Surah 12: Yusuf (105 – 107)

Kebanyakan Orang Terdahulu Tidak Beriman kepada Para Nabi

Surah 12: Yusuf (105 – 107)


Ayat 105

وَكَأَيِّن مِّنْ ءَايَةٍ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ يَمُرُّونَ عَلَيْهَا وَهُمْ عَنْهَا مُعْرِضُونَ

Dan berapa banyak tanda-tanda kekuasaan Allah di langit dan di bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pagi dan datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.

Allah Swt menyatakan bahawa kebanyakan manusia tidak beriman adalah disebabkan mereka lalai dalam merenungkan bukti-bukti yang menunjukkan kewujudan dan keesaan-Nya. Betapa banyak bukti tentang keesaan dan kesempurnaan ilmu serta kekuasaan-Nya yang terdapat di langit dan di bumi berupa matahari, bulan, bintang-bintang, planet-planet dan orbit tempatnya beredar, gunung-gunung, lautan dan pepohonan, begitu juga dengan makhluk yang hidup dan yang mati, binatang dan tumbuh-tumbuhan, buah-buahan yang serupa tetapi berbeza-beza rasanya, baunya, warnanya dan sifatnya namun mereka tidak memikirkannya. 

Ayat 106

وَمَا يُؤْمِنُ أَكْثَرُهُم بِٱللَّهِ إِلَّا وَهُم مُّشْرِكُونَ

Dan (orang-orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.

Orang-orang yang berpaling daripada ayat-ayat Allah Ta’ala ini, sebenarnya mereka percaya bahawa Allah adalah Pencipta segala sesuatu, Pemberi Rezeki dan Rabb yang  menurunkan hujan dan sebagainya. Namun mereka menjadikan berhala-berhala sebagai sekutu Allah Swt dalam peribadahan mereka kepada-Nya. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka lakukan. Firman-Nya: 

“Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka, “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Tentu mereka akan menjawab, “Allah.” Katakanlah, “Segala puji bagi Allah,” tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” 

Luqman 31:25 

Ibnu ‘Abbas ra berkata, “Antara keimanan mereka adalah apabila mereka ditanya, ‘Siapakah yang menciptakan langit, siapakah yang menciptakan bumi, siapakah yang menciptakan gunung-gunung, mereka pasti menjawab, ‘Allah.’ Sedangkan mereka tetap menyekutukan (syirik) kepada Allah.” 

Ayat 107

أَفَأَمِنُوٓا۟ أَن تَأْتِيَهُمْ غَـٰشِيَةٌ مِّنْ عَذَابِ ٱللَّهِ أَوْ تَأْتِيَهُمُ ٱلسَّاعَةُ بَغْتَةً وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

(Mengapa mereka bersikap demikian?) Adakah mereka merasa aman dari didatangi azab Allah yang meliputi mereka, atau didatangi hari kiamat secara mengejut, sedang mereka tidak menyedarinya?

Adakah orang-orang yang menyekutukan Allah Swt itu berasa aman daripada kedatangan sesuatu perkara yang meliputi mereka baik dari arah atas mahu pun dari bawah tanpa mereka sedari sebagaimana firman-Nya: 

“Maka apakah orang-orang yang membuat perancangan yang jahat itu, berasa aman (daripada bencana) ditenggelamkan bumi oleh Allah bersama mereka, atau datangnya azab kepada mereka dari tempat yang tidak mereka sedari, atau Allah mengazab mereka pada waktu mereka dalam perjalanan, maka sekali-kali mereka tidak dapat menolak (azab itu), atau Allah mengazab mereka dengan beransur-ansur (sampai binasa). Maka sesungguhnya Rabbmu adalah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.” 

An-Nahl 16:45-47 

Ayat ini dalam bentuk pertanyaan tetapi mengandungi ancaman kepada orang-orang yang beriman kepada Allah Swt iaitu mereka yakin Allah Maha Pencipta tetapi masih tetap melakukan perbuatan syirik. Mereka pasti tidak akan terselamat daripada seksaan-Nya. Oleh itu, mereka hendaklah bertaubat dan meninggalkan perbuatan syirik yang menjadi sebab mereka mendapat seksaan.