Surah 11: Hud (9 – 11)

Perbezaan Sifat antara Orang Kafir dengan Orang Mukmin apabila Mendapat Nikmat dan Ditimpa Musibah

Surah 11: Hud (9 – 11)


Ayat 9

وَلَئِنْ أَذَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ مِنَّا رَحْمَةً ثُمَّ نَزَعْنَـٰهَا مِنْهُ إِنَّهُۥ لَيَـُٔوسٌ كَفُورٌ

Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur.

Ayat 10

وَلَئِنْ أَذَقْنَـٰهُ نَعْمَآءَ بَعْدَ ضَرَّآءَ مَسَّتْهُ لَيَقُولَنَّ ذَهَبَ ٱلسَّيِّـَٔاتُ عَنِّىٓ ۚ إِنَّهُۥ لَفَرِحٌ فَخُورٌ

Dan demi sesungguhnya! kalau Kami memberinya pula kesenangan sesudah dia menderita kesusahan, tentulah dia akan berkata: “Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang menimpaku”. Sesungguhnya dia (dengan kesenangannya itu) riang gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai).

Dalam ayat 9-10 ini, Allah Swt menggambarkan sifat manusia yang mempunyai hati yang tidak disinari dengan cahaya iman. Apabila mereka ditimpa bencana setelah mendapat kenikmatan, mereka akan berputus asa untuk mendapatkan kebaikan pada masa akan datang, malah mereka mengingkari kenikmatan berupa kurniaan Allah Swt yang pernah mereka perolehi sebelumnya.

Begitulah juga apabila berlaku keadaan sebaliknya, sekiranya mereka memperoleh kenikmatan setelah merasakan kesengsaraan, mereka sungguh gembira dengan kenikmatan tersebut tetapi tidak mensyukurinya dengan memuji Allah Swt, malah berbangga-bangga di hadapan orang lain.

Ayat 11

إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ كَبِيرٌ

Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.

Berlainan pula sikap orang-orang yang beriman dalam menghadapi keadaan ini. Apabila ditimpa musibah, mereka tidak berputus asa, bahkan bersabar dan redha dengan ujian tersebut.

Apabila orang-orang beriman memperoleh nikmat, mereka tidak sombong, bahkan terus mensyukuri kurniaan-Nya. Mereka tetap melakukan amal soleh pada waktu susah atau senang dan sentiasa memohon keampunan terhadap dosa-dosa mereka sehingga segala yang dibimbangkan itu hilang, dan dibalas dengan syurga. Ini kerana di dalam hati mereka ada cahaya keimanan dan mereka ikhlas dalam melakukan setiap amalan.

Rasulullah saw bersabda:

“Demi Rabb yang jiwaku berada di tangan-Nya! Tidaklah Allah menetapkan suatu ketetapan bagi seorang mukmin, kecuali hal itu baik baginya. Jika mendapat sesuatu yang menyenangkan, dia bersyukur dan itu baik baginya. Dan apabila ditimpa musibah, dia bersabar dan itu baik baginya. Dan yang demikian itu tidak diberikan kepada seorang pun selain orang yang beriman.”

(HR. Muslim)