Surah 11: Hud (77 – 83)

Kisah Nabi Lut as dan Penduduk Sodom

Surah 11: Hud (77 – 83)


Ayat 77

وَلَمَّا جَآءَتْ رُسُلُنَا لُوطًا سِىٓءَ بِهِمْ وَضَاقَ بِهِمْ ذَرْعًا وَقَالَ هَـٰذَا يَوْمٌ عَصِيبٌ

Dan apabila datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil berkata: “Ini adalah hari yang amat mencemaskan”.

Nabi Lut as berasa susah hati dengan kedatangan utusan-utusan Allah Swt itu kerana mereka terdiri daripada pemuda yang rupawan yang datang sebagai tetamu.

Manakala kaum Nabi Lut as pula memang sangat menyukai pemuda-pemuda yang memiliki rupa yang kacak. Baginda berasa tidak mampu melindungi tetamu-tetamunya itu daripada gangguan kaumnya dengan perbuatan keji yang di luar kebiasaan fitrah manusia.

Ayat 78

وَجَآءَهُۥ قَوْمُهُۥ يُهْرَعُونَ إِلَيْهِ وَمِن قَبْلُ كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ ٱلسَّيِّـَٔاتِ ۚ قَالَ يَـٰقَوْمِ هَـٰٓؤُلَآءِ بَنَاتِى هُنَّ أَطْهَرُ لَكُمْ ۖ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلَا تُخْزُونِ فِى ضَيْفِىٓ ۖ أَلَيْسَ مِنكُمْ رَجُلٌ رَّشِيدٌ

Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata: “Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?”

Setelah tetamu itu tiba, maka kaum Nabi Lut as pun segera datang kepadanya dan bermaksud melakukan perbuatan keji terhadap tetamu tersebut. Sememangnya sejak dahulu mereka selalu melakukan perbuatan keji itu, iaitu menyukai sesama lelaki.

Apabila menyaksikan tingkah laku mereka, Nabi Lut as merayu agar menjadikan kaum perempuan sebagai isteri-isteri mereka dan hendaklah mereka bertakwa kepada Allah Ta’ala agar terhindar daripada kemurkaan-Nya.

Nabi Lut as juga meminta kaumnya agar jangan mencemarkan nama baiknya dengan melakukan perbuatan keji dan jahat terhadap tetamunya itu.

Kemudian Nabi Lut as meneruskan dengan berkata tidak adakah di antara mereka seorang yang berakal, mempunyai hikmah yang baik, yang mahu menerima apa yang Baginda perintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang dan sesungguhnya Baginda telah menunjukkan jalan yang benar.

Ayat 79

قَالُوا۟ لَقَدْ عَلِمْتَ مَا لَنَا فِى بَنَاتِكَ مِنْ حَقٍّۢ وَإِنَّكَ لَتَعْلَمُ مَا نُرِيدُ

Mereka menjawab: “Sesungguhnya engkau telahpun mengetahui bahawa kami tidak ada sebarang hajat kepada anak-anak perempuanmu, dan sebenarnya engkau sedia mengetahui akan apa yang kami kehendaki.”

Namun kaum Nabi Lut as menjawab dengan mengatakan sejak dahulu lagi Baginda telah mengetahui bahawa mereka tidak mempunyai keinginan dan syahwat kepada wanita. Oleh itu tidak ada manfaatnya apa yang Baginda katakan itu dan mereka berkeras terhadap apa yang mereka inginkan.

Ayat 80

قَالَ لَوْ أَنَّ لِى بِكُمْ قُوَّةً أَوْ ءَاوِىٓ إِلَىٰ رُكْنٍۢ شَدِيدٍ

Nabi Lut berkata: “Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu, atau aku dapat bertumpu ke sesuatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong, tentulah aku akan membinasakan kamu)”.

Kemudian Nabi Lut as berkata kepada kaumnya dengan nada mengancam, sekiranya Baginda mempunyai kekuatan atau kedudukan untuk menolak perbuatan jahat mereka, atau Baginda dapat berlindung kepada keluarga yang kuat, tentu Baginda akan lakukan, agar Baginda dapat melindungi para tetamunya itu.

Ayat 81

قَالُوا۟ يَـٰلُوطُ إِنَّا رُسُلُ رَبِّكَ لَن يَصِلُوٓا۟ إِلَيْكَ ۖ فَأَسْرِ بِأَهْلِكَ بِقِطْعٍ مِّنَ ٱلَّيْلِ وَلَا يَلْتَفِتْ مِنكُمْ أَحَدٌ إِلَّا ٱمْرَأَتَكَ ۖ إِنَّهُۥ مُصِيبُهَا مَآ أَصَابَهُمْ ۚ إِنَّ مَوْعِدَهُمُ ٱلصُّبْحُ ۚ أَلَيْسَ ٱلصُّبْحُ بِقَرِيبٍ

(Mendengarkan yang demikian tetamunya berkata: “Wahai Lut! Sesungguhnya kami (adalah malaikat) utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat melakukan kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari sini bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam, dan janganlah seorangpun di antara kamu menoleh ke belakang. Kecuali isterimu, sesungguhnya ia akan ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana ia memihak kepada mereka). Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh; bukankah waktu subuh itu sudah dekat?”

Kemudian para malaikat memberitahu Nabi Lut as bahawa mereka adalah para malaikat yang diutuskan kepada kaum Baginda dan kaum Baginda tidak akan dapat mengganggu mereka.

Seterusnya para malaikat memerintahkan Nabi Lut as bersiap sedia untuk membawa keluarganya keluar dari negeri itu pada akhir malam iaitu sebelum waktu subuh, agar Baginda beserta keluarga dan pengikutnya jauh dari negerinya.

Nabi Lut as diminta tidak menoleh ke belakang agar tidak melihat peristiwa besar yang menimpa kaumnya itu. Ada di antara mufassir yang mentafsirkan bahawa Baginda diminta bersegera keluar dari tempat tinggalnya dan tidak perlu khuatir tentang keselamatan serta tidak memerhatikan apa yang berada di belakang.

Nabi Lut as juga diperintahkan supaya tidak membawa isterinya bersama dengannya. Ini kerana isterinya ikut serta dengan kaumnya melakukan dosa. Malah isteri Bagindalah yang memberitahu kaumnya tentang kedatangan para tetamu. Ada juga pendapat mengatakan isterinya keluar bersama mereka, namun dia menoleh ketika mendengar suara gemuruh dan kemudianmya ditimpa batu dari langit hingga binasa.

Ayat 82

فَلَمَّا جَآءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَـٰلِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ مَّنضُودٍ

Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.

Allah Swt menyatakan, apabila ketetapan-Nya untuk membinasakan kaum Nabi Lut as telah tiba, maka Dia menterbalikkan negeri mereka dan membenamkan semua penduduknya ke dalam bumi. Ini terjadi pada saat terbitnya matahari. Ketika negeri itu diterbalikkan diturunkan-Nya hujan batu daripada tanah yang dibakar secara bertubi-tubi dan silih berganti. Firman-Nya:

“Dan bandar-bandar yang diterbalikkan itu, Dia-lah yang (mengangkatnya ke angkasa dan) menghempaskannya ke bumi, lalu (penduduk) bandar-bandar itu diliputi azab seksa yang meliputinya.”

An-Najm 53:53-54

Ayat 83

مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ ۖ وَمَا هِىَ مِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ بِبَعِيدٍ

Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan Dia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu.

Azab yang ditimpakan kepada kaum Nabi Lut as merupakan pelajaran dan ancaman kepada setiap orang yang zalim dan seksaan itu tidaklah jauh dan boleh berlaku di mana sahaja.

Firman Allah Swt, “ditandakan” bermaksud, ditandai dengan terpahat di atasnya nama-nama orangnya. Setiap batu tertulis di atasnya nama orang yang akan ditimpakan dengannya.

Qatadah dan Ikrimah mengatakan bahawa maksud, “ditandakan” ialah dikelilingi dengan percikan bara. Mereka menyebutkan bahawa batu itu menimpa penduduk negeri dan penduduk di berbagai-bagai desa sekitarnya. Suatu saat salah seorang sedang berbicara di tengah-tengah manusia, tiba-tiba dia tertimpa batu dari langit dan jatuh di antara mereka, kemudian batu bertubi-tubi menghujani mereka hingga seluruh negeri, sehingga mereka mati semuanya, tidak tersisa seorang pun daripada mereka.

Sebahagian mufassir mentafsirkan bahawa negeri kaum Nabi Lut as yang dibinasakan itu tidak jauh dari tempat yang didiami oleh penduduk Mekah yang zalim (orang-orang musyrik). Oleh itu, manusia hendaklah mempunyai rasa takut untuk melakukan perbuatan seperti yang dilakukan oleh kaum Nabi Lut as kerana azab yang sama juga boleh menimpa mereka.