Tuduhan Palsu terhadap Bunyamin
Surah 12: Yusuf (63 – 82)
Bunyamin dituduh mencuri piala raja
Ayat 63
فَلَمَّا رَجَعُوٓا۟ إِلَىٰٓ أَبِيهِمْ قَالُوا۟ يَـٰٓأَبَانَا مُنِعَ مِنَّا ٱلْكَيْلُ فَأَرْسِلْ مَعَنَآ أَخَانَا نَكْتَلْ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَـٰفِظُونَ
Maka ketika mereka kembali kepada bapa mereka, berkatalah mereka: “Wahai ayah kami! Kami (tetap diberi amaran bahawa kami) tidak akan mendapat lagi bekalan makanan (kiranya Bunyamin tidak pergi bersama). Oleh itu, hantarkanlah dia bersama-sama kami, supaya kami dapat lagi bekalan makanan; dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya”.
Setelah kembali dari Mesir, mereka menceritakan apa yang dipesan oleh menteri Mesir (Nabi Yusuf as) kepada ayahnya iaitu Nabi Yaakub as bahawa mereka tidak akan mendapat bahan makanan lagi sekiranya selepas ini adik mereka tidak ikut bersama-sama mereka ke Mesir bagi mendapatkan bekalan makanan.
Oleh itu, mereka merayu agar Nabi Yaakub as membenarkan adik mereka dibawa bersama dan berjanji akan menjaganya dengan sebaik mungkin.
Ayat 64
قَالَ هَلْ ءَامَنُكُمْ عَلَيْهِ إِلَّا كَمَآ أَمِنتُكُمْ عَلَىٰٓ أَخِيهِ مِن قَبْلُ ۖ فَٱللَّهُ خَيْرٌ حَـٰفِظًا ۖ وَهُوَ أَرْحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ
Bapa mereka berkata: “(Jika aku lepaskan dia pergi bersama-sama kamu), aku tidak menaruh kepercayaan kepada kamu menjaganya melainkan seperti kepercayaanku kepada kamu menjaga saudaranya dahulu (yang telah kamu hampakan. Oleh itu aku hanya menaruh kepercayaan kepada Allah), kerana Allah jualah Penjaga yang sebaik-baiknya, dan Dia-lah jua Yang Maha Mengasihani dari sesiapa sahaja yang menaruh belas kasihan”.
Setelah Nabi Yaakub as mendengar pesanan Nabi Yusuf as agar anaknya yang bongsu dibawa bersama-sama mereka, Nabi Yaakub as pun berasa sedih. Peristiwa yang telah terjadi kepada Nabi Yusuf as menyebabkan Nabi Yaakub as hilang kepercayaan terhadap anak-anaknya. Baginda tidak mahu kehilangan anaknya yang bongsu sebagaimana Baginda telah kehilangan Nabi Yusuf as.
Nabi Yaakub as hanya berserah kepada Allah Ta‘ala kerana Dia adalah sebaik-baik Penjaga. Baginda yakin bahawa Dia-lah yang Maha Penyayang dan Maha Memahami perasaannya terhadap Nabi Yusuf as. Baginda tetap berharap kepada Allah swt agar Nabi Yusuf as akan kembali kepadanya suatu masa nanti. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang di antara para penyayang.
Ayat 65
وَلَمَّا فَتَحُوا۟ مَتَـٰعَهُمْ وَجَدُوا۟ بِضَـٰعَتَهُمْ رُدَّتْ إِلَيْهِمْ ۖ قَالُوا۟ يَـٰٓأَبَانَا مَا نَبْغِى ۖ هَـٰذِهِۦ بِضَـٰعَتُنَا رُدَّتْ إِلَيْنَا ۖ وَنَمِيرُ أَهْلَنَا وَنَحْفَظُ أَخَانَا وَنَزْدَادُ كَيْلَ بَعِيرٍ ۖ ذَٰلِكَ كَيْلٌ يَسِيرٌ
Dan semasa mereka membuka barang-barang mereka, mereka dapati barang-barang dagangan mereka telah dikembalikan kepada mereka. Mereka berkata dengan gembiranya: “Wahai ayah kami! Apa yang kita kehendaki lagi? Ini dia barang-barang dagangan yang kita jadikan tukaran (bagi mendapat gandum) itu telah dikembalikan kepada kita. Dan (dengan kemurahan hati menteri yang berbudi itu) akan dapatlah kami membawa lagi bekalan makanan kepada keluarga kami, dan kami pula akan dapat menjaga saudara kami, serta akan dapat tambahan benda-benda makanan sebanyak muatan seekor unta lagi. Pemberian tambahan yang sebanyak itu mudah sekali ditunaikannya”.
Ketika saudara-saudara Nabi Yusuf as membuka barang-barang yang dibawa dari Mesir, mereka mendapati bukan sahaja mereka dibekalkan dengan bekalan makanan, malah barang-barang yang mereka bawa sebagai pertukaran pun dikembalikan juga.
Hal ini menjadikan mereka sangat gembira. Mereka berkata sekiranya adik mereka menyertai mereka nanti, mereka akan mendapat tambahan bekalan makanan sebanyak muatan seekor unta (yang boleh dibawa oleh seekor unta). Bahan bekalan sebanyak itu adalah mudah bagi pembesar Mesir sebagai balasan kepada mereka kerana telah membawa saudara mereka seperti yang diperintahkan.
Ayat 66
قَالَ لَنْ أُرْسِلَهُۥ مَعَكُمْ حَتَّىٰ تُؤْتُونِ مَوْثِقًا مِّنَ ٱللَّهِ لَتَأْتُنَّنِى بِهِۦٓ إِلَّآ أَن يُحَاطَ بِكُمْ ۖ فَلَمَّآ ءَاتَوْهُ مَوْثِقَهُمْ قَالَ ٱللَّهُ عَلَىٰ مَا نَقُولُ وَكِيلٌ
Bapa mereka berkata:” Aku tidak sekali-kali akan melepaskan dia (Bunyamin) pergi bersama-sama kamu, sehingga kamu memberi kepadaku satu perjanjian yang teguh (bersumpah) dengan nama Allah, bahawa kamu akan membawanya kembali kepadaku dengan selamat, kecuali jika kamu semua dikepong dan dikalahkan oleh musuh”. Maka ketika mereka memberikan perjanjian yang teguh (bersumpah) kepadanya, berkatalah ia: “Allah jualah yang menjadi Saksi dan Pengawas atas apa yang kita semua katakan itu.”
Ibnu Ishak mengatakan, Nabi Yaakub as terpaksa bersetuju dengan permintaan anak-anaknya kerana tiada pilihan lain kecuali membenarkan mereka pergi bersama-sama adik mereka untuk mendapatkan bahan makanan yang amat diperlukan oleh keluarga mereka.
Maka Nabi Yaakub as bersetuju membenarkan mereka membawa adik mereka dengan syarat mereka hendaklah bersumpah atas nama Allah Swt akan menjaga dan membawanya pulang ke pangkuan Baginda dengan selamat kecuali sekiranya mereka dikepung dan dikalahkan oleh musuh.
Sikap Nabi Yaakub as melepaskan pemergian anak bongsunya itu bersama dengan saudara-saudaranya kali ini sangat tegas jika dibandingkan ketika melepaskan pemergian Nabi Yusuf as dahulu. Ini kerana pemergian Nabi Yusuf as dahulu berakhir dengan kesedihan yang mendalam sehingga Baginda meminta mereka bersumpah agar menjaga dan membawa adik bongsu mereka pulang dengan selamat.
Ayat 67
وَقَالَ يَـٰبَنِىَّ لَا تَدْخُلُوا۟ مِنۢ بَابٍ وَٰحِدٍ وَٱدْخُلُوا۟ مِنْ أَبْوَٰبٍ مُّتَفَرِّقَةٍ ۖ وَمَآ أُغْنِى عَنكُم مِّنَ ٱللَّهِ مِن شَىْءٍ ۖ إِنِ ٱلْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَعَلَيْهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُتَوَكِّلُونَ
Dan ia berkata lagi: “Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. Kepada-Nyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri”.
Ibnu ‘Abbas ra, Muhammad bin Ka‘ab, Mujahid, Adh-Dhahhak, Qatadah, As-Suddi dan lain-lain, mengatakan Nabi Yaakub as mengingatkan mereka supaya masuk mengikut pintu yang berbeza agar tidak tertimpa penyakit ‘ain iaitu penyakit akibat daripada pandangan mata orang-orang yang dengki. Ini kerana mereka mempunyai paras yang baik dan tampan serta berpenampilan yang menarik. Nabi Yaakub as bimbang jika mereka terkena penyakit tersebut, mereka akan menghadapi kesusahan.
Maksud kata-kata Nabi Yaakub as, “Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah.” dalam ayat di atas ialah, walaupun mereka berhati-hati, mereka tidak dapat menolak takdir dan qada’ Allah Swt. Ini kerana apa yang diputuskan oleh Allah Swt, itulah yang terjadi dan tiada siapa pun yang dapat menghalangnya. Manusia hanya boleh berusaha namun keputusan tetap ditangan-Nya. Namun demikian sikap agar berhati-hati tetap diperintahkan. Oleh itu hendaklah bertawakkal hanya kepada-Nya.
Ayat 68
وَلَمَّا دَخَلُوا۟ مِنْ حَيْثُ أَمَرَهُمْ أَبُوهُم مَّا كَانَ يُغْنِى عَنْهُم مِّنَ ٱللَّهِ مِن شَىْءٍ إِلَّا حَاجَةً فِى نَفْسِ يَعْقُوبَ قَضَىٰهَا ۚ وَإِنَّهُۥ لَذُو عِلْمٍ لِّمَا عَلَّمْنَـٰهُ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Dan ketika mereka masuk menurut arah yang diperintahkan oleh bapa mereka, tidaklah perintahnya itu dapat menyelamatkan mereka dari apa yang telah ditakdirkan oleh Allah sedikitpun, tetapi yang demikian itu hanyalah melahirkan hajat yang terpendam dalam hati Nabi Yaakub. Dan sesungguhnya ia orang yang berilmu, kerana kami telah mengajarnya (dengan perantaraan wahyu); tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (akan rahsia takdir Tuhan).
Kemudian mereka memasuki negeri Mesir secara berasingan mengikut pintu yang berlainan seperti yang diperintahkan oleh Nabi Yaakub as.
Cadangan Nabi Yaakub as kepada anak-anaknya itu hanyalah keinginan pada dirinya yang telah ditetapkannya sendiri. Hal itu menunjukkan betapa Baginda mengharapkan keselamatan bagi anak-anaknya dalam menempuh perjalanan jauh itu meskipun Baginda mengetahui bahawa semua itu tidak akan dapat menahan takdir Allah Ta’ala.
Dalam ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa sesungguhnya Nabi Yaakub as adalah seorang yang berilmu kerana Dia telah mengajarkan kepadanya melalui wahyu, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui bahawa apa yang dilakukan Baginda adalah hal yang benar.
Ayat 69
وَلَمَّا دَخَلُوا۟ عَلَىٰ يُوسُفَ ءَاوَىٰٓ إِلَيْهِ أَخَاهُ ۖ قَالَ إِنِّىٓ أَنَا۠ أَخُوكَ فَلَا تَبْتَئِسْ بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
Dan semasa mereka masuk mendapatkan Yusuf, ia menempatkan saudara kandungnya (Bunyamin) bersama-samanya, sambil berkata kepadanya:” Akulah saudara engkau Yusuf), oleh itu janganlah engkau berdukacita lagi disebabkan apa yang mereka lakukan”.
Allah Ta‘ala menyatakan bahawa tatkala saudara-saudara Nabi Yusuf as datang bersama-sama adik bongsu mereka (Bunyamin), Baginda menyambut dengan penuh penghormatan, keakraban, lemah lembut dan kebaikan serta menempatkan mereka di rumah tetamu.
Kemudian tatkala Nabi Yusuf as berduaan dengan saudara kandungnya, Baginda memberitahu keadaannya dan apa yang telah terjadi pada dirinya, sambil memperkenalkan dirinya bahawa dia adalah saudaranya.
Seterusnya Nabi Yusuf as mengatakan kepada saudara kandungnya agar tidak bersedih dengan apa yang telah mereka lakukan terhadap dirinya. Ucapan Nabi Yusuf as kepada adiknya itu menunjukkan bahawa Baginda mempunyai sifat pemaaf, sabar, sangat kasih kepada saudara-saudaranya sehingga Baginda melupakan perkara yang lalu dan memaafkan mereka.
Nabi Yusuf as juga meminta agar adiknya merahsiakan perkara ini daripada saudara-saudaranya yang lain dan tidak memberitahu bahawa dia adalah saudaranya. Kemudian mereka berdua bersepakat untuk melakukan taktik agar adiknya (Bunyamin) dapat tetap tinggal bersama dengannya dalam keadaan terhormat.
Ayat 70
فَلَمَّا جَهَّزَهُم بِجَهَازِهِمْ جَعَلَ ٱلسِّقَايَةَ فِى رَحْلِ أَخِيهِ ثُمَّ أَذَّنَ مُؤَذِّنٌ أَيَّتُهَا ٱلْعِيرُ إِنَّكُمْ لَسَـٰرِقُونَ
Maka ketika ia membekalkan mereka dengan bekalan makan (yang mencukupi keperluan) mereka, lalu ia meletakkan bijana minuman raja di kenderaan saudaranya (Bunyamin), kemudian menyeru seorang penyeru:” Wahai orang-orang kafilah ini, sesungguhnya kamu adalah pencuri “.
Ketika Nabi Yusuf as menyediakan bekalan makanan dan menaikkan barangan tersebut ke atas unta-unta saudara-saudaranya, Baginda memasukkan sesuatu ke dalam karung adik bongsunya (Bunyamin) iaitu السِّقايَةَ sejenis bekas minuman yang berbentuk seperti piala. Piala ini harganya mahal dan merupakan bekas minuman yang biasanya digunakan oleh pembesar-pembesar negara dan ada pelayan yang menuangkan air ke dalam bekas minuman tersebut untuk mereka.
Ada juga pendapat mengatakan, sesuatu yang dimasukkan ke dalam karung adiknya itu adalah penyukat raja. Penyukat itu digunakan untuk menentukan berapa banyak gandum yang akan diberikan kepada orang-orang yang memerlukannya.
Menurut majoriti mufassir piala itu dibuat daripada perak dan ada juga mengatakan ia dibuat daripada emas.
Kemudian ketika kafilah saudara-saudaranya bergerak untuk meninggalkan Mesir, mereka dipanggil dengan suara yang kuat oleh salah seorang pembantu Nabi Yusuf as yang berada di situ dengan mengatakan bahawa mereka telah mencuri.
Ayat 71
قَالُوا۟ وَأَقْبَلُوا۟ عَلَيْهِم مَّاذَا تَفْقِدُونَ
Mereka bertanya sambil mengadap ke arah orang-orang menteri yang menuduh itu: “Apa benda kamu yang kehilangan?”
Apabila mendengar panggilan tersebut saudara-saudara Nabi Yusuf as kebingungan. Lalu menoleh dan bertanya kepada pembantu Nabi Yusuf as tentang barang yang telah hilang itu. Ini kerana mereka yakin tidak ada seorang pun daripada mereka yang telah mencuri.
Ayat 72
قَالُوا۟ نَفْقِدُ صُوَاعَ ٱلْمَلِكِ وَلِمَن جَآءَ بِهِۦ حِمْلُ بَعِيرٍ وَأَنَا۠ بِهِۦ زَعِيمٌ
Orang-orang menteri menjawab: “Kami kehilangan cupak raja. Dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu”.
Pembantu-pembantu Nabi Yusuf as memberitahu bahawa yang hilang itu adalah piala (bekas minuman) raja yang digunakan untuk menyukat bahan makanan. Mereka berjanji akan memberikan hadiah berupa bahan makanan seberat muatan seekor unta kepada sesiapa yang menjumpai dan memulangkan semula piala raja itu.
Ayat 73
قَالُوا۟ تَٱللَّهِ لَقَدْ عَلِمْتُم مَّا جِئْنَا لِنُفْسِدَ فِى ٱلْأَرْضِ وَمَا كُنَّا سَـٰرِقِينَ
Mereka berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya kamu sedia mengetahui bahawa kedatangan kami bukanlah untuk berbuat kerosakan di bumi (Mesir ini), dan kami pula bukanlah pencuri”.
Saudara-saudara Nabi Yusuf as bersumpah dengan nama Allah Swt bahawa kedatangan mereka ke Mesir bukanlah untuk membuat kerosakan dan mereka juga tidak memiliki sifat sebagai pencuri, lagi pun para pembantu tersebut sebenarnya telah mengenali mereka dan telah melihat kebaikan perilaku mereka sebelum ini.
Ayat 74
قَالُوا۟ فَمَا جَزَٰٓؤُهُۥٓ إِن كُنتُمْ كَـٰذِبِينَ
(Orang-orang menteri) bertanya: “Maka apa balasan pencuri itu, jika kamu berdusta?”
Kemudian mereka ditanya tentang hukuman kepada pencuri mengikut syariat mereka (syariat Nabi Ibrahim as dan Nabi Yaakub as) sekiranya terbukti ada di antara mereka yang mencuri.
Ayat 75
قَالُوا۟ جَزَٰٓؤُهُۥ مَن وُجِدَ فِى رَحْلِهِۦ فَهُوَ جَزَٰٓؤُهُۥ ۚ كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلظَّـٰلِمِينَ
Mereka menjawab: “Balasannya: sesiapa yang didapati benda itu di kenderaannya, maka dia lah sendiri yang menjadi balasannya. Demikianlah kami membalas orang-orang yang zalim”.
Saudara-saudara Nabi Yusuf as mengatakan dalam peraturan mereka, jika dalam satu rombongan ada yang mencuri, maka hukumannya ialah orang yang mencuri akan diserahkan kepada pemilik harta yang dicuri dan bukannya orang lain.
Inilah juga sebenarnya yang dikehendaki oleh Nabi Yusuf as iaitu supaya adik kandungnya dapat tinggal bersama dengannya.
Ayat 76
فَبَدَأَ بِأَوْعِيَتِهِمْ قَبْلَ وِعَآءِ أَخِيهِ ثُمَّ ٱسْتَخْرَجَهَا مِن وِعَآءِ أَخِيهِ ۚ كَذَٰلِكَ كِدْنَا لِيُوسُفَ ۖ مَا كَانَ لِيَأْخُذَ أَخَاهُ فِى دِينِ ٱلْمَلِكِ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ ۚ نَرْفَعُ دَرَجَـٰتٍ مَّن نَّشَآءُ ۗ وَفَوْقَ كُلِّ ذِى عِلْمٍ عَلِيمٌ
Maka Yusuf pun mulailah memeriksa tempat-tempat barang mereka sebelum memeriksa tempat barang saudara kandungnya (Bunyamin) kemudian ia mengeluarkan benda yang hilang itu dari tempat simpanan barang saudara kandungnya. Demikianlah Kami jayakan rancangan untuk (menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah ia akan dapat mengambil saudara kandungnya menurut undang-undang raja, kecuali jika dikehendaki oleh Allah. (Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki, dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui,
Pemeriksaan mula dijalankan terhadap barangan saudara-saudara Nabi Yusuf as sebelum memeriksa barangan adiknya agar tidak menimbulkan kecurigaan.
Setelah Nabi Yusuf as memeriksa karung-karung saudara-saudaranya, Baginda memeriksa pula karung adiknya, lalu Baginda menemui piala raja berada dalam karung adiknya. Oleh itu, Nabi Yusuf as menahan adiknya berdasarkan hukuman mengikut syariat saudara-saudaranya iaitu sesiapa yang mencuri akan diserahkan kepada pemilik barangan yang dicuri dan tidak mengikut undang-undang raja Mesir. Dapatlah adiknya tinggal bersama Baginda.
Ini termasuk tipu daya yang disukai dan diredhai oleh Allah Swt kerana mengandungi hikmah serta kemaslahatan yang diperlukan.
Begitulah perancangan Allah Swt untuk meninggikan kedudukan orang-orang yang berilmu pengetahuan. Firman-Nya:
“…………Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
Al-Mujadilah 58:11
Ayat 77
قَالُوٓا۟ إِن يَسْرِقْ فَقَدْ سَرَقَ أَخٌ لَّهُۥ مِن قَبْلُ ۚ فَأَسَرَّهَا يُوسُفُ فِى نَفْسِهِۦ وَلَمْ يُبْدِهَا لَهُمْ ۚ قَالَ أَنتُمْ شَرٌّ مَّكَانًا ۖ وَٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا تَصِفُونَ
Mereka berkata:” Kalau dia mencuri, maka (tidaklah pelik), kerana sesungguhnya saudara kandungnya pernah juga mencuri dahulu. (Mendengar kata-kata yang menyinggung itu) maka Yusuf pun menyembunyikan perasaannya, dan tidak menyatakannya kepada mereka, sambil berkata (dalam hati): “Kamulah yang lebih buruk keadaannya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu katakan itu”.
Setelah saudara-saudara Nabi Yusuf as melihat piala raja dikeluarkan daripada karung adik bongsu mereka, mereka sungguh terperanjat dan mengatakan bahawa sebelum itu saudara kandung adik mereka iaitu Nabi Yusuf as juga pernah mencuri. Ini adalah untuk mengelakkan mereka dikatakan memiliki sifat menyerupai adik mereka.
Maka saat mendengar ucapan itu, Nabi Yusuf as berasa kesal, tetapi Baginda dapat menyembunyikan perasaan tersebut dalam hatinya dan tidak dinampakkannya kepada mereka.
Nabi Yusuf as hanya berkata dalam hati, kedudukan saudara-saudaranya itu lebih buruk kerana mereka telah berbohong kepada ayah mereka dan menganiayanya dengan memasukkannya ke dalam telaga. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka terangkan dan apa yang mereka sembunyikan.
Ayat 78
قَالُوا۟ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْعَزِيزُ إِنَّ لَهُۥٓ أَبًا شَيْخًا كَبِيرًا فَخُذْ أَحَدَنَا مَكَانَهُۥٓ ۖ إِنَّا نَرَىٰكَ مِنَ ٱلْمُحْسِنِينَ
Merekapun merayu dengan berkata: “Wahai datuk menteri! Sesungguhnya ia (Bunyamin), mempunyai bapa yang sudah tua, lagi berpangkat. Oleh itu, ambilah salah seorang di antara kami sebagai gantinya; sesungguhnya kami memandangmu dari orang-orang yang sentiasa berbudi “.
Setelah diputuskan bahawa adiknya perlu ditahan sesuai dengan keputusan yang telah dibuat terdahulu, mereka merayu supaya diambil salah seorang di antara mereka sebagai ganti adiknya. Alasan mereka ialah ayah mereka terlalu tua dan adiknya itu sangat dicintai oleh ayah mereka dan merupakan penghibur atas kehilangan seorang anaknya (Nabi Yusuf as).
Ayat 79
قَالَ مَعَاذَ ٱللَّهِ أَن نَّأْخُذَ إِلَّا مَن وَجَدْنَا مَتَـٰعَنَا عِندَهُۥٓ إِنَّآ إِذًا لَّظَـٰلِمُونَ
Yusuf berkata: “Kami berlindung kepada Allah daripada mengambil sesiapapun kecuali orang yang kami dapati barang kami dalam simpanannya. Sesungguhnya jika kami mengambil orang lain, nescaya menjadilah kami orang-orang yang zalim”.
Nabi Yusuf as merupakan seorang yang amanah, adil dan bijaksana. Baginda menolak cadangan saudara-saudaranya supaya salah seorang daripada mereka menggantikan adiknya.
Nabi Yusuf as memberikan alasan bahawa Baginda tidak akan menahan orang yang tidak bersalah sebagai ganti orang yang bersalah supaya Baginda tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim. Lagi pun hal ini adalah selaras dengan hukuman yang telah diperakui oleh saudara-saudaranya sendiri.
Ayat 80
فَلَمَّا ٱسْتَيْـَٔسُوا۟ مِنْهُ خَلَصُوا۟ نَجِيًّا ۖ قَالَ كَبِيرُهُمْ أَلَمْ تَعْلَمُوٓا۟ أَنَّ أَبَاكُمْ قَدْ أَخَذَ عَلَيْكُم مَّوْثِقًا مِّنَ ٱللَّهِ وَمِن قَبْلُ مَا فَرَّطتُمْ فِى يُوسُفَ ۖ فَلَنْ أَبْرَحَ ٱلْأَرْضَ حَتَّىٰ يَأْذَنَ لِىٓ أَبِىٓ أَوْ يَحْكُمَ ٱللَّهُ لِى ۖ وَهُوَ خَيْرُ ٱلْحَـٰكِمِينَ
Maka apabila mereka berputus asa daripada mendapat pertolongannya, merekapun mengasingkan diri lalu bermesyuarat tentang hal itu. Berkatalah ketua mereka (saudaranya yang sulung): “Tidakkah kamu ketahui bahawa bapa kita telah mengambil janji dari kamu yang dikuatkan dengan nama Allah, dan dahulu pun kamu telah mencuaikan janji dan sumpah kamu dalam perkara menjaga keselamatan Yusuf? Oleh itu, aku tidak sekali-kali akan meninggalkan negeri (Mesir) ini sehingga bapaku izinkan aku (kembali atau sehingga Allah menghukum bagiku (untuk meninggalkan negeri ini), dan Dia lah Hakim yang seadil-adilnya.
Keputusan Nabi Yusuf as menolak permintaan mereka untuk menggantikan adik mereka dengan saudaranya yang lain, telah menyedihkan mereka dan membuat mereka berputus asa.
Mereka kemudiannya berkumpul dan bermesyuarat secara rahsia untuk mencari jalan penyelesaian. Saudara mereka yang paling tua mengingatkan mereka tentang janji mereka kepada Nabi Yaakub as. Mereka telah bersumpah dengan nama Allah swt akan bersungguh-sungguh menjaga keselamatan adik bongsu mereka. Hal ini akan menambahkan lagi kesedihan ayah mereka kerana dahulu mereka pernah mensia-siakan Nabi Yusuf as.
Saudara mereka yang paling tua itu berkata bahawa beliau tidak sanggup untuk kembali ke pangkuan ayahnya tanpa membawa bersama adik mereka. Oleh itu, beliau mengambil keputusan untuk terus berada di negeri tersebut sehingga ayahnya memintanya pulang atau Allah Swt akan mentakdirkan sesuatu terhadap dirinya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui perkara yang ghaib dan Dia adalah sebaik-baik hakim.
Ayat 81
ٱرْجِعُوٓا۟ إِلَىٰٓ أَبِيكُمْ فَقُولُوا۟ يَـٰٓأَبَانَآ إِنَّ ٱبْنَكَ سَرَقَ وَمَا شَهِدْنَآ إِلَّا بِمَا عَلِمْنَا وَمَا كُنَّا لِلْغَيْبِ حَـٰفِظِينَ
Kembalilah kamu kepada bapa kamu, dan katakanlah, wahai ayah kami! Sesungguhnya anakmu (Bunyamin) telah mencuri, dan kami tidak menjadi saksi (terhadapnya) melainkan dengan apa yang kami ketahui dan kami tidaklah dapat menjaga perkara yang ghaib.
Ayat 82
وَسْـَٔلِ ٱلْقَرْيَةَ ٱلَّتِى كُنَّا فِيهَا وَٱلْعِيرَ ٱلَّتِىٓ أَقْبَلْنَا فِيهَا ۖ وَإِنَّا لَصَـٰدِقُونَ
Dan bertanyalah kepada penduduk negeri (Mesir) tempat kami tinggal (berdagang) dan kepada orang-orang kafilah yang kami balik bersamanya. Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang benar”.
Saudara mereka yang tua berpesan kepada saudara-saudaranya yang lain sekembalinya mereka nanti agar menceritakan kejadian yang sebenar kepada Nabi Yaakub as. Dia seterusnya berpesan dengan menyatakan bahawa ayah mereka boleh bertanya kepada penduduk negeri Mesir dan rombongan kafilah yang bersama-sama mereka untuk mengetahui kebenaran dan kejujuran mereka. Semoga apa yang mereka ceritakan itu dapat dijadikan alasan dan bukti yang dapat diterima oleh ayah mereka.