Kebenaran Mimpi Nabi Yusuf as
Surah 12: Yusuf (93 – 101)
Kisah dalam mimpi Nabi Yusuf as benar-benar terjadi iaitu Nabi Yaakub as dan anak-anaknya seramai sebelas orang sujud di hadapan Nabi Yusuf as
Ayat 93
ٱذْهَبُوا۟ بِقَمِيصِى هَـٰذَا فَأَلْقُوهُ عَلَىٰ وَجْهِ أَبِى يَأْتِ بَصِيرًا وَأْتُونِى بِأَهْلِكُمْ أَجْمَعِينَ
Pergilah dengan membawa bajuku ini, kemudian letakkan pada muka ayahku supaya ia dapat melihat, dan selepas itu bawalah kepadaku keluarga kamu semuanya”.
Nabi Yusuf as menyuruh saudara-saudaranya kembali kepada ayahnya dengan membawa bajunya. Waktu itu, Nabi Yaakub as menjadi buta kerana terus menerus menangisi ketiadaan Nabi Yusuf as. Nabi Yusuf as menyuruh mereka meletakkan bajunya ke muka ayahnya agar ayahnya dapat melihat semula. Kemudian Nabi Yusuf as menyuruh saudara-saudaranya membawa kesemua ahli keluarga mereka menemuinya di Mesir.
Ayat 94
وَلَمَّا فَصَلَتِ ٱلْعِيرُ قَالَ أَبُوهُمْ إِنِّى لَأَجِدُ رِيحَ يُوسُفَ ۖ لَوْلَآ أَن تُفَنِّدُونِ
Dan semasa kafilah (mereka meninggalkan Mesir menunju ke tempat bapa mereka di Palestin), berkatalah bapa mereka (kepada kaum kerabatnya yang ada di sisinya): “Sesungguhnya aku ada terbau akan bau Yusuf. Jika kamu tidak menyangka aku sudah nyanyuk (tentulah kamu akan percaya)”.
Tatkala mereka meninggalkan Mesir, dengan izin Allah swt, Nabi Yaakub as dapat mencium bau Nabi Yusuf as. Baginda menceritakan perkara ini kepada kaum kerabatnya yang ada di sisinya. Seterusnya Baginda mengatakan tentu mereka tidak percaya kerana menganggap dirinya telah lemah akal (nyanyuk).
Ayat 95
قَالُوا۟ تَٱللَّهِ إِنَّكَ لَفِى ضَلَـٰلِكَ ٱلْقَدِيمِ
Mereka berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya ayah masih berada dalam keadaan tidak siumanmu yang lama”.
Kaum kerabat yang mendengar ucapan Nabi Yaakub as tidak mempercayainya bahkan mengatakan Baginda berada dalam kekeliruan. Ini kerana Baginda masih mengenang dan mengharapkan pertemuan dengan Nabi Yusuf as yang dicintainya secara berlebih-lebihan sekian lama sehingga tidak menyedari apa yang Baginda ucapkan.
Ayat 96
فَلَمَّآ أَن جَآءَ ٱلْبَشِيرُ أَلْقَىٰهُ عَلَىٰ وَجْهِهِۦ فَٱرْتَدَّ بَصِيرًا ۖ قَالَ أَلَمْ أَقُل لَّكُمْ إِنِّىٓ أَعْلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
Maka sebaik-baik sahaja datang pembawa khabar berita yang mengembirakan itu, dia pun meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Yaakub, lalu menjadilah ia celik kembali seperti sediakala. Nabi Yaakub berkata: “Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya?”
Mujahid dan As-Suddi mengatakan bahawa pembawa berita gembira tersebut adalah Yahudza bin Yaakub. Dia jugalah yang datang membawa baju Nabi Yusuf as disebabkan beliau ingin menebus kembali perbuatannya yang telah membawa baju Nabi Yusuf as yang dilumuri darah palsu dahulu. Kemudian dia menyapukannya ke wajah ayah mereka. Setelah itu dengan izin Allah Swt, Nabi Yaakub as dapat melihat kembali.
Setelah itu, Nabi Yaakub as menyatakan kepada anak-anaknya bahawa Baginda mengetahui bahawa Nabi Yusuf as masih hidup dan Allah Ta’ala akan mengembalikan Nabi Yusuf as kepadanya. Baginda telahpun menyebutkan hal ini kepada anak-anaknya seperti yang dinyatakan dalam ayat 94 di atas.
Ada pendapat mengatakan Nabi Yaakub as mengetahui bahawa Nabi Yusuf as masih hidup dan Allah Ta’ala akan mengembalikan Nabi Yusuf as kepadanya adalah melalui perantaraan wahyu dan bukan khayalan atau ramalan. Pendapat yang lain pula mengatakan ini adalah mukjizat Nabi Yaakub as.
Ayat 97
قَالُوا۟ يَـٰٓأَبَانَا ٱسْتَغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَآ إِنَّا كُنَّا خَـٰطِـِٔينَ
Mereka berkata: “Wahai ayah kami! Mintalah ampun bagi kami akan dosa-dosa kami; sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah”.
Setelah mendengar ucapan Nabi Yaakub as, saudara-saudara Nabi Yusuf as mulai sedar akan kesalahan mereka dan menyesal dengan perbuatan mereka dahulu. Mereka meminta Baginda memohon keampunan daripada Allah Swt atas segala dosa yang mereka telah lakukan.
Ayat 98
قَالَ سَوْفَ أَسْتَغْفِرُ لَكُمْ رَبِّىٓ ۖ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ
Nabi Yaakub berkata: “Aku akan meminta ampun bagi kamu dari Tuhanku; sesungguhnya Dia-lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
Nabi Yaakub as mengatakan bahawa Baginda akan memohonkan keampunan bagi mereka kepada Allah Ta’ala kerana Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya. Dia akan menerima taubat dan menutup dosa-dosa bagi sesiapa yang bertaubat.
Ayat 99
فَلَمَّا دَخَلُوا۟ عَلَىٰ يُوسُفَ ءَاوَىٰٓ إِلَيْهِ أَبَوَيْهِ وَقَالَ ٱدْخُلُوا۟ مِصْرَ إِن شَآءَ ٱللَّهُ ءَامِنِينَ
Maka ketika mereka (Nabi Yaakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata: “Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah kamu berada di dalam aman.
Nabi Yaakub as dan seluruh keluarganya pergi ke Mesir kerana memenuhi permintaan Nabi Yusuf as. Setelah mendengar rombongan orang tuanya hampir sampai ke Mesir, Nabi Yusuf as keluar untuk menyambut kedatangan mereka. Raja Mesir juga memerintahkan menteri-menterinya, pemimpin-pemimpin rakyatnya agar keluar bersama-sama Nabi Yusuf as menyambut ketibaan rombongan Nabi Yaakub as.
Nabi Yusuf as memeluk kedua ibu bapanya sambil mempelawa mereka tinggal bersama dengannya agar terhindar daripada kesusahan dan kemarau yang mereka sedang hadapi.
Ayat 100
وَرَفَعَ أَبَوَيْهِ عَلَى ٱلْعَرْشِ وَخَرُّوا۟ لَهُۥ سُجَّدًا ۖ وَقَالَ يَـٰٓأَبَتِ هَـٰذَا تَأْوِيلُ رُءْيَـٰىَ مِن قَبْلُ قَدْ جَعَلَهَا رَبِّى حَقًّا ۖ وَقَدْ أَحْسَنَ بِىٓ إِذْ أَخْرَجَنِى مِنَ ٱلسِّجْنِ وَجَآءَ بِكُم مِّنَ ٱلْبَدْوِ مِنۢ بَعْدِ أَن نَّزَغَ ٱلشَّيْطَـٰنُ بَيْنِى وَبَيْنَ إِخْوَتِىٓ ۚ إِنَّ رَبِّى لَطِيفٌ لِّمَا يَشَآءُ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْعَلِيمُ ٱلْحَكِيمُ
Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf: “Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara; dan Ia membawa kamu ke mari dari dosa sesudah Syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbir-Nya bagi apa yang dikehendaki-Nya; sesungguhnya Dia-lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Nabi Yusuf as mempersilakan kedua ibu bapanya duduk di atas singgahsana kerajaannya sebagai penghormatan kepada mereka berdua.
Ibu bapa dan saudara-saudaranya merebahkan diri seraya sujud memberikan penghormatan kepada Nabi Yusuf as sebagaimana yang lazim dilakukan oleh orang lain ketika menghormati raja dan pembesar-pembesar pada waktu itu.
Apabila melihat kedua ibu bapa dan saudara-saudaranya sujud di hadapannya, Nabi Yusuf as teringat kepada mimpi Baginda pada waktu kecil dahulu. Lalu Baginda menyatakan kepada ayahnya bahawa inilah takwil mimpinya dahulu ketika kecil. Mimpi Baginda disebutkan dalam firman Allah Swt:
“(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya, ‘Wahai ayahku, Sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan, kulihat semuanya sujud kepadaku.’”
Yusuf 12:4
Kisah dalam mimpi itu benar-benar terjadi iaitu Nabi Yaakub as dan anak-anaknya yang lain seramai sebelas orang sujud di hadapan Nabi Yusuf as.
Seterusnya, Nabi Yusuf as menyebutkan nikmat-nikmat Allah Ta’ala kepadanya. Baginda menyatakan bahawa Dia telah berbuat baik kepadanya. Dia membebaskannya dari penjara dan mengangkatnya menjadi pembesar. Dia memindahkan ayahnya dari dusun pasir di pedalaman yang suasana kehidupan sangat sederhana ke negeri yang ramai dan menikmati kehidupan yang bahagia.
Nabi Yusuf as sengaja tidak menyebutkan kisah telaga demi menjaga dan menghormati perasaan saudara-saudaranya. Seluruh peristiwa itu terjadi setelah syaitan merosakkan hubungan antara Baginda dengan saudara-saudaranya.
Sekiranya Allah Ta’ala berkehendak kepada sesuatu, Dia akan menyiapkan perantara atau sebab dan mempermudahkan jalannya.
Bersatunya kembali Nabi Yusuf as dengan keluarganya dalam keadaan yang membahagiakan, penuh dengan perasaan cinta dan kasih sayang merupakan sesuatu yang Dia takdirkan. Adalah suatu yang sukar untuk dibayangkan jika tanpa rahmat dan kasih sayang Allah Ta’ala kepada hamba-hamba-Nya. Dia Maha Mengetahui segala kemungkinan tanpa batas. Dia Maha Bijaksana dalam tindakan dan tidak ada sesuatu pun yang sia-sia dalam pengaturan-Nya.
Ayat 101
رَبِّ قَدْ ءَاتَيْتَنِى مِنَ ٱلْمُلْكِ وَعَلَّمْتَنِى مِن تَأْوِيلِ ٱلْأَحَادِيثِ ۚ فَاطِرَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ أَنتَ وَلِىِّۦ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ ۖ تَوَفَّنِى مُسْلِمًا وَأَلْحِقْنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ
“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh”.
Ini adalah puji-pujian syukur dan doa yang dipanjatkan oleh Nabi Yusuf as kepada Allah Ta’ala atas segala nikmat yang dikurniakan kepada Baginda. Baginda dapat berkumpul kembali dengan kedua ibu bapa dan saudara-saudaranya serta diberikan sebuah kerajaan dan darjat kenabian.
Nabi Yusuf as meminta agar diberikan rahmat oleh Allah Swt di akhirat nanti sebagaimana Baginda telah dikurniakan nikmat yang banyak di dunia.
Selain itu, Nabi Yusuf as juga meminta agar diwafatkan dalam keadaan muslim dan dikumpulkan bersama dengan orang-orang yang soleh iaitu para Nabi dan Rasul serta nenek moyangnya. Semoga Allah Swt melimpahkan selawat dan salam kepada mereka semua. Allahumma aamiin!