Nabi Yusuf as Memaafkan Saudara-saudaranya
Surah 12: Yusuf (83 – 92)
Nabi Yusuf as tidak mencela saudara-saudaranya sebaliknya memaafkan, tidak akan membalas kejahatan mereka terhadapnya, mendoakan keampunan dan kerahmatan untuk mereka
Ayat 83
قَالَ بَلْ سَوَّلَتْ لَكُمْ أَنفُسُكُمْ أَمْرًا ۖ فَصَبْرٌ جَمِيلٌ ۖ عَسَى ٱللَّهُ أَن يَأْتِيَنِى بِهِمْ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْعَلِيمُ ٱلْحَكِيمُ
(Setelah mereka kembali dan menyampaikan hal itu kepada bapa mereka) berkatalah dia: “(Tidaklah benar apa yang kamu katakan itu) bahkan nafsu kamu telah memperelokkan pada pandangan kamu suatu perkara (yang kamu rancangkan). Jika demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadaku. Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Setelah anak-anak Nabi Yaakub as kembali menemui Baginda, mereka menceritakan peristiwa yang berlaku ke atas adik mereka di Mesir. Baginda mengucapkan, ““(Tidaklah benar apa yang kamu katakan itu) bahkan nafsu kamu telah memperelokkan pada pandangan kamu suatu perkara (yang kamu rancangkan). Jika demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadaku.” Perkataan ini jugalah yang Baginda ucapkan ketika mereka membawa baju Nabi Yusuf as yang dilumuri darah palsu, seperti dalam ayat 18, surah Yusuf:
“Dan (bagi mengesahkan dakwaan itu) mereka pula melumurkan baju Yusuf dengan darah palsu. Bapa mereka berkata: “Tidak! Bahkan nafsu kamu memperelokkan kepada kamu suatu perkara (yang tidak diterima akal). Kalau demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah yang dipohonkan pertolongan-Nya, mengenai apa yang kamu katakan itu.”
Ucapan ini menunjukkan Nabi Yaakub as tidak mempercayai apa yang dilaporkan oleh anak-anaknya.
Nabi Yaakub as tetap bersabar terhadap ujian yang menimpa. Baginda menyerahkan segalanya kepada Allah Ta’ala kerana Dia Maha Mengetahui dan Baginda yakin dengan qadar dan qadha’-Nya.
Nabi Yaakub as mengharapkan agar ketiga-tiga anaknya iaitu Nabi Yusuf as, anaknya yang paling tua dan anak yang paling bongsu kembali ke pangkuannya.
Ayat 84
وَتَوَلَّىٰ عَنْهُمْ وَقَالَ يَـٰٓأَسَفَىٰ عَلَىٰ يُوسُفَ وَٱبْيَضَّتْ عَيْنَاهُ مِنَ ٱلْحُزْنِ فَهُوَ كَظِيمٌ
Dan (bapa mereka – Nabi Yaakub) pun berpaling dari mereka (kerana berita yang mengharukan itu) sambil berkata: Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf, dan putihlah dua belah matanya disebabkan ratap tangis dukacitanya kerana ia orang yang memendamkan marahnya di dalam hati.
Setelah itu, Nabi Yaakub as menjauhkan dirinya daripada anak-anaknya. Perpisahan dengan kedua-dua orang anaknya yang baru berlaku itu telah menambahkan lagi kesedihannya selepas kehilangan Nabi Yusuf as yang selama ini terpendam dalam hati tanpa mengadukan halnya kepada sesiapa pun.
Kesedihan yang teramat ini menyebabkan kedua-dua mata Nabi Yaakub as menjadi buta kerana terlalu banyak menangis.
Kesedihan tidak dilarang dalam agama selagi mana disertai dengan kesabaran, redha dan pasrah terhadap takdir Allah Ta’ala. Sedih merupakan hal yang wajar bagi manusia. Kesedihan yang dilarang adalah kebencian atas takdir Allah Swt, menjerit-jerit, merobek-robek pakaian dan mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya. Sabda Rasulullah saw:
“Mata boleh berlinangan dan hati bersedih, namun kita tetap tidak mengeluarkan kata-kata yang membuat Allah murka.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 85
قَالُوا۟ تَٱللَّهِ تَفْتَؤُا۟ تَذْكُرُ يُوسُفَ حَتَّىٰ تَكُونَ حَرَضًا أَوْ تَكُونَ مِنَ ٱلْهَـٰلِكِينَ
Mereka berkata: “Demi Allah, ayah tak habis-habis ingat kepada Yusuf, sehingga ayah menjadi sakit merana, atau menjadi dari orang-orang yang binasa”.
Hal ini menyebabkan timbul perasaan belas kasihan dalam hati anak-anak Nabi Yaakub as terhadap Baginda. Mereka berkata bahawa ayah mereka tidak pernah melupakan Nabi Yusuf as sehingga kekuatannya menjadi semakin lemah. Mereka bimbang sekiranya keadaan itu berterusan, Baginda akan membinasakan diri sendiri.
Ayat 86
قَالَ إِنَّمَآ أَشْكُوا۟ بَثِّى وَحُزْنِىٓ إِلَى ٱللَّهِ وَأَعْلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
(Nabi Yaakub) menjawab: “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya.
Nabi Yaakub as berkata bahawa hanya kepada Allah Swt sahaja Baginda mengadu segala kesedihan dan kesusahan yang sedang dialaminya. Baginda terus mengharapkan segala kebaikan daripada Allah Swt dan yakin bahawa mimpi Nabi Yusuf as pasti akan menjadi kenyataan.
Ayat 87
يَـٰبَنِىَّ ٱذْهَبُوا۟ فَتَحَسَّسُوا۟ مِن يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَا۟يْـَٔسُوا۟ مِن رَّوْحِ ٱللَّهِ ۖ إِنَّهُۥ لَا يَا۟يْـَٔسُ مِن رَّوْحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلْقَوْمُ ٱلْكَـٰفِرُونَ
Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”.
Nabi Yaakub as menyuruh anak-anaknya mendapatkan berita tentang Nabi Yusuf as dan saudaranya. Baginda menasihatkan agar mereka tidak berputus asa sebaliknya hendaklah sentiasa berharap dan berdoa kepada Allah Ta’ala supaya hasrat dan tujuan mereka tercapai. Ini kerana orang-orang beriman tidak boleh berputus asa daripada rahmat-Nya.
Ibnu ‘Abbas ra berkata, “Seorang mukmin selalu berada dalam kebaikan. Dia berharap kepada Allah Swt saat mendapat musibah dan bersyukur kepadaNya saat mendapat nikmat.”
Ayat 88
فَلَمَّا دَخَلُوا۟ عَلَيْهِ قَالُوا۟ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْعَزِيزُ مَسَّنَا وَأَهْلَنَا ٱلضُّرُّ وَجِئْنَا بِبِضَـٰعَةٍ مُّزْجَىٰةٍ فَأَوْفِ لَنَا ٱلْكَيْلَ وَتَصَدَّقْ عَلَيْنَآ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ يَجْزِى ٱلْمُتَصَدِّقِينَ
Maka (bertolaklah mereka ke Mesir, dan) setelah mereka masuk mengadap Yusuf, berkatalah mereka: “Wahai Datuk Menteri, kami dan keluarga kami telah menderita kesusahan (kemarau), dan kami datang dengan membawa barang-barang yang kurang baik dan tidak berharga (untuk menjadi tukaran bagi benda-benda makanan negeri ini). Oleh itu, sempurnakanlah sukatan bekalan makanan bagi kami dan mendermalah kepada kami, sesungguhnya Allah membalas dengan sebaik-baik balasan kepada orang-orang yang bermurah hati menderma”.
Ketika anak-anak Nabi Yaakub as kembali ke Mesir untuk kali ketiga dan menemui Nabi Yusuf as, mereka mengadu tentang kesusahan yang mereka alami disebabkan kekurangan makanan sambil mengharapkan dapatlah mereka menukar barang-barang mereka yang tidak berharga dengan bekalan makanan.
Ibnu Juraij mengatakan, maksud ayat, “dan mendermalah kepada kami” adalah dengan mengembalikan adik kami.
Ayat 89
قَالَ هَلْ عَلِمْتُم مَّا فَعَلْتُم بِيُوسُفَ وَأَخِيهِ إِذْ أَنتُمْ جَـٰهِلُونَ
Yusuf berkata: “Tahukah kamu (betapa buruknya) apa yang kamu telah lakukan kepada Yusuf dan adiknya, semasa kamu masih jahil (tentang buruknya perbuatan yang demikian)?”
Allah Ta‘ala menceritakan perasaan Nabi Yusuf as ketika Baginda mendengar cerita saudara-saudaranya. Mereka menyampaikan berita kesusahan, kekurangan makanan dan musim kemarau yang berpanjangan yang mereka alami. Nabi Yusuf as teringat kepada ayahnya Nabi Yaakub as, lalu terbayang olehnya akan kesusahan dan kesedihan yang dirasai oleh ayahnya akibat berpisah dengannya sedangkan ketika itu Baginda sendiri memiliki kekuasaan. Ketika itu, timbul perasaan hiba dan belas kasihan terhadap ayahnya serta saudara-saudaranya. Maka Baginda pun memperkenalkan dirinya dengan mengemukakan pertanyaan kepada mereka seperti yang dinyatakan dalam ayat di atas.
Ayat 90
قَالُوٓا۟ أَءِنَّكَ لَأَنتَ يُوسُفُ ۖ قَالَ أَنَا۠ يُوسُفُ وَهَـٰذَآ أَخِى ۖ قَدْ مَنَّ ٱللَّهُ عَلَيْنَآ ۖ إِنَّهُۥ مَن يَتَّقِ وَيَصْبِرْ فَإِنَّ ٱللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ ٱلْمُحْسِنِينَ
Mereka bertanya (dengan hairan): “Engkau ini Yusufkah? ” Ia menjawab: “Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat-Nya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.
Saudara-saudara Nabi Yusuf as berasa sangat hairan, kerana sebelum ini mereka telah bertemu sebanyak dua kali iaitu semenjak dua tahun lebih, namun mereka tidak mengenali Nabi Yusuf as, sebaliknya Baginda mengenali mereka dan merahsiakan tentang dirinya. Oleh itu, mereka menanyakan, adakah Baginda ini benar-benar Nabi Yusuf as.
Nabi Yusuf as memperkenalkan dirinya dan adiknya. Kemudian Baginda menyatakan bahawa mereka berdua mendapat limpah kurnia daripada Allah Swt dengan menyatukan mereka semula setelah terpisah sekian lama.
Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak akan mensia-siakan orang-orang yang bertakwa dan bersabar. Ini kerana takwa dan sabar terhadap sesuatu yang menimpa itu termasuk perkara yang baik dan Dia juga tidak akan mensia-siakan pahala orang yang berbuat baik.
Ayat 91
قَالُوا۟ تَٱللَّهِ لَقَدْ ءَاثَرَكَ ٱللَّهُ عَلَيْنَا وَإِن كُنَّا لَخَـٰطِـِٔينَ
Mereka berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (disebabkan takwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah”.
Mendapati kenyataan yang tidak terduga itu, saudara-saudara Nabi Yusuf as lalu berkata, demi Allah, sesungguhnya Dia Yang Maha Berkuasa telah mengurniakan kelebihan kepada Nabi Yusuf as mengatasi mereka dalam ketakwaan, kekayaan, kekuasaan, kedudukan dan ketampanan. Mereka juga mengaku bahawa sesungguhnya mereka adalah orang yang telah bersalah dan berbuat dosa.
Ayat 92
قَالَ لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ ٱلْيَوْمَ ۖ يَغْفِرُ ٱللَّهُ لَكُمْ ۖ وَهُوَ أَرْحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ
Yusuf berkata: “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.
Nabi Yusuf as menunjukkan sifat lemah lembutnya iaitu Baginda tidak mencela saudara-saudaranya sebaliknya memaafkan, tidak akan membalas kejahatan mereka terhadapnya, mendoakan keampunan dan kerahmatan untuk mereka. Hal ini merupakan sifat ihsan yang sangat tinggi.