Wanita-wanita Mesir Terpesona dengan Ketampanan Nabi Yusuf as
Surah 12: Yusuf (30 – 34)
Wanita-wanita Mesir terpesona dengan ketampanan Nabi Yusuf as sehingga tanpa sedar telah menghiris jari mereka sendiri
Ayat 30
وَقَالَ نِسْوَةٌ فِى ٱلْمَدِينَةِ ٱمْرَأَتُ ٱلْعَزِيزِ تُرَٰوِدُ فَتَىٰهَا عَن نَّفْسِهِۦ ۖ قَدْ شَغَفَهَا حُبًّا ۖ إِنَّا لَنَرَىٰهَا فِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ
Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal isteri Al-‘Aziz dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata.”
Berita tentang Nabi Yusuf as dan isteri Al-‘Aziz telah tersebar di bandar. Wanita-wanita di bandar itu mencela perbuatan yang memalukan itu. Menurut mereka, isteri Al-‘Aziz adalah seorang wanita yang berkedudukan tinggi, begitu juga dengan suaminya, tidak sepatutnya menggoda dan merayu budak suruhan untuk berbuat serong dengannya.
Ayat 31
فَلَمَّا سَمِعَتْ بِمَكْرِهِنَّ أَرْسَلَتْ إِلَيْهِنَّ وَأَعْتَدَتْ لَهُنَّ مُتَّكَـًٔا وَءَاتَتْ كُلَّ وَٰحِدَةٍ مِّنْهُنَّ سِكِّينًا وَقَالَتِ ٱخْرُجْ عَلَيْهِنَّ ۖ فَلَمَّا رَأَيْنَهُۥٓ أَكْبَرْنَهُۥ وَقَطَّعْنَ أَيْدِيَهُنَّ وَقُلْنَ حَـٰشَ لِلَّهِ مَا هَـٰذَا بَشَرًا إِنْ هَـٰذَآ إِلَّا مَلَكٌ كَرِيمٌ
Maka apabila dia (isteri Al-‘Aziz) mendengar cacian mereka, dia pun menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan untuk mereka, serta memberi kepada – tiap seorang di antara mereka sebilah pisau. Dan pada ketika itu berkatalah ia (kepada Yusuf): “Keluarlah di hadapan mereka”. Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: “Jauhnya Allah dari kekurangan! Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia!”
Ketika sampai kepada isteri Al-‘Aziz tentang pembicaraan wanita-wanita yang mencercanya atas perbuatannya menggoda dan merayu Nabi Yusuf as, maka diundanglah mereka untuk menjadi tetamu di rumahnya. Kemudian isteri Al-‘Aziz menyiapkan tempat duduk dan masing-masing diberikan sebilah pisau untuk memotong buah-buahan. Inilah tipu daya isteri Al-‘Aziz untuk membalas tipu daya wanita-wanita bandar yang telah menyebarkan aibnya.
Menurut Ibnu ‘Abbas ra, Sa‘id bin Jubair, Mujahid, Al-Hasan dan As-Suddi dan lain-lain dalam Kitab Tafsir Ibnu Kathir, para tetamu disediakan jamuan yang terdapat pelbagai jenis buah-buahan yang perlu dipotong dengan pisau.
Isteri Al-‘Aziz adalah seorang wanita yang cerdas dan pandai memilih waktu yang sesuai untuk melaksanakan rancangannya. Oleh itu, ketika wanita-wanita bandar yang diundangnya itu sedang sibuk dengan hidangan buah-buahan dan mereka semuanya memegang pisau masing-masing, isteri Al-‘Aziz memerintahkan agar Nabi Yusuf as keluar menampakkan dirinya.
Ketika Nabi Yusuf as keluar dan dilihat oleh wanita-wanita itu, mereka semua berasa kagum dan terpesona dengan ketampanan dan keelokan rupa parasnya yang sangat sempurna. Mereka tanpa sedar telah menghiris jari-jari mereka sendiri kerana kagum saat melihat Baginda. Inilah keadaannya apabila seseorang melihat sesuatu yang mengagumkan sehingga membuatnya terlupa kepada sesuatu yang sedang dia lakukan.
Ungkapan secara spontan yang keluar daripada mulut wanita-wanita itu adalah pengakuan mereka terhadap ketampanan Nabi Yusuf as yang sangat sempurna. Ini kerana sudah menjadi tabiat bahawa tidak ada makhluk yang lebih indah daripada malaikat dan tidak ada makhluk yang lebih buruk daripada syaitan.
Ada beberapa pendapat tentang ayat, “Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia!” Namun yang lebih tepat adalah pendapat Ar-Razi, bahawa wanita-wanita itu ketika melihat Nabi Yusuf as terdapat kemuliaan kenabian dan kedudukan kerasulan, serta tanda-tanda kesucian dan menjaga kehormatan diri (iffah). Mereka menafikan adanya syahwat dan sifat kemanusiaan dalam diri Nabi Yusuf as dan menetapkan kesucian dirinya seperti malaikat.
Ayat 32
قَالَتْ فَذَٰلِكُنَّ ٱلَّذِى لُمْتُنَّنِى فِيهِ ۖ وَلَقَدْ رَٰوَدتُّهُۥ عَن نَّفْسِهِۦ فَٱسْتَعْصَمَ ۖ وَلَئِن لَّمْ يَفْعَلْ مَآ ءَامُرُهُۥ لَيُسْجَنَنَّ وَلَيَكُونًا مِّنَ ٱلصَّـٰغِرِينَ
(Isteri Al-‘Aziz) berkata: “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina.”
Isteri Al-‘Aziz telah berhasil membuat wanita-wanita bandar terpesona dengan ketampanan Nabi Yusuf as yang sangat memukau hati. Oleh itu, dia berkata kepada mereka bahawa Bagindalah orangnya yang telah membuat mereka semua mencercanya dengan sebab dia tertarik kepadanya dan mereka juga menghinanya kerana perbuatannya terhadap Baginda. Ketampanan Baginda benar-benar menarik hati sesiapa sahaja melihatnya walaupun dengan hanya melihat sekejap sahaja. Oleh itu, bagaimanakah dengan dirinya yang tinggal serumah dengannya pada setiap saat.
Kemudian isteri Al-‘Aziz mengakui bahawa dialah yang telah memujuk dan menggoda Nabi Yusuf as namun Baginda dengan tegas telah menolaknya kerana Baginda adalah seorang yang benar-benar menjaga kehormatan dan kesucian dirinya.
Lalu isteri Al-‘Aziz berkata seraya mengancam Nabi Yusuf as dengan sebuah hukuman. Sekiranya Baginda tidak melakukan apa yang diperintahnya dalam masa terdekat ini, Baginda akan dimasukkan ke dalam penjara dan menjadi orang yang terhina dan direndahkan kerana suaminya tidak akan menolak perintah dan keinginannya.
Ayat 33
قَالَ رَبِّ ٱلسِّجْنُ أَحَبُّ إِلَىَّ مِمَّا يَدْعُونَنِىٓ إِلَيْهِ ۖ وَإِلَّا تَصْرِفْ عَنِّى كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُن مِّنَ ٱلْجَـٰهِلِينَ
Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya”.
Sebahagian ahli tafsir mengatakan, para tetamu wanita itu menyuruh Nabi Yusuf as mentaati perintah majikannya. Lalu Baginda berkata seperti yang disebutkan dalam ayat di atas.
Kemudian Nabi Yusuf as pun memohon perlindungan Allah Ta’ala daripada kejahatan dan tipu daya wanita-wanita yang menggoda dan mengancamnya.
Nabi Yusuf as lebih suka dipenjarakan dan menerima kesusahan di dunia daripada mendapat kesenangan yang sementara tetapi akan menerima azab yang berat di akhirat kelak. Ini menunjukkan bahawa Nabi Yusuf as telah dipelihara dan dilindungi oleh Allah Ta’ala dengan perlindungan yang besar. Oleh itu, Baginda menolak ajakan isteri majikannya dan memilih untuk dipenjarakan kerana takut kepada Allah Ta’ala serta mengharapkan redha-Nya.
Ayat 34
فَٱسْتَجَابَ لَهُۥ رَبُّهُۥ فَصَرَفَ عَنْهُ كَيْدَهُنَّ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ
Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Allah Swt memperkenankan doa Nabi Yusuf as dengan menghindarkan Baginda daripada tipu daya wanita-wanita itu. Demikianlah Allah Swt menyelamatkan Baginda daripada ujian yang berat ini.
Sesungguhnya Allah Maha Mendengar doa orang yang memohon kepadaNya dan Maha Mengetahui kebenaran dan keadaan serta apa yang terbaik buat seseorang itu.
Ini juga merupakan bukti bahawa Allah Swt sentiasa memelihara dan menolong Nabi Yusuf as serta membimbingnya.