Surah 13: Ar-Ra’d (1)

Kebenaran Al-Quran

Surah 13: Ar-Ra’d (1)


Ayat 1

الٓمٓر ۚ تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱلْكِتَـٰبِ ۗ وَٱلَّذِىٓ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ ٱلْحَقُّ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يُؤْمِنُونَ

Alif lam mim ra’. Ini adalah ayat-ayat Al-Kitab (Al-Quran). Dan (kitab) yang diturunkan kepadamu daripada Rabbmu itu adalah hak (benar), akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (kepadanya).

Allah Swt menyatakan bahawa Al-Quran yang diturunkan dari sisi-Nya kepada Rasulullah saw adalah benar, tidak ada keraguan terhadapnya.

Namun kebanyakan manusia tidak membenarkan dan tidak mempercayai apa yang diturunkan oleh Allah Ta’ala kepada Rasulullah saw. Sikap keras kepala, kekafiran dan kemunafikan mereka telah menghalang mereka mengimani apa yang terdapat dalam Al-Quran walaupun sudah jelas ia mengandungi syariat dan hukum serta cara hidup yang menjaga kemaslahatan manusia sesuai untuk setiap zaman.