Surah 11: Hud (61 – 68)

Kisah Nabi Saleh as dan Kaum Tsamud

Surah 11: Hud (61 – 68)


Ayat 61

وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَـٰلِحًا ۚ قَالَ يَـٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥ ۖ هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ وَٱسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا فَٱسْتَغْفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوٓا۟ إِلَيْهِ ۚ إِنَّ رَبِّى قَرِيبٌ مُّجِيبٌ

Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka: Nabi Saleh. Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Dia-lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepada-Nya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hamba-Nya”.

Ayat ini adalah kisah tentang Nabi Saleh as dengan kaum Thamud dan datang setelah kaum ‘Aad.

Nabi Saleh as memberitahu kepada kaumnya bahawa tujuan manusia dijadikan oleh Allah Swt ialah untuk beribadah semata-mata kepada-Nya. Manusia ditugaskan supaya memakmurkan bumi dengan mengurus sumber alam yang ada di muka bumi ini untuk pelbagai manfaat.

Baginda juga menasihatkan kaumnya agar memohon keampunan dan bertaubat atas dosa-dosa yang lalu berupa kesyirikan dan maksiat. Ini kerana Allah Swt sangat dekat dengan hamba-hamba-Nya dan Allah Swt sentiasa memperkenankan doa. Allah Swt berfirman:

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

Al-Baqarah 2:18

Ayat 62

قَالُوا۟ يَـٰصَـٰلِحُ قَدْ كُنتَ فِينَا مَرْجُوًّا قَبْلَ هَـٰذَآ ۖ أَتَنْهَىٰنَآ أَن نَّعْبُدَ مَا يَعْبُدُ ءَابَآؤُنَا وَإِنَّنَا لَفِى شَكٍّۢ مِّمَّا تَدْعُونَآ إِلَيْهِ مُرِيبٍ

Mereka menjawab dengan berkata: “Wahai Saleh, sesungguhnya engkau sebelum ini adalah orang yang diharap dalam kalangan kami (untuk memimpin kami); patutkah engkau melarang kami daripada menyembah apa yang disembah oleh datuk nenek kami? Dan (ketahuilah) sesungguhnya kami berada dalam keadaan ragu-ragu yang merunsingkan tentang apa yang engkau serukan kami kepadanya”.

Allah Swt menyebutkan pembicaraan antara Nabi Saleh as dan kaumnya dan kebodohan mereka. Sebelum ini mereka mempercayai Nabi Saleh as sebagai seorang yang diharapkan menjadi tokoh dan orang yang diminta memberi pendapat. Namun begitu, ketika Nabi Saleh as datang membawa sesuatu yang tidak sesuai dengan hawa nafsu mereka, dakwah Baginda ditolak.

Ayat 63

قَالَ يَـٰقَوْمِ أَرَءَيْتُمْ إِن كُنتُ عَلَىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّى وَءَاتَىٰنِى مِنْهُ رَحْمَةً فَمَن يَنصُرُنِى مِنَ ٱللَّهِ إِنْ عَصَيْتُهُۥ ۖ فَمَا تَزِيدُونَنِى غَيْرَ تَخْسِيرٍ

Nabi Saleh berkata: “Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berada dalam kebenaran yang berdasarkan bukti yang nyata (mukjzat) dari Tuhanku, dan Dia pula mengurniakan rahmat (pangkat Nabi) kepadaku sebagai pemberian daripada-Nya, maka siapakah yang akan menolongku dari azab Allah kalau aku menderhaka kepada-Nya? Oleh itu, kamu tidak menambah sesuatu kebaikan pun bagiku selain daripada perkara yang merugikan.

Nabi Saleh as menjawab sangkaan dan tentangan kaumnya itu bahawa seruannya itu adalah benar dan untuk kebaikan serta kebahagiaan mereka sendiri, jika mereka mahu memikirkan dan mempertimbangkannya.

Nabi Saleh as menyatakan lagi, sekiranya Baginda mengikuti kaumnya yang kufur dan menderhakai perintah Rabbnya, siapakah yang akan menolongnya daripada azab-Nya sedangkan Dia memberikan rahmat dan kurniaan-Nya kepada Baginda.

Oleh itu, Nabi Saleh as menyeru kaumnya agar menyembah Allah Ta’ala yang menciptakan mereka dan memberi nikmat serta kurniaan kepada mereka sehingga mereka dapat hidup senang di muka bumi ini.

Ayat 64

وَيَـٰقَوْمِ هَـٰذِهِۦ نَاقَةُ ٱللَّهِ لَكُمْ ءَايَةً فَذَرُوهَا تَأْكُلْ فِىٓ أَرْضِ ٱللَّهِ وَلَا تَمَسُّوهَا بِسُوٓءٍ فَيَأْخُذَكُمْ عَذَابٌ قَرِيبٌ

“Dan wahai kaumku! Ini adalah unta betina dari Allah untuk kamu sebagai tanda (mukjizat) yang membuktikan kebenaranku. Oleh itu, biarkanlah dia mencari makan di bumi Allah dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya, (kalau kamu menyakitinya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang dekat masa datangnya”.

Nabi Saleh as diminta oleh kaumnya agar mendatangkan mukjizat sebagai tanda kenabiannya, lalu Allah Swt mengurniakan seekor unta betina sebagai mukjizat kepada Nabi Saleh as.

Nabi Saleh as memberitahu kaumnya bahawa unta betina itu adalah kepunyaan Allah Swt. Ini adalah bukti bahawa Baginda adalah seorang Rasul. Baginda juga mengingatkan kaumnya supaya tidak mengganggu dan menyakiti unta tersebut. Sekiranya mereka berbuat demikian, nescaya Allah Swt akan menyegerakan azab kepada mereka.

Hal ini dinyatakan juga dalam ayat-ayat berikut:

“Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum Thamud saudara mereka Saleh. Dia (Saleh) berkata, ‘Wahai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Ilah bagimu selain-Nya. Sesungguhnya telah datang bukti yang nyata kepadamu daripada Rabbmu. Unta betina Allah ini menjadi tanda bagimu, maka biarkanlah dia makan di bumi Allah, dan janganlah kamu mengganggunya dengan gangguan apapun, (yang kerananya) kamu akan ditimpa seksaan yang pedih.’”

Al-A‘raf 7:73

“Saleh menjawab, ‘Ini seekor unta betina, ia mempunyai giliran untuk mendapatkan air, dan kamu mempunyai giliran pula untuk mendapatkan air pada hari yang tertentu. Dan janganlah kamu sentuh unta betina itu dengan sesuatu kejahatan, yang menyebabkan kamu akan ditimpa oleh azab hari yang besar.’”

Asy-Syu‘ara’ 26:155-156

“Sesungguhnya Kami akan mengirimkan unta betina sebagai ujian bagi mereka, maka tunggulah (tindakan) mereka dan bersabarlah.”

Al-Qamar 54:27

Ayat 65

فَعَقَرُوهَا فَقَالَ تَمَتَّعُوا۟ فِى دَارِكُمْ ثَلَـٰثَةَ أَيَّامٍ ۖ ذَٰلِكَ وَعْدٌ غَيْرُ مَكْذُوبٍ

Mereka kemudiannya menyembelih unta itu, lalu berkatalah Nabi Saleh kepada mereka: Bersenang-senanglah kamu di tempat masing-masing selama tiga hari; tempoh yang demikian itu, ialah suatu janji yang tidak dapat didustakan”.

Mereka melanggar larangan Nabi Saleh as lalu membunuh unta tersebut. Mereka tidak menghiraukan peringatan Baginda bahawa janji Allah Swt adalah benar.

Kaum Nabi Saleh yang kufur itu hanya diberi tempoh selama tiga hari untuk mereka berbuat sesuka hati dan bergembira sebelum tiba azab Allah Swt. Ini juga merupakan satu sindirian kepada kaumnya yang tidak mahu menerima kebenaran. Akhirnya mereka dibinasakan setelah tempoh yang dijanjikan itu berakhir.

Kisah ini juga difirmankan oleh Allah Swt dalam ayat-ayat berikut:

“Kemudian mereka membunuhnya, lalu mereka menjadi menyesal.”

Asy-Syu‘ara’ 26:157

“Dan beritakanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya air itu terbahagi antara mereka (dengan unta betina itu), tiap-tiap giliran minum dihadiri (oleh yang mempunyai giliran). Maka mereka memanggil kawannya, lalu kawannya menangkap (unta itu) dan membunuhnya.”

Al-Qamar 54:28-29

Ayat 66

فَلَمَّا جَآءَ أَمْرُنَا نَجَّيْنَا صَـٰلِحًا وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ بِرَحْمَةٍ مِّنَّا وَمِنْ خِزْىِ يَوْمِئِذٍ ۗ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ ٱلْقَوِىُّ ٱلْعَزِيزُ

Maka ketika datang azab kami, kami selamatkan Saleh beserta umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami, dan Kami selamatkan mereka dari azab serta kehinaan hari itu. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia-lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

Allah Ta‘ala menyatakan ketika datang keputusan iaitu seksaan ditimpakan kepada kaum Thamud, Dia dengan rahmat-Nya menyelamatkan Nabi Saleh as berserta orang-orang yang beriman. Ini juga membuktikan kekuatan dan keperkasaan Allah Swt membinasakan umat-umat yang zalim dan menyelamatkan Rasul serta para pengikutnya.

Sesungguhnya Allah Maha Kuat, Maha Berkuasa dan Maha Perkasa atas segala sesuatu, tiada yang dapat menghalang kehendak-Nya.

Ayat 67

وَأَخَذَ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ ٱلصَّيْحَةُ فَأَصْبَحُوا۟ فِى دِيَـٰرِهِمْ جَـٰثِمِينَ

Dan orang-orang yang zalim itu, dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.

Maka kaum Nabi Saleh as yang ingkar dan zalim itu disambar petir yang sangat kuat bunyinya. Mereka mati kesemuanya dan menjadi bangkai-bangkai busuk yang bergelimpangan di atas bumi.

Ayat 68

كَأَن لَّمْ يَغْنَوْا۟ فِيهَآ ۗ أَلَآ إِنَّ ثَمُودَا۟ كَفَرُوا۟ رَبَّهُمْ ۗ أَلَا بُعْدًا لِّثَمُودَ

(Mereka punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah! Sesungguhnya kaum Thamud itu kufurkan Tuhan mereka. Ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi kaum Thamud.

Oleh sebab terlampau cepatnya berlaku mala petaka yang amat dahsyat, membinasakan mereka dan memusnahkan segala yang bernyawa, maka seolah-olah tempat itu belum pernah mereka diami. Ini adalah disebabkan kekafiran dan keingkaran mereka terhadap ayat-ayat Allah Swt. Oleh itu mereka berhak dan layak mendapat seksaan tersebut. Ingatlah bahawa mereka benar-benar telah terusir daripada rahmat-Nya dan binasalah kaum Thamud serta orang-orang seperti mereka. Firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Sesungguhnya Kami hantarkan kepada mereka satu pekikan (yang dahsyat), lalu menjadilah mereka (hancur) seperti ranting-ranting dan daun-daun yang pecah hancur, yang dikumpulkan oleh pemilik kandang binatang ternak.”

Al-Qamar 54:31

Begitulah cepatnya mereka dibinasakan oleh suara yang kuat yang berkemungkinan suara guruh dari atas dan gempa bumi dari bawah, seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di tempat yang  mereka diami. Segala kenikmatan yang dikecapi sebelum ini lenyap kerana mereka ditimpa azab yang kekal dan tidak putus-putus.