Surah 12: Yusuf (50 – 53)

Nabi Yusuf as Dibersihkan daripada Fitnah

Surah 12: Yusuf (50 – 53)


Nabi Yusuf Dibersihkan dari Fitnah

Nabi Yusuf as dibersihkan daripada fitnah setelah wanita-wanita Mesir dan isteri Al-‘Aziz membuat pengakuan di hadapan Raja Mesir

Ayat 50

وَقَالَ ٱلْمَلِكُ ٱئْتُونِى بِهِۦ ۖ فَلَمَّا جَآءَهُ ٱلرَّسُولُ قَالَ ٱرْجِعْ إِلَىٰ رَبِّكَ فَسْـَٔلْهُ مَا بَالُ ٱلنِّسْوَةِ ٱلَّـٰتِى قَطَّعْنَ أَيْدِيَهُنَّ ۚ إِنَّ رَبِّى بِكَيْدِهِنَّ عَلِيمٌ

Dan (apabila mendengar tafsiran itu) berkatalah raja Mesir:” Bawalah dia kepadaku! “Maka tatkata utusan raja datang kepada Yusuf (menjemputnya mengadap raja), Yusuf berkata kepadanya: Kembalilah kepada tuanmu kemudian bertanyalah kepadanya: “Apa halnya perempuan-perempuan yang melukakan tangan mereka ? Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengetahui tipu daya mereka”.

Setelah raja mendengar takwil mimpinya, maka dia berasa kagum serta yakin terhadap Nabi Yusuf as. Raja kemudiannya mengarahkan supaya Baginda dibawa menghadapnya. 

Kemudian utusan raja kembali kepada Nabi Yusuf as dan menyatakan perintah raja. Namun Baginda tidak mahu keluar dari penjara sehingga raja dan orang ramai membuktikan bahawa Baginda tidak bersalah dan membersihkan kehormatannya daripada tuduhan menggoda isteri Al-‘Aziz. Baginda meminta utusan raja itu kembali dan meminta raja menyiasat wanita-wanita yang menghiris tangan mereka. 

Nabi Yusuf as meneruskan kata-katanya dengan mengatakan bahawa sesungguhnya Rabbnya Maha Mengetahui perkara-perkara yang tersembunyi dan tipu daya serta rancangan mereka kepadanya. 

Ayat 51

قَالَ مَا خَطْبُكُنَّ إِذْ رَٰوَدتُّنَّ يُوسُفَ عَن نَّفْسِهِۦ ۚ قُلْنَ حَـٰشَ لِلَّهِ مَا عَلِمْنَا عَلَيْهِ مِن سُوٓءٍ ۚ قَالَتِ ٱمْرَأَتُ ٱلْعَزِيزِ ٱلْـَٔـٰنَ حَصْحَصَ ٱلْحَقُّ أَنَا۠ رَٰوَدتُّهُۥ عَن نَّفْسِهِۦ وَإِنَّهُۥ لَمِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ

Setelah perempuan-perempuan itu dipanggil), raja bertanya kepada mereka: “Apahal kamu, semasa kamu memujuk Yusuf mengenai dirinya?” Mereka menjawab: JauhNya Allah dari segala cacat cela, kami tidak mengetahui sesuatu kejahatan terhadap Yusuf”. Isteri Al-Aziz pun berkata: “Sekarang ternyatalah kebenaran (yang selama ini tersembunyi), akulah yang memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya (tetapi ia telah menolak); dan sesungguhnya adalah ia dari orang-orang yang benar.

Seterusnya utusan raja memberitahukan permintaan Nabi Yusuf as terhadap raja, lalu raja mengumpulkan wanita-wanita yang pernah melukai tangan mereka sendiri ketika diundang oleh isteri Al-‘Aziz. Kemudian raja itu bertanyakan keadaan sebenar yang pernah berlaku antara mereka dengan Nabi Yusuf as. 

Sebagai jawapan kepada pertanyaan raja, wanita-wanita itu mengatakan bahawa tidak layak Nabi Yusuf as dituduh melakukan perkara keji itu kerana Baginda adalah seorang yang sangat sempurna. Mereka tidak mendapati ada satu keburukan pun pada diri Baginda. 

Maka ketika itu isteri Al-‘Aziz segera mengatakan, bahawa dialah yang menggoda Nabi Yusuf  as dan sesungguhnya Baginda adalah orang yang benar. Ini bermaksud bahawa Nabi Yusuf as telah berkata benar ketika Baginda mengatakan isteri Al-‘Aziz yang menggodanya untuk menundukkan dirinya kepada beliau (isteri Al-‘Aziz) seperti dalam ayat 26 yang lepas. 

Ayat 52

ذَٰلِكَ لِيَعْلَمَ أَنِّى لَمْ أَخُنْهُ بِٱلْغَيْبِ وَأَنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى كَيْدَ ٱلْخَآئِنِينَ

“(Pengakuanku) yang demikian supaya ia mengetahui, bahawa aku tidak mengkhianatinya semasa ia tidak hadir (bersama di sini); dan bahawa Allah tidak menjayakan tipu daya orang-orang yang khianat.

Ada beberapa pendapat tentang tafsiran ayat ini antaranya: 

Pertama:

Dahulu (dalam ayat 26) isteri Al-‘Aziz mengatakan Nabi Yusuf as yang menggodanya. Dia mengatakan demikian agar suaminya mengetahui bahawa dia sama sekali tidak pernah mengkhianati suaminya dan sementara itu juga belum terjadi dosa besar yang terlarang, tetapi dia hanya sekadar menggoda pemuda itu namun dia menolak, oleh sebab itu dia membuat tipu daya supaya terkesan di hati suaminya bahawa dia tidak bersalah. 

Kemudian isteri Al-‘Aziz mengatakan bahawa Allah Swt tidak meredhai tipu daya orang-orang yang berkhianat. Seterusnya dia mengatakan, dia tidak membebaskan dirinya daripada kesalahan, kerana memang nafsu itu selalu membisikkan dan mengharapkan melakukan perbuatan keji. Oleh itu, dia telah menggodanya kecuali orang yang dilindungi oleh Allah Swt. 

Kedua:

Ada yang mengatakan bahawa perkataan itu daripada Nabi Yusuf as, iaitu Baginda mengatakan demikian agar Al-‘Aziz mengetahui bahawa dia tidak mengkhianatinya dengan menggoda isterinya. 

Pendapat pertama lebih kuat dan lebih jelas, kerana pembicaraan di atas, semuanya merupakan perkataan daripada isteri Al-‘Aziz yang diucapkan di hadapan raja, sementara Nabi Yusuf as ketika itu belum hadir bersama mereka kerana masih di dalam penjara. Setelah pengakuan daripada isteri Al-‘Aziz ini, barulah Baginda menghadap raja. 

Ayat 53

وَمَآ أُبَرِّئُ نَفْسِىٓ ۚ إِنَّ ٱلنَّفْسَ لَأَمَّارَةٌۢ بِٱلسُّوٓءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّىٓ ۚ إِنَّ رَبِّى غَفُورٌ رَّحِيمٌ

“Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Pendapat pertama mengatakan isteri Al-‘Aziz berkata bahawa sekarang telah jelas kebenarannya iaitu agar Nabi Yusuf as tahu bahawa dia tidak mengkhianatinya meskipun ketika itu Baginda berada di penjara, atau agar suaminya tahu bahawa dia tidak mengkhianatinya kerana dia tidak melakukan perbuatan keji bersama Nabi Yusuf as. Apa yang berlaku hanyalah godaan dan rayuan namun Baginda menolaknya dan lari menjauhinya. 

Seterusnya isteri Al-‘Aziz mengatakan bahawa dia hanyalah manusia biasa yang mempunyai nafsu dan tidak luput daripada kesalahan dan dosa kerana tabiat nafsu selalu mengikuti syahwat. Namun, dia tidak pernah berputus asa untuk sentiasa meminta rahmat dan pengampunan daripada Allah Ta’ala kerana Dia Maha Pengampun. 

Pendapat demikian disampaikan oleh Al-Mawardi dalam tafsirnya, dan disokong oleh Imam Abul ‘Abbas bin Taimiyyah rahimahullah dalam buku tersendiri yang ditulisnya. 

Namun ada juga pendapat yang mengatakan bahawa ucapan itu adalah daripada Nabi Yusuf as. Baginda berkata demikian adalah agar Al-‘Aziz mengetahui bahawa Baginda tidak mengkhianatinya dengan melakukan perbuatan keji dengan isterinya ketika beliau tiada di rumah. Baginda juga tidak mengkhianati kepercayaan yang diberikan kepadanya. 

Sebagai manusia biasa, Nabi Yusuf as juga tidak membebaskan dirinya (daripada kesalahan) kerana sesungguhnya nafsu selalu menyuruh kepada kejahatan kecuali nafsu yang dijaga oleh Allah Ta’ala daripada perbuatan dosa dan mendapat petunjuk untuk selalu istiqamah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun kepada hamba-hamba-Nya yang mahu meminta ampun, bertaubat dan kembali kepada-Nya. 

Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim hanya menyebutkan pendapat ini sahaja. Sedangkan pendapat pertama lebih kuat dan lebih jelas, kerana konteks pembicaraan di atas, semuanya merupakan perkataan isteri Al-‘Aziz yang diucapkan di hadapan raja, sementara Nabi Yusuf as ketika itu belum hadir bersama mereka, tetapi baru dipanggil untuk menghadap raja. 

Ayat ini membuktikan bahawa nafsu boleh mendorong manusia ke arah kejahatan dan bahawa keimanan serta ketaatan seseorang itu tidak akan diperoleh kecuali dengan rahmat Allah Swt. Kejayaan dalam melakukan kebaikan dan menghindari perbuatan maksiat adalah kerana pertolongan Allah Swt. Dia Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih kepada hamba-hamba-Nya yang bertaubat. 


Infografik Kisah Nabi Yusuf