah sujud (patuh) segala apa yang ada di langit dan di bumi, baik dengan kemahuan sendiri (sukarela) ataupun (kerana) terpaksa (dan sujud juga) bayang-bayangnya pada waktu pagi dan petang.

Allah Ta’ala memberitahu tentang kebesaran dan kekuasaan-Nya yang dapat menundukkan segala sesuatu. Oleh itu, segala sesuatu sujud (tunduk) kepadanya baik secara sukarela seperti patuhnya orang-orang mukmin baik ketika sempit atau lapang.

Orang-orang kafir pula tunduk kepada Allah Ta’ala namun secara terpaksa ketika dalam keadaan sempit dan susah. Malah segala sesuatu berupa manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan dan benda mati, semuanya tunduk kepada-Nya Yang Maha Pencipta.

Demikian juga dengan bayang-bayang segala sesuatu turut sujud dan tunduk kepada Allah Swt pada pagi dan petang hari.

Ayat 16

قُلْ مَن رَّبُّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ قُلِ ٱللَّهُ ۚ قُلْ أَفَٱتَّخَذْتُم مِّن دُونِهِۦٓ أَوْلِيَآءَ لَا يَمْلِكُونَ لِأَنفُسِهِمْ نَفْعًا وَلَا ضَرًّا ۚ قُلْ هَلْ يَسْتَوِى ٱلْأَعْمَىٰ وَٱلْبَصِيرُ أَمْ هَلْ تَسْتَوِى ٱلظُّلُمَـٰتُ وَٱلنُّورُ ۗ أَمْ جَعَلُوا۟ لِلَّهِ شُرَكَآءَ خَلَقُوا۟ كَخَلْقِهِۦ فَتَشَـٰبَهَ ٱلْخَلْقُ عَلَيْهِمْ ۚ قُلِ ٱللَّهُ خَـٰلِقُ كُلِّ شَىْءٍ وَهُوَ ٱلْوَٰحِدُ ٱلْقَهَّـٰرُ

Katakanlah, “Siapakah Rabb langit dan bumi?” Jawablah, “Allah.” Katakanlah, ”Maka patutkah kamu mengambil pelindung-pelindungmu daripada selain Allah, padahal mereka tidak menguasai kemanfaatan dan tidak (juga) kemudaratan bagi diri mereka sendiri?” Katakanlah, ”Adakah sama orang yang buta dan orang yang dapat melihat, atau samakah gelap-gelita dengan terang benderang, apakah mereka menjadikan beberapa sekutu bagi Allah yang dapat menciptakan seperti ciptaan-Nya sehingga kedua-dua ciptaan itu serupa menurut pandangan mereka?” Katakanlah, ”Allah adalah Pencipta segala sesuatu dan Dia-lah Rabb yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.”

Allah Swt menetapkan, bahawa tidak ada Ilah yang berhak diibadahi dengan benar selain Dia. Hakikat ini diakui oleh orang-orang musyrik kerana mereka sememangnya mengakui bahawa Dia-lah yang mencipta langit dan bumi, dan Dia-lah Pemilik, Penguasa dan Pengaturnya.

Walaupun demikian, orang-orang musyrik masih tetap menjadikan ilah-ilah yang mereka sembah sebagai pelindung-pelindung, sedangkan ilah-ilah itu tidak dapat memberi manfaat dan mudarat bagi diri mereka sendiri, apalagi bagi penyembah-penyembahnya.

Oleh itu, apakah sama orang yang menyembah ilah-ilah (tuhan-tuhan) buatan mereka dengan orang-orang menyembah Allah Swt semata-mata dan tidak menyekutukan-Nya. Orang-orang yang menyembah Allah Swt semata-mata itulah yang berjalan di atas cahaya daripada Rabbnya. Allah Swt juga bertanya adakah orang-orang musyrik itu ingin menjadikan beberapa sekutu bagi-Nya yang dapat menandingi dan menyerupai-Nya dalam penciptaan. Mereka menganggap tuhan-tuhan itu dapat menciptakan sesuatu seperti ciptaan Allah Swt, lalu mereka katakan kedua-dua ciptaan itu serupa. Kenyataannya tidaklah demikian kerana tidak ada sesuatu pun yang dapat menandingi Allah Swt. Maha Suci dan Maha Tinggi Allah daripada hal seperti itu.

Maka Allah Swt menyanggah perbuatan mereka yang berkeyakinan tuhan-tuhan itu dapat menciptakan sesuatu seperti ciptaan Allah Swt, lalu mereka katakan kedua-dua ciptaan itu serupa. Padahal tidak ada seorang pun yang dapat memberikan pertolongan di sisi Allah Ta’ala kecuali dengan izin-Nya.