Surah 12: Yusuf (108 – 110)

Rasullullah saw Diperintahkan untuk Mengajak Manusia kepada-Nya

Surah 12: Yusuf (108 – 110)


Ayat 108

قُلْ هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ أَدْعُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۠ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى ۖ وَسُبْحَـٰنَ ٱللَّهِ وَمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.”

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw memberitahu manusia dan jin bahawa ajaran Baginda ialah mengajak kepada kesaksian bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah Swt. Maka dengan kesaksian tersebut Baginda dan setiap orang yang mengikuti Baginda diperintahkan menyeru manusia kepadaNya berdasarkan dalil yang nyata. 

Ayat 109

وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُّوحِىٓ إِلَيْهِم مِّنْ أَهْلِ ٱلْقُرَىٰٓ ۗ أَفَلَمْ يَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَيَنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۗ وَلَدَارُ ٱلْـَٔاخِرَةِ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Dan tiadalah Kami mengutus Rasul – sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar, yang kami wahyukan kepada mereka. Maka mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?

Allah swt menyatakan bahawa Dia mengutus para Rasul-Nya hanya daripada kalangan lelaki dan tidak daripada kalangan wanita serta mereka juga bukan daripada kalangan para malaikat. Adh-Dhahhak mengatakan daripada Ibnu ‘Abbas ra, “mereka bukanlah penduduk langit sebagaimana yang kamu semua katakan.” Ini sebagaimana firman-Nya: 

“Dan Kami tidak mengutus Rasul-Rasul sebelum kamu, melainkan mereka sungguh memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar………………” 

Al-Furqan 25:20 

Maksud “dari penduduk bandar” dalam ayat di atas ialah para Rasul itu dilantik daripada penduduk bandar yang kebanyakannya lebih sempurna akalnya serta lebih santun, berbeza dengan orang Badwi yang tinggal di pedalaman. Ini kerana mereka yang tinggal di pedalaman lebih bersikap kasar dan tidak mempunyai ilmu. Firman Allah Swt:

“Orang-orang Arab (Badwi) itu, lebih sangat kekafiran dan kemunafikannya…………..” 

At-Taubah 9:97 

Ayat ini mengandungi pertanyaan dan ancaman Allah Swt kepada orang-orang musyrik Mekah, tidakkah mereka melihat bagaimana Dia menghancurkan orang-orang sebelum mereka yang mendustakan para Rasul dan menyelamatkan orang-orang yang beriman. Jika mereka dapat melihat dan memikirkannya, mereka akan yakin bahawa sunnatullah tetap akan berlaku kepada mereka dan tentu mereka akan membenarkan seruan Nabi Muhammad saw. 

Maksud “Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa.” ialah bagaimana Allah Swt menyelamatkan orang-orang yang beriman di dunia, begitu jugalah Dia akan menyelamatkan mereka di akhirat, malah di akhirat jauh lebih baik bagi mereka daripada di dunia. 

Ayat 110

حَتَّىٰٓ إِذَا ٱسْتَيْـَٔسَ ٱلرُّسُلُ وَظَنُّوٓا۟ أَنَّهُمْ قَدْ كُذِبُوا۟ جَآءَهُمْ نَصْرُنَا فَنُجِّىَ مَن نَّشَآءُ ۖ وَلَا يُرَدُّ بَأْسُنَا عَنِ ٱلْقَوْمِ ٱلْمُجْرِمِينَ

(Orang-orang yang mendustakan agama Allah itu telah diberi tempoh yang lanjut sebelum ditimpakan dengan azab) hingga apabila Rasul-rasul berputus asa terhadap kaumnya yang ingkar dan menyangka bahawa mereka telah disifatkan oleh kaumnya sebagai orang-orang yang berdusta, datanglah pertolongan Kami kepada mereka, lalu diselamatkanlah sesiapa yang Kami kehendaki. Dan (ingatlah bahawa) azab Kami tidak akan dapat ditolak oleh sesiapapun daripada menimpa kaum yang berdosa.

Allah Swt menyatakan kepada Rasulullah saw agar tidak meminta disegerakan kemenangan terhadap orang-orang yang mendustakannya. Ini kerana para Rasul terdahulu juga tidak mendapat kemenangan dengan segera kerana suatu hikmah yang hanya Dia sahaja yang Maha Mengetahui. 

Sehingga apabila para Rasul telah berputus asa mengharapkan keimanan kaum mereka, dan kaum mereka telah meyakini bahawa para Rasul mereka telah mendustakan mereka tentang pertolongan daripada Allah Ta’ala, maka datanglah pertolongan-Nya kepada para Rasul-Nya. 

Lalu Allah Ta’ala mengazab orang-orang yang kufur dan menyelamatkan orang-orang yang Dia kehendaki daripada orang-orang beriman, iaitu para Rasul berserta pengikutnya. Sesungguhnya tidak ada sesiapa yang dapat menghalang azab-Nya kepada orang-orang yang berdosa disebabkan kekufuran dan mendustakan para Rasul-Nya. 

Ayat ini jelas menunjukkan ancaman kepada orang-orang musyrik yang menentang Allah Swt dan Rasul-Nya.