Surah 12: Yusuf (21 – 29)

Nabi Yusuf as Digoda Isteri Al-Aziz

Surah 12: Yusuf (21 – 29)


Nabi Yusuf digoda

Isteri Al-‘Aziz menarik baju Nabi Yusuf as dari belakang ketika Baginda melarikan dirinya ke arah pintu

Ayat 21

وَقَالَ ٱلَّذِى ٱشْتَرَىٰهُ مِن مِّصْرَ لِٱمْرَأَتِهِۦٓ أَكْرِمِى مَثْوَىٰهُ عَسَىٰٓ أَن يَنفَعَنَآ أَوْ نَتَّخِذَهُۥ وَلَدًا ۚ وَكَذَٰلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِى ٱلْأَرْضِ وَلِنُعَلِّمَهُۥ مِن تَأْوِيلِ ٱلْأَحَادِيثِ ۚ وَٱللَّهُ غَالِبٌ عَلَىٰٓ أَمْرِهِۦ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: “Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak”. Dan demikianlah caranya kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk kami mengajarnya sebahagian dari ilmu takbir mimpi. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkan-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Setelah Nabi Yusuf as mengalami kesedihan dan penderitaan di dalam perigi, diperlakukannya seperti hamba dengan diperjualbelikan, Allah Swt mentakdirkannya dibeli oleh seseorang dari Mesir. Dalam kitab Sahih Ibnu Kathir, dinyatakan bahawa pembelinya itu adalah pembesar negeri Mesir iaitu salah seorang menteri di sana. Pembesar tersebut berpesan kepada isterinya agar memberi layanan yang baik kepada Nabi Yusuf as. 

Allah Swt menyatakan bahawa selepas Dia menyelamatkan Nabi Yusuf as daripada saudara-saudaranya, dapat pula tinggal bersama pembesar Mesir yang menganggapnya sebagai anak. Kemudian Dia mengajarkan kepada Baginda sebahagian daripada ilmu takwil mimpi. 

Allah Swt berkuasa terhadap urusan-Nya iaitu apabila Dia menghendaki sesuatu, tiada siapa pun dapat menghalang atau membantah-Nya. 

Ayat 22

وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُۥٓ ءَاتَيْنَـٰهُ حُكْمًا وَعِلْمًا ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ

Dan ketika Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikianlah kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

Kemudian Allah Swt menjelaskan balasan yang diberikan kepada Nabi Yusuf as daripada kesabarannya menghadapi kejahatan saudara-saudaranya dan ujian berat yang ditempuhinya. 

Ketika semakin sempurna kekuatannya dari segi jasmani dan rohani (fizikal dan mental), Baginda diberikan ilmu pengetahuan serta hikmah supaya dapat memikul beban menjalankan tugas kenabian. Begitulah Allah Swt memberikan balasan kepada orang-orang yang berbuat baik dalam amalannya dan dalam rangka mentaati Allah Swt. 

Ayat 23

وَرَٰوَدَتْهُ ٱلَّتِى هُوَ فِى بَيْتِهَا عَن نَّفْسِهِۦ وَغَلَّقَتِ ٱلْأَبْوَٰبَ وَقَالَتْ هَيْتَ لَكَ ۚ قَالَ مَعَاذَ ٱللَّهِ ۖ إِنَّهُۥ رَبِّىٓ أَحْسَنَ مَثْوَاىَ ۖ إِنَّهُۥ لَا يُفْلِحُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: “Marilah ke mari, aku bersedia untukmu”. Yusuf menjawab: “Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya”.

Allah Swt menceritakan tentang isteri Al-‘Aziz yang Nabi Yusuf  as tinggal di rumahnya di Mesir. Suaminya telah berpesan agar Baginda diperlakukan dengan baik dan dihormati. Namun dia menggoda dan memanggil Nabi Yusuf as agar mendekatinya. 

Nabi Yusuf as adalah seorang lelaki yang sangat tampan dan elok paras rupanya. Oleh itu, timbul rasa cinta yang mendalam pada diri isteri Al-‘Aziz terhadap Baginda sehingga membuatkan wanita itu bersolek, lalu menutup semua pintu dan memanggil Baginda agar mendekat kepadanya. 

Namun Nabi Yusuf as menolaknya dengan keras dan mengatakan bahawa Baginda berlindung kepada Allah Ta’ala daripada melakukan perbuatan keji. Baginda juga mengatakan bahawa tuannya iaitu suami wanita itu telah memberikan tempat yang baik dan berbuat baik kepadanya. Maka, Baginda tidak akan membalasnya dengan berbuat keji kepada keluarganya. 

Ayat 24

وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِۦ ۖ وَهَمَّ بِهَا لَوْلَآ أَن رَّءَا بُرْهَـٰنَ رَبِّهِۦ ۚ كَذَٰلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ ٱلسُّوٓءَ وَٱلْفَحْشَآءَ ۚ إِنَّهُۥ مِنْ عِبَادِنَا ٱلْمُخْلَصِينَ

Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.

Ayat ini bukanlah menunjukkan bahawa Nabi Yusuf as mempunyai keinginan yang buruk terhadap isteri Al-‘Aziz, tetapi godaan itu terlalu kuat sehingga jika dia tidak dikuatkan oleh “tanda” daripada Allah Swt yang menghalanginya, tentu Baginda terperangkap dalam kemaksiatan. 

Adapun tanda yang dilihat oleh Nabi Yusuf as, ada pendapat mengatakan bahawa ia adalah kewajipan menjauhi diri daripada segala yang diharamkan-Nya. Ada juga mengatakan bahawa ia adalah penyucian jiwa para Nabi atau tanda kenabian yang mencegah daripada segala perbuatan keji. Semua ini boleh sahaja digunakan kerana semua makna tersebut tidak bertentangan dan semuanya tertuju kepada satu tujuan iaitu taat kepada Allah Ta’ala. Sabda Rasulullah saw: 

“Allah berfirman, ‘Apabila hambaKu berkeinginan melakukan kebaikan, maka tulislah untuknya satu kebaikan. Apabila dia mengerjakannya, maka tulislah sepuluh kali ganda kebaikan. Jika dia berkeinginan melakukan kejahatan tetapi tidak dilakukannya, tuliskan satu kebaikan kerana sesungguhnya dia meninggalkannya kerana Aku. Apabila dia melakukan kejahatan itu, tuliskanlah satu kesalahan sepertinya.’” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Ayat 25

وَٱسْتَبَقَا ٱلْبَابَ وَقَدَّتْ قَمِيصَهُۥ مِن دُبُرٍ وَأَلْفَيَا سَيِّدَهَا لَدَا ٱلْبَابِ ۚ قَالَتْ مَا جَزَآءُ مَنْ أَرَادَ بِأَهْلِكَ سُوٓءًا إِلَّآ أَن يُسْجَنَ أَوْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tidak ada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya”.

Allah Swt menceritakan keadaan mereka berdua ketika berlumba-lumba berlari ke arah pintu. Nabi Yusuf as berlari untuk menyelamatkan dirinya. Manakala wanita tersebut berlari mengejar Baginda as dari belakang untuk mencegahnya daripada keluar. Ketika itu, wanita itu sempat menarik baju Nabi Yusuf as dari belakang yang menyebabkan baju Baginda terkoyak. 

Apabila tiba di hadapan pintu, mereka dapati suami wanita itu berada di situ. Wanita itu berusaha untuk berlepas diri daripada situasi berkenaan dan kemudian membuat tuduhan kepada Nabi Yusuf as. Dia bertanya kepada suaminya tentang balasan terhadap orang yang bermaksud buruk terhadap isterinya selain dipenjarakan atau diberikan hukuman yang pedih. Ini untuk menyatakan bahawa Bagindalah yang cuba berbuat keji terhadap dirinya. 

Ayat 26

قَالَ هِىَ رَٰوَدَتْنِى عَن نَّفْسِى ۚ وَشَهِدَ شَاهِدٌ مِّنْ أَهْلِهَآ إِن كَانَ قَمِيصُهُۥ قُدَّ مِن قُبُلٍ فَصَدَقَتْ وَهُوَ مِنَ ٱلْكَـٰذِبِينَ

Yusuf pula berkata: “Dia-lah yang memujukku berkehendakkan diriku”. (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata:” “Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang dusta.

Ayat 27

وَإِن كَانَ قَمِيصُهُۥ قُدَّ مِن دُبُرٍ فَكَذَبَتْ وَهُوَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ

Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah dari orang-orang yang benar”.

Nabi Yusuf as berkata dengan jujur untuk membela dirinya bahawa Baginda tidak mengkhianati majikannya sebagaimana tuduhan yang dilemparkan oleh wanita itu ke atas dirinya. Baginda mengatakan bahawa wanita itulah yang telah mengejarnya dan menarik dirinya sehingga bajunya terkoyak. 

Seorang saksi daripada keluarga wanita tersebut yang ada bersama-sama mereka ketika itu memberi pendapat untuk mengetahui keadaan yang sebenar. Dia mengatakan, sekiranya baju itu koyak di bahagian hadapan, maka wanita itu adalah benar tetapi sekiranya baju itu koyak di bahagian belakang maka Nabi Yusuf  as adalah di pihak yang benar. 

Ayat 28

فَلَمَّا رَءَا قَمِيصَهُۥ قُدَّ مِن دُبُرٍ قَالَ إِنَّهُۥ مِن كَيْدِكُنَّ ۖ إِنَّ كَيْدَكُنَّ عَظِيمٌ

Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, berkatalah ia: “Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya.

Setelah suami wanita itu mengetahui kebenaran Nabi Yusuf as dan kebohongan serta tuduhan isterinya yang dilemparkan kepada Baginda, dia mengatakan bahawa kebohongan dan tuduhan itu telah mencemarkan kehormatan Nabi Yusuf as dan ini merupakan tipu daya isterinya. 

Ayat 29

يُوسُفُ أَعْرِضْ عَنْ هَـٰذَا ۚ وَٱسْتَغْفِرِى لِذَنۢبِكِ ۖ إِنَّكِ كُنتِ مِنَ ٱلْخَاطِـِٔينَ

Wahai Yusuf, lupakanlah hal ini. Dan engkau (isteri Al-‘Aziz), mintalah ampun bagi dosamu, sesungguhnya engkau adalah dari orang-orang yang bersalah!”

Pembesar (Al-‘Aziz) menyuruh Nabi Yusuf as merahsiakan apa yang telah berlaku. Dia juga menyuruh isterinya memohon ampun terhadap dosa-dosa yang telah dilakukannya iaitu dosa berkaitan dengan keinginannya melakukan maksiat dan menuduh Nabi Yusuf as melakukan perbuatan yang tidak dilakukannya. 


Infografik Kisah Nabi Yusuf